Hajimeli's Blog


KAYUHAN KE FELDA PASOH 4, SIMPANG PERTANG, NEGERI SEMBILAN
08/07/2010, 2:28 pm
Filed under: Uncategorized

Objektif: Menziarahi abang yang sedang sakit

Ahad, 4 Julai 2010, setelah sarapan pagi dengan hidangan dua keping roti dan secawan besar susu panas, kayuhan dimulakan pada jam 7.15 pagi. Berbasikal adalah aktiviti harian sejak empat bulan tahun ini kecuali pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari Sabtu akan ke Pasar Tani Saujana Impian, Kajang dan pada hari Ahad biasanya akan mendaki gunung. Pada masa lalu aktiviti larian menjadi keutamaan.  Pernah menyertai separuh marathon di Kuala Lumpur iaitu pada tahun 2008 dan 2009, dan larian Menara Kuala Lumpur pada tahun yang sama. Tahun ini tidak menyertainya kerana tidak ada akaun dalam internet. Masih kolot. Oleh sebab ia telah menjadi keutamaan akhir-akhir ini, tiada siapa di rumah hendak ambil berat  arah tujuan kayuhan.

Hari ini basikal lumba digunakan, basikal yang dibeli oleh anak semasa ia belajar di Jepun. Tidak menggunakan basikal gunung kerana basikal itu belum dipulihkan lagi sejak perjalanan jauh ke Padang Besar tempoh hari. Lagipun basikal lumba lebih laju dan ringan. Tiada bekalan makanan yang dibawa, hanya dua botol air. Tiub, pam dan peralatan asas untuk membaiki basikal dibawa bersama, di isi di dalam beg pinggang. Tidak lupa juga krim urut, persediaan, manalah tahu kaki buat hal.

Setelah meninggalkan rumah, 500 meter kemudian  membelok ke kiri memasuki Jalan Semenyih, selepas itu membelok ke kiri sekali lagi menghala ke Sungai Tekala. Tidak banyak kenderaan pada pagi itu, perjalanan sangat selesa. Suasana nyaman sekali, cuaca sejuk. Melalui kawasan kampung tidak ada kesibukan. Sesekali berselisih dengan kenderaan lain. Sepanjang perjalan hingga ke Nirvana Memorial Park tidak jumpa dengan pengayuh-pengayuh lain. Biasanya pada hari Ahad ramai pengayuh akan datang melalui laluan ini untuk ke Genting Peras yang bersempadan dengan Negeri Sembilan. Di sini amat terkenal dengan peminat basikal terutama yang tinggal di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Pemandangannya cantik, terutama di empangan Hulu Langat, di samping itu terdapat tempat berkelah dan berkhemah, iaitu Sungai Tekala.

Bila sampai di Sungai Tekala pada jam 8.00 pagi, suasana lagi sunyi, gerai belum dibuka tidak ada yang berkelah, mungkin masih terlalu awal, kayuhan diteruskan, 500 meter kemudian pendakian bermula, pendakian untuk memanaskan badan kerana berikutnya lebih mencabar.  Sebelah kanan adalah empangan Hulu Langat, sangat terkenal dengan kaki pancing, ada yang berkhemah di situ. Ada banyak beruk di sini, menunggu orang yang menyayangi binatang memberinya makan. Di sini juga selalunya ramai orang untuk bersantai kerana pemandangan. Jadi beruk-beruk itu merebut peluang untuk mendapatkan makanan secara mudah. Tidak ada orang pada pagi itu untuk berkelah dan bersantai tidak menghairankan kerana waktu masih awal tetapi ketiadaan pengayuh agak menghairankan. Waktu yang sangat sesuai kerana kenyamanan udaranya.

Apabila menurun bukit di simpang hendak ke Ampang baharu terserempak dengan seorang pengayuh wanita. Hairan juga, beraninya dia, bukan mempertikaikan keberaniannya tetapi memandangkan suasana pada ketika itu. Setelah sama-sama mengucapkan “ hai “ masing-masing menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Ucapan ini adalah salah satu ucapan yang sering dilafazkan sebagai tanda perkenalan dan sokongan moral di kalangan peminat basikal.  Tidak lama kemudian bertembung pula sekumpulan pengayuh basikal dengan pelbagai jenis basikal. Apabila sampai di simpang hendak ke Sungai Lui bertembung lagi dengan sekumpulan pengayuh yang jumlahnya lebih ramai.

Selepas sempang ini pendakian bermula dengan melalui kampung orang asli hinggalah ke Genting Peras. Kelajuan antara tujuh ke lapan kilometer sejam. Di sini bertembung dengan ramai pengayuh bukan sahaja dari Malaysia, berdasarkan kulit mereka dan raut wajah mereka tentunya dari luar negara. Ada juga pengayuh yang memotong, tidak ada masalah bukan hendak berlumba tetapi beriadha. Sampai di Genting Peras jam 9.00 pagi. Kebanyakan pengayuh akan berhenti di puncak bukit dan berpatah balik.  Setelah berbual sekejap dengan pengayuh yang lain dan minum, kayuhan diteruskan memasuki  Negeri Sembilan menuju ke Kuala Klawang. Tiada pengayuh yang ditemui sepanjang perjalanan. Mungkin objektif mereka telah tercapai.  Yang menariknya sepanjang perjalanan ialah banyaknya gerai membeli getah beku bukan gerai makanan. Cuaca mendung dan nyaman walaupun sudah hampir tengah hari. Bila sampai di Kuala Klawang jam 11.00 tengah hari cuaca masih lagi mendung, tidak perlu pakai cermain mata hitam.  Tanpa rehat terus ke Simpang Pertang. Apabila tiba di Petasih, berhenti sebentar di sebuah gerai minum air asam boi. Perut sangat lapar, disebabkan gerai itu hanya menjual buah-buahan, terpaksa makan, makanan yang ada. Makan sesisir pisang emas yang berjumlah 15 biji. Tidak lama kemudian kayuhan diteruskan, jalan di sini licin dan cantik, cukup selesa untuk mengayuh.

Jam 12.00 tengah hari sampai di Simpang Pertang buat panggilan ke rumah. Anak yang jawab dan minta ia memberitahu emaknya tujuan kayuhan pada hari ini. Selepas membuat panggilan ke rumah melalui pondok telefon perjalanan diteruskan ke Felda Pasoh 4. Di pertengahan jalan hujan turun dengan lebatnya sampailah ke simpang masuk Felda Pasoh 4. Basah kuyup.  Sampai di rumah abang jam 1.00 tengah hari. Bertanya khabar, berbual mengenai penyakit yang dihidapinya, dan selepas makan tengah hari, jam 2.00 petang meninggalkan rumahnya menuju pulang melalui jalan yang sama ke Kuala Klawang dan sampai pada jam 3.45 petang. Berhenti sebentar bersebelahan Dewan Adat, minum air jagung dan makan  sukun goreng dan keledek goreng. Hujan turun renyai-renyai dan minta pendapat peniaga gerai sama ada boleh sampai ke rumah pada jam 7.00 petang. Rancangan perjalanan balik ialah melalui Jeram Toi, Lenggeng, Broga dan Semenyih. Katanya,” boleh”

Hujan masih turun renyai-renyai, kalau tunggu, untuk sampai ke rumah sebelum pukul tujuh tidak akan tercapai. Setelah memberi salam kepada peniaga gerai kayuhan dimulakan menuju ke Jeram Toi. Jalan raya sibuk sedikit kerana melalui jalan utama untuk ke Seremban.  Bila sampai di Jeram Toi mula mendaki Bukit Tangga, jalannya luas dan cantik tetapi bukitnya tinggi. Jauh pendakian ialah 3.5 kilometer. Sampai di puncak pada jam 5.00 petang. Kelajuan ialah empat ke lima kilometer sejam. Bila menurun laju sekali dan jauh melampaui sempadan Seremban.  Terpaksa berhenti sekejap kerana tangan sudah lengoh bermain dengan berek.  Sampai di satu simpang membelok ke kanan menuju ke Lenggeng. Pada keseluruhan perjalanan ke Lenggeng jalan rayanya cantik, cuma di satu tempat yang dalam pembaikkan, lebih kurang 500 meter. Perjalanan ke Lenggeng terpaksa mendaki dua buah bukit yang boleh tahan juga tingginya.  Sampai di Kampung Mendum berhenti di sebuah surau untuk solat. Tidak jauh daripada situ membelok ke kanan dan tidak jauh, lebih kurang 100 meter ialah pekan Lenggeng. Kayuhan diteruskan menuju ke Broga. Musim durian ada banyak gerai di tepi jalan sepanjang perjalanan ke Broga. Sampai di hadapan pasar Broga membelok ke kiri menuju ke Semenyih.  Dalam perjalan dari Broga ke Semenyih akan berjumpa dengan Bukit Broga dan Gunung Tok Wan. Pada hari Sabtu dan Ahad ramai pendaki akan mendaki Bukit Broga, kadang-kadang mencecah ratusan orang dan kepada yang masih bertenaga akan meneruskannya mendaki Gunung Tok Wan.  Pemandangan cantik sekali. Juga akan melalui Nothingham University.

Satu kilometer dari pekan Semenyih sedang asyik mengayuh terdengar suara memanggil       “ ayah “ dengan kuatnya, menoleh nampak nombor kereta milik anak. Bersiar-siar ke Broga bersama isteri.  Sampai di satu sempang belok ke kanan dan tidak lama kemudian jumpa pekan Semenyih. Di sini keadaan lalulintas sesak sekali, dengan mudah memotong kenderaan lain, keadaan ini berterusan hingga sampai ke simpang untuk ke Taman Desa Mewah. Kayuhan ini tamat pada jam 7.00 petang dengan jarak perjalanan 210 kilometer.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: