Hajimeli's Blog


Kayuhan Haji Meli ke Padang Besar
26/06/2010, 1:34 pm
Filed under: Uncategorized

KAYUHAN HAJI RAMLI – SEMENYIH KE PADANG BESAR

1408 KM

Setelah Berjaya berkayuh ke Singapura sebelum Tahun Baru Cina 2010 yang mengambil masa perjalanan selama enam hari, timbul keinginan untuk mencuba berkayuh ke utara. Asalnya hanya ke Pulau Pinang iaitu tempat kelahiran isteri dan dua orang anak tetapi jarak antara Semenyih dan Pulau Pinang, dan antara Semenyih dan Singapura lebih kurang sama, rancangan ini dibatalkan. Sebaliknya ke Padang Besar adalah lebih menarik kerana sekiranya berjaya, ia akan menjadi kejayaan kayuhan merentasi Semenanjung, utara – selatan. Semasa perancangan kayuhan ini dibuat timbul idea untuk menjadikannya lebih menarik dengan menambah satu laluan yang terkeluar daripada laluan tradisional utara-selatan, iaitu dengan membelok ke Cameron Highland apabila melalui Tapah dan turun di Simpang Pulai.

Kayuhan bermula pada hari Ahad, 6 Jun 2010. Hari Ahad dipilih kerana untuk mengelakkan kesesakan yang berlaku setiap hari di Kuala Lumpur. Mengambil kira pada hari ini di sebelah pagi penduduk Kuala Lumpur masih tidur dan hari tidak bekerja, kayuhan akan menjadi mudah. Perbelanjaan yang disediakan ialah RM500.00.

Perincian perjalanan

Hari 1 ( Ahad: 6 Jun 2010 )

Semenyih – Tanjung Malim

7.05 pagi meninggalkan rumah, hanya isteri yang menunggu di pintu rumah. Anak-anak dan menantu tidak ada, tetapi mereka telah diberitahu supaya balik dan bergilir-gilir berada di rumah terutama pada malam hari untuk menemani ibu mereka. Perjalanan ke Kuala Lumpur melalui jalan lama, belakang hospital  Kajang dan memasuki lebuh raya. Seperti yang disangka sememangnya hari Ahad keadaan lalu lintas tidak begitu sibuk, merentasi Kuala Lumpur selesa sekali.

9.33 pagi keluar dari Kuala Lumpur dan berehat di tepi jalan di Selayang, minum, di sini berehat lama kerana cabaran pertama akan bermula, iaitu mendaki Bukit Templer dalam keadaan cuaca panas.

Setelah menyapu krim di kulit yang boleh dipanahi cahaya matahari dan memakai cermin mata hitam perjalanan diteruskan. Bukit Templer boleh didaki tanpa henti walaupun perjalanannya  perlahan, kelajuan antara 5 – 7 KM sejam. Selepas itu berehat di stesyen minyak di kaki bukit, minum dan makan roti berinti kelapa untuk mengembalikan tenaga. Berjumpa dengan seorang lelaki India bercakap dengannya. Lelaki India ini berminat dengan menunggang motosikal klasik, dia telah pergi banyak tempat di Semenanjung Malaysia secara berkumpulan. Sedikit pujian dan ransangan diterima daripadanya. Cukup untuk sokongan moral bagi peringkat awal kayuhan

10.00 pagi perjalanan diteruskan, kayuhan laju sedikit kerana jalan raya landai, menurun sedikit ke pekan Rawang. Selepas pekan Rawang jalan mulai turun dan naik bukit, kayuhan pada ketika ini sangat meletihkan. Cuaca panas sekali.

1.15 tengah hari  berhenti sebentar untuk solat jamak di stesyen minyak Batang Kali.

2.09 petang makan tengah hari di Kuala Kubu Bharu. Sememangnya dalam rancangan untuk makan tengah hari di sini. Suatu masa dahulu tempat ini telah menjadi persinggahan, ia dibuka 24 jam. Orang sentiasa ramai.  Itu masa lalu, 20 tahun yang lalu. Keadaan telah berubah, ia kini sunyi tiada warong yang dibuka, kotor dan tidak berurus. Seorang abang mengatakan warong sebelahnya akan dibuka tidak lama lagi, ini berdasarkan pengalaman. Setelah lama mengayuh, lapar, letih, makanan adalah diperlukan. Betul katanya warong itu dibuka dan saya minta nasi goreng kampung. Selesai makan kayuhan diteruskan.

4.00 petang sampai di Kelompang, berhenti makan pisang goreng dan minum air tebu.

4.45 petang sampai di stesyen minyak Tanjung Malim dan merancang untuk bermalam pada hari itu. Dalam perancangan, stesyen minyak adalah salah satu tempat yang akan menjadi tempat persinggahan untuk bermalam. Setelah mendapat kebenaran keputusan diambil dan akan bermalam di situ. Semasa menunggu malam terjumpa saudara Yusop, seorang anggota polis yang bertugas di Tampin. Saudara Yusop juga berminat berkayuh, sempat bercakap tetapi tidak lama kerana ia hendak menghantar ibunya ke klinik, saling bertukar nombor telefon dan ia meminta kebenaran untuk mengambil gambar. Selepas itu ia ada menalefon rumah untuk bertanya sudah sampai ke belum. Anak yang jawab. Saudara Yusop ada hasrat untuk mengayuh di Bukit Frazer.

Malam itu makan tiga buku bun dan minum susu, snek kacang. Sebelum tidur bercakap dengan pekerja stesen minyak berkenaan yang kebanyakannya dari Sabah. Malam tidur tidak nyenyak, tidak biasa tidur di surau, basikal tinggal di luar bersama luggage, walaupun berkunci hati tetap risau, tambahan pula banyak nyamuk. Tidak ada persediaan ubat nyamuk.

Jarak kayuhan ialah 125 KM.

Hari 2 ( Isnin: 7 Jun 2010 )

Tanjung Malim – Batu 19, Sungai Jor, Tapah.

4.45 pagi sudah bangun, waktu biasa bangun daripada tidur tidak perlu jam loceng, hujan renyai-renyai, sehingga lepas subuh masih tidak dapat berkayuh, 6.45 pagi masih belum sarapan, masih hujan.

7.03 pagi meninggalkan stesyen minyak Tanjung Malim dan bersarapan pagi di Restauran K. P. Mohammed. Makan roti canai dan minum nescafe panas. Selepas bersarapan perjalanan diteruskan. Jalan menuju ke Slim River adalah cantik dan licin, membolehkan bergerak dengan lancar. Kelajuan lebih kurang 25 – 26 KM sejam. Jalan lebih kurang rata sahaja. Hujan masih renyai-renyai tetapi tidak menyebabkan pakaian basah. Cuaca sejuk sedikit, mungkin faktor ini kayuhan menjadi laju.

8.15 pagi berhenti sebentar di Slim River tempat tol lama yang kini sudah menjadi sejarah. Dahulu motokar membayar RM1.00. Ada tempat makan di sini tetapi tempat tidak diurus dan kotor. Bayaran untuk buang air 30 sen. Selepas mengisi air minuman ke dalam botol kayuhan diteruskan. Hujan masih renyai-renyai. Secara keseluruhan cuaca amat baik, tidak ada keperluan memakai cermin mata hitam dan menyapu krim kepada kulit yang terdedah.

10.30 pagi berhenti rehat di Sungkai, makan roti dan hisap gula, cuaca baik, kayuhan laju, tidak ada bukit yang curam.

11.45 tengah hari berhenti makan di Medan Selera Bidor. Makan nasi berlaukan ikan keli, kembong  dan sayur tauge

1.45 berhenti rehat di Tapah. Perancangan awal akan bermalam di Tapah dan keesokannya akan ke Cameron Highland. Memandangkan hari masih awal rancangan bermalam dibatalkan, kayuhan diteruskan selepas minum air tebu. Sembilan Kilometer dari Tapah pendakian bermula. Kayuhan amat pelahan antara 5 – 7 KM sejam.

3.45 petang berhenti rehat di Lata Iskandar, makan pisang goreng dan minum 100 plus untuk memberi tenaga, kayuhan pendakian diteruskan, amat perit sekali. Mengikut kata penjual pisang goreng di situ kalau sudah tidak larat tahan sahaja kenderaan yang menghantar sayur naik ke Cameron Highland minta bantuan mereka, mereka akan menolong. Tetapi itu bukan matlamat, melainkan sakit baharulah bantuan diminta. Kayuhan diteruskan, keadaan makin mencabar dan perit, kelajuan kayuhan antara 4 – 5 KM sejam. Mesti sampai di Ringlet sebelum malam.

5.00 petang, 500 meter selepas Batu 19, Sungai Jor, keadaan makin gelap, Ringlet tidak tahu di mana, kayuhan makin lemah, kalau diteruskan mungkin tidak dapat solat, ambil keputusan berhenti kayuhan dan berpatah balik ke Batu 19, Sungai Jor kerana di situ ada kawasan petempatan orang asli dan kakitangan TNB. Di situ juga ada surau. Di sini dapat solat berjemaah Maghrib dan Ishak. Bermalam di Surau TNB. Tidak makan pada malam itu kerana tidak tahu adanya gerai makanan Islam di situ. Ada juga jemaah yang mengajak ke rumah tetapi menolak kerana hendak berehat secukupnya kerana esok lebih dahsyat.

Jarak kayuhan ialah 107.8 KM

Hari 3 ( Selasa : 8 Jun 2010 )

Batu 19, Sungai Jor – Brinchang

4.45 pagi bangun tidur. Pada waktu malam hujan turun, sejuk sekali. Nasib baik bawa bersama            “ sleeping bag “ . Tunggu para jemaah datang untuk solat subuh. Setelah  menunggu hingga jam 5.50 pagi tiada seorang pun yang datang,  solat sendirian.

7.00 pagi ke gerai makan yang berhampiran untuk sarapan pagi. Makan dua ketol kuih bom dan minum Nescafe

7.30 pagi mulakan kayuhan. Lebih kurang 100 meter jalan datar, selepas itu mula mendaki. Kayuhan amat perlahan, anggaran kelajuan ialah 4 KM sejam. Dua jam lebih hanya boleh mengayuh sejauh 15.6 KM.

10.16 pagi sampai di sempadan Pahang. Satu kilometer berikutnya ialah menurun sehingga ke Ringlet. Sukar mendapatkan kedai makanan Melayu, makan roti dan minum air susu kacang kotak. Setelah berehat seketika, telefon rumah buat kali pertama dengan menggunakan telefon awam. Telefon bimbit belum beli.

11.45 tengah hari bertolak ke Tanah Rata, keadaan jalan raya tidak begitu mencabar pada permulaannya, agak santai sedikit perjalanan.

12.00 tengah hari berhenti makan, lauk ayam dan sayur kambas. Disebabkan anak tuan gerai itu kaki basikal, ia yang bayar.  Daripadanya dapat sedikit gambaran keadaan jalan raya yang akan dilalui kelak.

12.30 tengah hari mula mengayuh. Satu kilometer selepas itu mula mendaki  sampai ke Tanah Rata. Peluh menyimbah keluar.

2.15 Sampai di Tanah Rata, hujan mulai turun, berhenti di kawasan rehat, di sebuah wakaf Majlis Daerah Cameron Highland sehingga hujan reda.

3.17 petang bertolak ke Brinchang lapan kilometer dari Tanah Rata. Di pertengahan jalan hujan turun dengan lebatnya, tidak sempat memakai baju hujan. Basah kuyup. Kayuhan diteruskan.

4.00 petang sampai di Brincang. Disebabkan basah dan kesejukan terpaksa bermalam di hotel, semalam RM80.00.

Makan malam ialah sop daging, sayur kailan goreng. Malam itu tidur dengan nyenyaknya.

Jarak perjalanan ialah 36 KM

Hari 4 ( Rabu : 9 Jun 2010 )

Brinchang – Kuala Kangsar

7.15 pagi meninggalkan Hotel Golden Night. 10 meter menurun selepas itu kayuhan mendaki. Berhenti sebentar untuk sarapan pagi di pekan Brinchang. Dari pekan Brinchang hingga ke Hotel Equatorial kelajuan hanya 4 KM sejam. Cuaca masih sejuk kerana  waktu pagi. Dari Hotel Equatorial hingga ke Kuala Terlah menurun, kelajuan lebih kurang 35 KM sejam. Seronok sekali. Situasi begini sangat digemari oleh para pengayuh, dengan cuaca sejuk dan udara pagi yang nyaman tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Hanya sendiri yang dapat menikmati dan merasainya. Antara Kuala Terlah dengan Kampung Rajah keadaan jalan adalah mendatar. 100 meter dari pekan Kampung Rajah berehat selama 15 minit, termenung sekejap melihat bukit yang hendak didaki. Memikirkan bolehkah didaki ataupun tidak kerana nampaknya begitu curam sekali. Kereta dan lori nampaknya mengengkek mendakinya, daripada bunyi enjin, agaknya pemandu menggunakan gear satu atau dua.

Selepas berehat kayuhan pendakian bermula, dengan membawa muatan lebih kurang 15 Kg pendakian ini sangat memeritkan. Bukan salah ibu mengandung. Setelah beberapa lama sampai juga ke Blue Valley  tanpa menolak basikal atau pun berhenti rehat. Dari Blue Valley ke Simpang Pulai menurun  bukit. Pemandangan di sini cantik, jalannya luas, di sesetengah tempat sahaja yang perlu mengayuh yang lainnya lebih kurang 95% adalah menurun kelajuan kadang-kadang boleh mencapai 51 KM sejam. Sungguh seronok.

12.15 tengah hari sampai di Simpang Pulai. Berhenti rehat dan makan tengah hari lauk ikan bakar dan sayur bayam, minuman air laici suam. Selepas makan tengah hari kayuhan dimulakan dengan melalui Bandar raya Ipoh, Chemor dan Sungai Siput.

3.15 petang berehat di Sungai Siput. Dalam perjalan ke Kuala Kangsar seorang Mat Motor hendak belanja minum, terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa.

5.15 petang sampai di stesyen keretapi Kuala Kangsar dan bercadang untuk bermalam di situ.

Makan malam di sini ialah sop tulang dan sayur kalian. Minuman ialah laici suam. Pada waktu malam tidak dapat tidur dengan selesa, maklumlah stesyen keretapi. Tetap bersyukur, sekurang-kurangnya ada tempat berteduh

Jarak kayuhan ialah 144.6 KM

Hari 5 ( Khamis : 10 Jun 2010 )

Kuala Kangsar – Bagan Jermal

6.45 pagi meninggalkan stesyen keretapi Kuala Kangsar, sampai di stesyen minyak Kuala Kangsar berhenti sarapan, makan bun jagung dan minum air tin Alicafe. Berjumpa dengan seorang pesara yang sebaya, walaupun telah bersara ia masih bekerja untuk mengisi masa lapangnya. Ia menoreh getah. Semasa berjumpa dengannya dia hendak pergi menoreh.  Sedikit sokongan moral diperolehi daripadanya. Kayuhan diteruskan

10.30 pagi sampai di Kampung Teluk Medan, jumpa iklan makanan yang memberitahu mengenai makanan laksa beras dan cendol pulut. Cendol pulut sudah biasa dimakan tetapi laksa beras belum. Ada perasaan ingin tahu dan ada keinginan untuk merasa laksa beras tersebut, tidak pernah makan laksa beras. Bila sampai di gerai buat tempahan cendol dan laksa beras. Terkejut tidak ada beras di dalam laksa itu. Bila ditanya pelayan gerai mengatakan bahawa mi laksa yang diperbuat daripada tepung beras. Rasa tertipu.

Cuaca pada hari itu mendung sampai ke Bagan Serai. Dalam keadaan cuaca yang sedemikian sepatutnya kayuhan amat selesa kerana udara yang nyaman tetapi sebaliknya berlaku kerana angin bertiup kencang, melawan arus, tenaga banyak digunakan, penat sedikit.

12.15 tengah hari berehat di Simpang Lima Parit Buntar. Jalan raya antara Taiping dan Bagan Serai cantik dan luas tetapi antara Bagan Serai dan Parit Buntar jalan rayanya di sesetengah tempat tidak mesra pengayuh, jalan berlobang dan berbonggol-bonggol. Bontot boleh sakit dibuatnya kerana terhentak. Pada keseluruhannya jalan raya di negeri Perak adalah selesa, jalannya luas dan licin tidak ada bukit kecuali Bukit Berapit berhampiran dengan Taiping. Pemandangannya amat menarik. Di Simpang Lima buat panggilan ke rumah melalui telefon awam. Berjumpa dengan seorang peniaga gerai berusia 72 tahun, sudah dua kali pergi menunaikan haji. Bila bersalaman dengannya ia suka membawa tangan ke janggutnya dan menggeselkannya. Katanya membela janggut adalah sunnah rasul. Ia telah memelihara janggutnya sejak tahun 1992. Tetapi yang hairannya janggutnya tidaklah panjang sangat. Dia membuka ketayapnya, kepalanya gondol, ini juga katanya sunnah rasul. Seminggu sekali, pada hari Khamis ia akan mencukur rambutnya. Perkara ini dilakukannya sejak ia pulang dari Makkah buat kali kedua. Pak Haji ini ada suatu minat iaitu menunggang vespa, walaupun sudah seusia itu ia masih menunggang vespa bersama kawan-kawan, katanya lebih selamat. Setelah memberi beberapa nasihat bersalaman sekali lagi.

12.30 tengah hari kayuhan diteruskan dua kali berhenti minum air tebu, makan pisang goreng dan keropok lekor sebagai sumber tenaga. Cuaca sangat panas dan keadaan lalu lintas sibuk sekali kerana sudah mula menghampiri Butterworth. Walaupun demikian kayuhan agak selesa kerana jalan yang luas dan ada lorong kecemasan.

2.30 tengah hari sampai di Jawi bercadang untuk makan tengah hari di situ tetapi memandangkan keadaan yang sibuk rancangan dibatalkan dan berihat di salah sebuah wakaf yang ada di situ. Sangat letih dan mengantuk, terlena sebentar.

3.00 petang mula bergerak semula, apabila sampai di Butterworth tidak ada tanda jalan yang berwarna biru, hijau simbol lebuh raya. Mengelirukan, kayuhan diteruskan, di hati telah difikirkan jawapan yang akan diberi apabila ada penguatkuasa datang. Alhamdulillah tiada halangan selamat merentasi Butterworth.

5.15 petang sampai di Bagan Jermal dan berehat di stesyen minyak. Memandangkan tempat ini menarik dan selesa, bercadang untuk bermalam di sini. Rancangan untuk bermalam di Sungai Petani di batalkan kerana sudah tidak larat hendak mengayuh dan perjalanan masih jauh. Mungkin akibat tidur yang tidak cukup di Kuala Kangsar, tidak makan tengah hari dan keadaan di Butterworth  yang mengelirukan. Makan malam di Restoran Subaidah, kurma kambing dan sayur kacang.

Jarak kayuhan ialah 125.5KM

Hari 6 ( Jumaat : 11 Jun 2010 )

Bagan Jermal – Gunung Jerai

7.00 pagi, mula bergerak, bercadang untuk ke Padang Besar sekiranya ada kudrat, pergerakan perlahan sedikit walaupun keadaan muka buminya rata kerana angin bertiup menentang arus. Di kiri kanan jalan pemandangan cantik sekali kerana pokok padi sedang menghijau saujana mata memandang. Walaupun cuaca panas keadaan masih nyaman kerana adanya angin yang bertiup. Berhenti rehat tidak jauh dari Kepala Batas, di bawah sebatang pokok yang rendang di tepi jalan. Semasa hendak minum ternampak seekor ular yang sedang menyusur di anak air. Bukan ular sawa, tetapi tidak tahu nama ular berkenaan. Buat bunyi desiran sedikit, ular itu berhenti bergerak, matanya tepat memandang ke arah basikal. Kepalanya tidak dinaikan seperti ular senduk, warnanya seakan-akan kelabu, panjangnya lebih kurang satu meter. Buat desiran yang kedua ia masih tidak bergerak setelah beberapa saat ular itu membuat pusingan dan hilang di dalam rimbunan pokok padi. Dapat minum dan berehat dengan selesa.

Apabila sampai di Bakar Arang, sedang asyik mengayuh, ditegur daripada belakang dua adik beradik yang bernama Shakirwan dan Sharizan dari Kuala Muda, kedua-duanya masih belajar di sekolah menengah. Mereka mengatakan hendak mengayuh di Gunung Jerai. Nampaknya rancangan untuk ke Padang Besar tertangguh. Di sini baharu teringat di dalam akhbar dan internet ramai pengayuh menceritakan pengalaman mereka mengayuh mendaki Gunung Jerai yang setinggi 1,200 meter. Untuk sampai ke puncak mereka akan mengayuh sejauh 12 KM. Kayuhan ini tidak ada dalam jadual. Tidak teringat langsung semasa dalam perancangan. Terangsang dengan hasrat dua beradik itu, cubaan akan dibuat untuk mengayuh mendaki Gunung Jerai. Di Sungai Petani dua beradik itu memecut laju, maklumlah basikal racing, tidak membawa bebanan dan kedua-duanya masih segar, sekelip mata sudah tidak kelihatan.

10.45 pagi sampai di kaki Gunung Jerai. Kayuhan ini adalah paling jauh tanpa henti setakat ini ( cuma berhenti lima minit untuk minum air ) anggarannya mengikut meter ialah 63.6 KM. Bila sampai berehat sekejap dan makan secukupnya untuk tenaga. Ramai pengemar basikal sedang berehat dan yang masih baru sampai dari puncak. Sedang makan dua beradik tadi telah turun dari Gunung Jerai, menjemputnya untuk makan bersama. Selepas makan berehat lama sedikit untuk mengumpul tenaga bagi tujuan kayuhan menakluki puncak Gunung Jerai. Sebenarnya tidak dapat berihat dengan sempurna kerana ramai yang datang hendak bercakap dan bertanya pengalaman. Mereka bukan calang-calang, tetapi pengayuh tegar.

12.00 tengah hari mula mengayuh, cuaca panas, terlalu pelahan amat memeritkan jika hendak dibandingkan dengan pendakian di Cameron Highland, pendakian yang ini lebih dahsyat. Biasanya pengayuh tidak akan membawa beban kecuali botol air untuk mendaki Gunung Jerai. Adanya bebanan keadaan menjadi lebih dahsyat. Sepanjang 12 KM, lima kali berhenti rehat selama lima minit dan yang paling lama hampir setengah jam dekat muzium Gunung Jerai, bercakap dengan seorang abang yang sedang berkelah dengan keluarganya dan buang air besar. Jarak antara muzium dengan puncak ialah 3 KM.

3.45 petang sampai di puncak. Terus kayuh hingga ke Kawasan Hotel Regency. Pelancong-pelancong ramai yang hendak bergambar. Tidak ada masalah. Selepas berihat sekejap bercadang untuk turun tetapi Saudara Wahab pemandu van pelancong mencadangkan supaya bermalam, alang-alang sudah sampai eloklah menikmati suasana malam di Gunung Jerai katanya. Ia membekalkan tiga bungkus makanan segera. Air panas minta sahaja daripada Bangla yang ada di situ katanya lagi. Bermalam di Hotel Regency tentu mahal, makanan juga pastinya mahal, sewa tapak khemah sahaja RM50.00 satu malam.  Keputusan telah dibuat iaitu bermalam. Tapak khemah dipilih di luar Hotel Regency, berhampiran dengan jaga hotel dan tandas awam kerana lebih selesa dan selamat. Bila menjelang gelap jumpa dengan seorang Bangla di situ, minta air panas, bekas tidak ada tuang sahaja dalam plastik makanan segera tersebut. Sementara menunggu mengantuk berbual dengan jaga Hotel Regency. Malam itu buat pertama kalinya tidur di dalam khemah. Tidur dengan nyenyak.

Jarak kayuhan ialah 76.6 KM

Hari 7 ( Sabtu : 12 Jun 2010 )

Gunung Jerai – Padang Besar

7.00 pagi bertolak turun dari puncak Gunung Jerai, tidak payah berkayuh, kelajuan lebih kurang 30 KM sejam. Di kaki gunung saudara Abdul Syukur mempelawa untuk minum bersama, dia bercadang untuk mengayuh ke puncak. Dia seorang ahli tabligh dan kaki gunung juga. Pernah mendaki Gunung Kinabalu. Dia menunjukkan jalan lain ke Padang Besar dengan melalui Yan, Kuala Kedah tanpa melalui Bandaraya Alor Star. Ia membantalkan pengayuhannya kerana hendak menunjuk laluan mengelilingi kaki Gunung Jerai hingga ke rumahnya di Yan. Dalam Perjalanan ke rumahnya berlaku kemalangan. Memberek kecemasan, takut terlanggar Saudara Abdul Syukur  yang berada di hadapan yang secara tiba-tiba memperlahankan basikalnya. Berek mengejut itu menyebabkan basikal tidak seimbang dan jatuh di tepi jalan. Lebam di perut dan peha kaki kanan. Pemegang berek bengkok tetapi masih boleh digunakan. Berehat sekejap di rumah saudara Abdul Syukur, selepas itu kayuhan diteruskan, ia menghadiahkan sebuah topi berwarna hitam dan membekalkan sehelai peta negeri Kedah.

Cuaca panas sekali, jalan tidak sibuk kerana terkeluar daripada jalan utama utara-selatan, di kiri kanan jalan di penuhi dengan sawah yang sedang menghijau. Sampai  di Titi Serong berhenti makan dan minum. Teruskan kayuhan menuju Kuala Kedah, terbabas sedikit kerana tidak jumpa simpang untuk ke Kuala Kedah, setelah merasa ragu kerana telah masuk kampung dan jalannya tidak berturap bertanya dengan seorang budak dan ia menunjukkan jalan yang sebenarnya.  Dari Kuala Kedah ke Alor Janggus Hingga Ke Kangar cuaca sangat panas tidak ada tempat berteduh, kayuhan amat memeritkan walaupun jalannya luas. Dari Kangar tanpa rehat terus ke Padang Besar, sudah ada tanda-tanda hendak hujan. Sampai di Pusat Pemulihan Dadah Perlis, di Kangar, hujan turun dengan lebatnya. Berhenti di perhentian bas di tempat itu. Memandangkan hujan tiada tanda hendak berhenti, pakai baju hujan dan teruskan kayuhan.

6.00 petang sampai di Padang Besar. Setelah membuat pusingan bulatan arah ke selatan, matlamat telah tercapai. Keadaan di Padang Besar teruk sekali, mungkin tengah pesat membangun. Ia seolah-olah satu pekan yang baru dibangunkan. Banyak kereta Siam. Rasa tidak selesa, sebelum menjelang gelap tempat penginapan mesti dicari. Jumpa sebuah motel dan bermalam di situ. Harganya RM40.00 semalam. Oleh sebab waktu malam banyak kedai yang telah ditutup susah hendak mendapatkan kedai makan. Terpaksa berjalan jauh. Itu tidak ada masalah asalkan ada makanan. Nasib baik, jalan jauh itu berbaloi kerana tauke restauran mengadakan kenduri selamat mengkhatankan anaknya. Maknanya makan pada malam itu percuma. Dua kali tambah. Tidur nyenyak sekali.

Jarak kayuhan ialah 151.5 KM

Keseluruhan perjalanan pergi daripada rumah melalui Cameron Highland dan Gunung Jerai hingga ke Padang Besar ialah 767 KM.

Hari 8 ( Ahad : 13 Jun 2010 )

Padang Besar – Kaki Gunung Jerai

7.45 pagi, pada hari ini bermula perjalanan pulang. Setelah tidur secukupnya di sebuah motel kayuhan bermula balik ke selatan dengan melalui Chuping. Makanan pagi ialah bun dan minum Alicafe. Mengikut saudara Zamzuri orang yang mencadangkan laluan ini, pemandangannya sangat cantik. Pemandangan ladang tebu, ia juga memberi gambaran serba sedikit laluan ini dan pekan-pekan utama yang akan dilalui.  Sememangnya pemandangan di sini cantik, yang dipenuhi dengan pokok tebu seluas mata memandang.  Jalan-jalannya berbukit tetapi tidak begitu tinggi, licin dan cantik seperti di lebuh raya. Selepas ladang tebu terdapat pokok-pokok getah yang di tanam di sini. Tidak terjumpa kampung sehinggalah di Changlon.

10.40 Sampai di pekan Changlon, berehat dan makan roti telor bersama air laici suam. Tidak lama kemudian kayuhan diteruskan ke Jitra. Untuk ke Jitra terpaksa melalui lebuh raya utara – selatan, lebih kurang 27 KM, dibenarkan masuk kerana antara Jitra hingga ke Bukit Kayu Hitam tidak dikenakan tol, tidak ada laluan pilihan agaknya. Berdebar-debar juga dibuatnya kerana kenderaan laju. Hendak segera keluar daripada lebuh raya berkenaan. Susur keluar berhampiran Dewan Wawasan. Cuaca pada hari itu panas terik, oleh sebab sudah makan di Changlon kayuhan diteruskan tanpa singgah di Jitra, terus menuju Alor Star.

1.45 tengah hari sampai di Alor Star dan berhenti makan tengah hari, berlaukkan ikan dan ulam pucuk pengaga. Tidak pernah lihat pucuk pengaga yang gemuk sekali, mungkin masalah kegemukan.

2.15 tengah hari bertolak dari Alor Star. Sampai di Simpang Empat buat panggilan ke rumah, bertanya khabar.

5.30 petang sampai di kaki Gunung Jerai. Bercadang bermalam di situ di dalam khemah. Cadangan itu terpaksa dibatalkan kerana ada kutu rayau menyebabkan rasa tidak selesa dan bimbang. Tidur berhampiran dengan tempat penerangan Hotel Regency yang berada di kaki gunung. Malam itu makan nasi goreng kampung dengan air laici suam. Ternampak iklan kopi Aleedin di merata tempat di restoran berkenaan sama dengan iklan yang ada di kedai Indonesia di Desa Mewah dengan gambarnya sekali.

Jarak kayuhan ialah 124.4KM

Hari 9 ( Isnin: 14 Jun 2010 )

Kaki Gunung Jerai – Bagan Serai

7.00 pagi bertolak dari kaki Gunung Jerai. Pemandangan sama seperti semasa hendak ke Padang Besar kerana laluan yang sama. Di Kepala Batas berjumpa dengan dua orang pengayuh yang hendak ke utara, hanya sempat memberi salam dan senyuman. Cuaca panas terik. Walaupun demikian kayuhan diteruskan hingga ke Butterworth dan keluar dari bandar tersebut ke jalan lama ke selatan. Ternampak Restauran Subaidah dan berhenti makan dan berehat sebentar. Kayuhan ini rasanya paling jauh tanpa henti iaitu 72 KM. Makan nasi dengan berlaukan burung puyuh masak kurma dan ikan kembong goreng, dan sayur kacang.

12.45 tengah hari meninggalkan Butterworth, selain daripada menghadapi masalah hujan, cermin mata juga buat hal. Cermin sebelah kanan tercabut kerana skrunya longgar. Kuatkan semula dengan pisau yang dibawa. Kurang membantu. Apabila hendak sampai di Bandar Baharu semasa mengayuh cermin itu terjatuh di atas rumput terpaksa pusing dan mencarinya. Nasib baik jumpa. Skrunya kali ini hilang terus. Disebabkan cuaca kurang panas dan hujan renyai-renyai tidak ada masalah kalau tidak memakai cermin mata. Walaupun demikian mata sentiasa liar memerhatikan kalau-kalau ada kedai cermin mata di sepanjang jalan itu. Sekali lagi bernasib baik kerana tidak lama kemudian ternampak kedai cermin mata dan berhenti untuk memasang skrunya dan mengetatkan semua skru yang ada. Tauke kedai tidak mahu menerima upah terhadap perkhidmatannya itu dan juga skru baru itu diberi percuma. Alhamdulillah, itu semua nikmat dan pertolongan yang diberi-Nya.

6.30 petang sampai di Bagan Serai. Semasa rehat datang seorang yang memperkenalkannya dirinya sebagai Razaligh. Bercakap-cakap dengannya. Orang kuat parti Keadilan, pernah datang berkempen di Hulu Selangor. Berusia 55 tahun, katanya ada banyak penyakit, doktor kata sudah sampai peringkat kronik. Nasihatkan kepadanya cuba berkayuh di kampung. Dia ajak minum tetapi  menolak dan dia hulurkan RM5.00 untuk makan malam. Hujan turun lagi tetapi sekarang sudah ada tempat berteduh di stesyen minyak Bagan Serai. Tidur dengan nyenyak kerana stesyen minyak ini ada jaga dan basikal diletakkan berhampiran dengannya.

Jarak kayuhan ialah 132. 7 KM

Hari 10 ( Selasa : 15 Jun 2010 )

Bagan Serai – Bandar Baru Kampar

6.35 pagi bertolak dari Bagan Serai. Perjalanan selesa tidak ada gangguan. Jalan raya luas.

9.10 pagi sampai di kaki Bukit Berapit, berehat sekejap kerana selepas ini akan mula mendaki.  Seperti biasa apabila mendaki kayuhan amat perlahan, tidak mengapa asalkan tidak menolak basikal ke puncak.

12.15 tengah hari berhenti di Sungai Siput untuk makan tengah hari. Makan nasi berlaukan ikan dan sayur bayam. Minum air suam.

1.00 tengah hari berkayuh semula, kayuhan lancar tidak ada masalah sepanjang perjalanan kecuali di Ipoh kerana tidak faham dengan tanda jalan tersesat sedikit. Setelah bertanya keadaan berjalan seperti biasa.

5.20 petang sampai di stesyen minyak Bandar Baru Kampar. Bercadang untuk berehat dan bermalam di sini.

Jarak kayuhan ialah 153.4 KM

Hari 11 ( Rabu : 16 Jun 2010 )

Bandar Baru Kampar – Semenyih

6.30 pagi, bertolak dari Bandar Baru Kampar. Sarapan pada pagi itu ialah bun dan Alicafe. Perjalanan berjalan lancar. Apabila sampai di Sungkai berjumpa dengan saudara Roslan. Saudara Roslan ialah seorang guru yang mengajar di Sabah, di daerah Beluran.  Sudah enam tahun ia mengajar di sana, pada tahun ini ia minta tukar. Kenal dengan saudara Roslan adalah secara kebetulan iaitu semasa hendak mengayuh ke puncak Gunung Jerai, semasa rehat ia datang bercakap, ia orang Kedah. Ia meminati basikal. Ia juga pada hari itu baru selesai mengayuh. Isterinya dari Perak dan mereka dalam perjalanan ke Cameron Highland untuk menghabiskan baki cuti. Semasa kayuhan ke selatan ia ternampak dan pusing untuk bertanya khabar. Setelah bercakap seketika kayuhan di teruskan dan saudara Roslan menuruskan perjalanannya.

11.47 tengah hari  sampai di stesyen minyak Slim River berhenti sekejap dan bertanya dengan budak atenden tempat makan yang terdekat. Ia mencadangkan di kawasan tol lama di sebelah kanan jalan, harganya murah dan banyak pilihan. Ada jual air kelapa juga katanya. Jaraknya lebih kurang satu kilometer dari stesyen minyak itu. Berhenti makan, berlaukan ikan patin masak tempoyak , ikan sepat  masin dan sayur petola.

12.45 tengah hari berkayuh semula dari Slim River.

2.00  petang sampai di Tanjung Malim, berehat sebentar di stesyen minyak

5.30 petang sampai di masjid Serendah, mandi dan solat.

6.12 petang, mulakan kayuhan, sudah semakin hampir dengan rumah.

6.45 petang sampai di stesyen minyak Rawang. Berehat dan bercadang untuk bermalam di sini. Buat panggilan ke rumah. Duduk berehat di belakang stesyen, stesyen minyak ini sibuk dengan orang keluar masuk, begitu juga dengan suraunya. Fikiran berbelah bagi telah hampir dengan rumah suasana sibuk tentu sukar hendak tidur. Kalau tidak boleh tidur adalah lebih baik teruskan kayuhan.

Keputusan dibuat dan kayuhan akan diteruskan. Periksa lampu depan dan belakang semuanya dalam keadaan baik. Berehat lama sedikit untuk memulihkan tenaga, makan secukupnya kerana dalam perjalanan nanti akan mendaki Bukit Templer yang tidak kurang hebatnya jika hendak dibandingkan dengan Bukit Berapit. Hari semakin gelap. Pengalaman memberitahu kalau bertolak awal akan menghadapi masalah iaitu kesesakan di jalan raya terutama di Kuala Lumpur. Bertolak lewat sedikit untuk mengelakkan masalah itu.

9.19 malam setelah berehat dengan cukupnya dan berazam untuk sampai pada malam itu juga, dengan bacaan bismillah dan membaca ayat kudsi, berdoa supaya tidak ada masalah dalam perjalanan kayuhan dimulakan. Sukar sedikit kerana masalah tanda arah jalan yang tidak jelas,maklumlah waktu malam, penglihatan tidak boleh melihat jauh. Setelah bertanya dengan orang yang lalu lalang dapat arah yang sebenarnya. Tidak lama berkayuh sampai di satu lampu trafik berhenti kerana warna merah, bila hijau mulakan kayuhan, tiba-tiba basikal menghadapi masalah, tidak berjalan lancar, ada sesuatu yang berlaku. Terpaksa berhenti dan buat pemeriksaan, rupa-rupanya getah yang mengikat topi keselamatan terlucut dan pencangkoknya tersangkut  pada jari-jari basikal dan membelit piring kelajuan basikal ( topi keselamatan tidak dipakai dan diikat pada pengangkat barang basikal ). Dalam hati berkata tidak sampai malam ini, getah itu putus, nasib baiknya ialah kayuhan tidak laju warna hijau baru menyala. Kalau menurun Bukit Templer belum tahu lagi. Setelah berusaha belitan itu dapat dirungkai. Menjadi satu ingatan bahawa masa akan datang ikatan hendaklah kukuh dan pencangkoknya mesti berada dalam keadaan yang kukuh dan mantap, tidak boleh longgar sedikit pun kerana ia boleh terlepas dan membahayakan.

Ujian dibuat untuk mengetahui kemampuan basikal sama ada boleh meneruskan perjalan atau tidak. Apabila didapati tiada masalah kayuhan diteruskan. Laju sedikit kerana suasana malam dan dingin tidak sedar sudah sampai ke kaki Bukit Templer. Rasa-rasa sudah semakin perlahan, suasana gelap tidak ada lampu jalan kerana jalan di situ dalam proses pembesaran. Tidak ada masalah, selain daripada lampu basikal yang dalam keadaan baik kenderaan yang lalu lalang banyak membantu. Kayuhan diteruskan walaupun perlahan. Bila menurun tentulah laju sedikit. Bila masuk ke daerah Selayang, banyak berhenti kerana keliru, keadaan telah banyak  berubah, penglihatan terhad, takut tersesat hendak bertanya sukar kerana tiada pejalan kaki. Di sebuah stesyen minyak bertanya seorang penunggang motosikal, ia memberitahu nama jalan yang dilalui itu ialah Jalan Kuching. Biasa dengan jalan itu tetapi hendak mencari bulatan arah ke Jalan Duta dan Segambut tidak jumpa. Akhirnya tersesat juga, entah lebuh raya mana yang dilalui. Penat sekali, kerana di Kuala Lumpur walaupun tiada bukit, jejantasnya tinggi-tinggi belaka entah berapa tingkat. Kalau tiga jejantas sahaja sudah cukup memeritkan. Tambahan pula sudah berkayuh selama sebelas hari. Tidak nampak jalan yang sudah biasa dilalui. Akhirnya dalam kepenatan terjumpa dengan peronda lebuh raya yang sedang bercakap dengan seorang pemandu kereta, menghadapi masalah yang sama agaknya. Bertanya dengannya arah untuk ke Cheras.

Katanya telah terbabas jauh. Sepatutnya ikut jalan Kuching tadi jelasnya. Kalau begitu tak perlu bertanya. Tanya pula Jalan Duta, ia dengan cepat menyedari dengan melalui Jalan Duta seseorang boleh keluar untuk ke Cheras dan terus ke selatan. Dia menunjukkan Jalan Duta yang tidak jauh daripada tempat bertanya, tetapi untuk ke Jalan Duta itu ada dua lencongan, satu Jalan Duta dan Jalan Kuching, satu lagi Jalan Duta  dan Pusat Bandar. Dia suruh ikut yang di sebelah kanan Jalan Duta dan Pusat Bandar. Setuju ikut laluan itu, kalau tersesat lagi sekurang-kurangnya telah masuk kawasan Bandar. Tidak berani hendak ikut Jalan Duta dan Jalan Kuching, kalau-kalau ia berpatah balik ke utara, lebih memenatkan. Telah masuk tengah malam dan hampir masuk waktu pagi, kereta di lebuh raya jauh berkurangan. Masuk terus sebelah kanan jalan, lorong laju, beberapa kali dihon oleh kereta memberitahu agaknya, tetapi buat tidak kisah asalkan jangan kena saman. Kalau ikut kata peronda lebuh raya, basikal tidak kena saman, itu menyenangkan. Ikut lorong kanan bahagian paling tepi di sebelah pembahagi jalan supaya dapat fokus arah yang hendak dituju. Tambahan pula kereta sudah boleh dibilang dengan jari. Keluar daripada Lebuh raya terus ke Jalan Duta dekat dengan Damansara. Hati rasa lega, jalan ini selalu digunakan untuk ke utara dan selatan dan ke pantai timur sama ada melalui lebuh raya atau jalan lama.

Kayuhan pulang ke rumah selepas ini berjalan lancar, apabila sampai di lebuh raya Cheras singgah sebentar di sebuah restauran 24jam  mamak, berhenti makan. Memikirkan apabila sampai di rumah nanti isteri, anak dan menantu semuanya sedang nyenyak tidur dan tentu tidak ada makanan  keputusan ini adalah satu keputusan yang munasabah. Tambahan pula makan pada pagi itu kari kambing, sayur timun dan air laici panas tidak dikenakan bayaran oleh pihak restauran. Kesihan agaknya.

1.00 pagi, hari Khamis 17 Jun 2010 mula berkayuh meninggalkan restauran menuju ke rumah. Jalan legang, kayuhan cukup selesa, melalui Bandar Kajang yang sedang diulit mimpi, Taman Jasmin, Taman Teknologi , depan JPJ,  membelok ke kiri, selepas itu membelok ke kanan, memberi salam kepada jaga taman, membelok ke kiri semula dan tidak lama kemudian sampai di rumah.

2.30 pagi sampai di rumah. Penghuni rumah semuanya tidur, Basikal disandarkan di tiang tempat letak kereta, barang-barang ditinggalkan. Apabila masuk rumah tidak ada seorang pun yang sedar. Buka baju, dengan beralaskan permaidani rumah terus tidur. Waktu subuh baharu terbangun.  Tamat perjalanan. Bersyukur kepada Allah kerana memperkenankan kayuhan ini tanpa banyak masalah. Bersyukur kerana telah memberi kekuatan mental dan fizikal, memberikan kesihatan yang baik walaupun terkena hujan dan panas dan banyak meminum air paip. Bersyukur juga kepada-Nya di atas keselamatan yang diberikan sepanjang kayuhan.

Jarak kayuhan ialah 220.4 KM

Jarak kayuhan sepanjang perjalanan pulang ialah 640.9 KM

Perbelanjaan lebih kurang RM350.00


7 Comments so far
Leave a comment

haloo bpk ramli/meli
saya eka satria yg kmaren ktemu bpk dtanjung morawa medan indonesia

Comment by eka satria

Sekarang berada di Malaysia. Hanya sampai di Parapat. Masalah visa. Pulang awal. Terima kasih di atas sokongan tuan.

Comment by hajimeli

Tahniah cikgu..

Comment by oranggunungnuang

T. K. Pada 27 Oktober 2012 akan ke Hanoi bersama saudara Karim dgn kapal terbang. Balik akan berkayuh, melalui Vietnam, Laos, Kampuchea dan Thailand. Jarak kayuhan 6,125 KM. Mengambil masa 72 hari. Doakan semoga selamat pergi dan kembali.

Comment by hajimeli




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: