Hajimeli's Blog


Kayuhan Santai ke Kuala Klawang
12/07/2010, 5:37 am
Filed under: Uncategorized

Kayuhan ini dilakukan bersama rakan yang tinggal setaman di Desa Mewah. Menjadi kaki basikal sejak empat bulan yang lalu. Kemungkinan besar akan menjadi pengayuh tegar. Setiap hari ia akan keluar mengayuh sekiranya tidak ada kerja yang lain. Ia adalah seorang guru yang mengajar pada waktu petang. Oleh yang demikian ia akan mengayuh pada waktu pagi. Biasanya ia akan menyertai saya mengayuh, setelah saya selesai satu pusingan membuat latihan di kawasan yang boleh dikatakan mencabar juga berdekatan dengan tempat tinggal. Keinginannya untuk mengayuh ke Kuala Klawang mungkin setelah mendengar cerita kayuhan saya tempoh hari. Ia juga pernah membuat kayuhan ke Seremban dengan melalui lebuh raya LEKAS sejauh 88 kilometer, pergi-balik. Ia mungkin ingin mencuba di laluan yang lebih jauh dan mencabar.  Jarak laluan ini ialah 135 kilometer dengan melalui Genting Peras dan Jeram Toi. Di samping itu perlu juga mendaki beberapa buah bukit. Kayuhan sehala ini dirancang akan dilaksanakan  pada hari Sabtu 10 Julai 2010.

Dikatakan kayuhan santai kerana saya telah dua kali ke Kuala Klawang dengan mengikut laluan yang sama. Kali ini cuma untuk meneman rakan, dan tidak perlu terburu-buru kerana tahu akan kemampuan dan basikal yang akan digunakannya.

Kayuhan dimulakan pada jam 7.00 pagi, melalui laluan kampung menuju ke Sungai Tekala. Laluan ini diikut untuk mengelakan kesesakan di Jalan Semenyih yang dalam proses pelebaran. Apabila masuk ke jalan raya menuju ke Sungai Tekala keadaan lalu lintas sibuk sedikit kerana sesetengah sektor swasta hari Sabtu masih merupakan hari bekerja. Keadaan cuaca adalah dingin, sangat sesuai untuk mengayuh. Shariff ( nama kawan saya itu ) mengayuh di hadapan sejak permulaan kayuhan. Sampai di Sungai Tekala, 16 kilometer dari Desa Mewah berjumpa dengan tiga orang pengayuh sedang bercakap-cakap, mungkin mereka menunggu kawan-kawan yang lain. Tidak lama kemudian pendakian bermula di bukit yang berhampiran dengan empangan Hulu Langat, Shariff masih di hadapan. Di pertengahan bukit memandangkan basikal yang digunakannya ialah basikal gunung yang tayarnya mempunyai bunga yang tebal yang sesuai untuk aktiviti lasak atau aktiviti ‘ off road ‘, pergerakannya amat perlahan dan memerlukan tenaga yang banyak untuk menggerakkannya, manakala saya pula menggunakan basikal lumba. Saya memotongnya dan memberitahu akan menunggu di hadapan.

Apabila ia sampai saya mengikutnya semula. Hari ini bertembung dengan ramai pengayuh, lelaki dan perempuan, sama ada secara solo ataupun berkumpulan. Apabila mula mendaki Genting Peras saya sekali lagi memotong Shariff dan menunggunya di puncak yang bersempadan dengan Negeri Sembilan. Sampai di puncak pada jam 9.15 pagi. Shariff sampai sepuluh minit kemudian. Berbual-bual dengan pengayuh yang lain dan memberitahu mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Klawang dengan melalui Jeram Toi, Lenggeng dan Broga untuk pulang ke rumah. Ada 33 kilometer lagi untuk sampai ke Kuala Klawang. Kali ini saya di hadapan. Supaya tidak jauh ketinggalan, apabila sampai di simpang hendak menuju ke Lata Kijang saya sekali menunggunya. Di sini saya melihat ramai pengayuh yang menuju ke destinasi yang sama, laju-laju belaka. Sekelip mata sudah tidak nampak kelibatnya. Shariff sampai dan bercadang hendak ke kaki Gunung Besar Hantu, melihat keadaan alam dan satu masa nanti mungkin akan mendakinya. Tidak ada tanda jalan ke sana, rancangan dibatalkan. Shariff nampaknya masih bertenaga, tiada tanda kelesuan kayuhan diteruskan, sampai di Kuala Klawang pada jam 11.30 tengah hari, berhenti di hadapan Bangunan Tabung Haji, tidak lama kemudian pergi ke sebuah restoran masakan Melayu untuk berehat dan makan. Kuala Klawang mempunyai udara yang nyaman kerana di kelilingi oleh kehijauan yang melaut luasnya. Walaupun telah tengah hari masih terasa kedinginan udaranya.

Pada jam 12.30 tengah hari memulakan kayuhan menuju ke Jeram Toi, Shariff di hadapan, pergerakan perlahan sedikit kerana hendak menyimpan tenaga, selepas ini hendak mendaki Bukit Tangga, matlamatnya tidak mahu berhenti di tengah-tengah atau menolak basikal hingga ke puncak. Bukit Tangga lebih mencabar daripada Genting Peras. Seperti biasa bila mendaki amat perlahan sekali, kelajuan antara empat ke lima kilometer sejam. Sampai di puncak pada jam 1.30 tengah hari. Menunggu Shariff, semasa menunggu seorang peniaga durian ethnik Cina yang menunggang motosikal juga berhenti rehat, katanya ia mesti rehat sekurang-kurangnya lima minit. Ia menghisap rokok dan bercerita bahawa kedua-dua lututnya telah diganti dengan perbelanjaan RM20,000.00 di hospital kerajaan. Matanya juga telah dibedah, katarak, yang sebelah baru dibedah tiga hari. Ditunjukkannya. Terkejut, bukan kerana baharu tiga hari dibedah tetapi kerana terlalu awal baginya untuk membuat kerja berat. Berdasarkan pengalaman, dinasihatkan  supaya berehat, mengikut kata salah seorang jururawat tepersin pun tidak boleh, takut akan mengganggu sistem saraf mata berkenaan. Itupun tidak sempurna. Apatah lagi kerja berat. Katanya, ” hendak cari makan. ” Terasa insaf.  20 minit kemudian Shariff sampai dan setelah ia berehat seketika kayuhan diteruskan, kali ini menurun sehingga ke simpang masuk ke Lenggeng.

Walaupun perjalanan ke Lenggeng hanya tujuh kilometer tetapi terpaksa mendaki dua buah bukit yang boleh tahan juga ketinggiannya. Hanya kekuatan mental dan fizikal yang boleh membantu menjayakan pendakian ini. Sampai di Kampung Mendum pada jam 3.30 petang, berhenti rehat dan solat jamak. Apabila hendak menyambung kayuhan hujan telah turun dan batalkan kayuhan sehingga hujan reda. Di pertengahan jalan hujan telah turun dengan lebatnya, terasa pedih, bila titik-titik hujan itu menyentuh kulit. Hujan batu barangkali. Tidak mahu berhenti berteduh, sudah tidak berguna, sudah basah kuyup. Kayuhan diteruskan sampai di Broga hujan telah reda. Sampai di Semenyih rupa-rupanya tidak hujan kerana jalan raya dan persekitarannya adalah kering. Sampai di rumah pada jam 5.30 petang.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: