Hajimeli's Blog


Sejarah Basikal dan Kayuhan Haji Ramli
18/07/2010, 2:23 pm
Filed under: Uncategorized

Mula berjinak dengan basikal dua tahun sebelum bersara iaitu pada tahun 2005. Ia berlaku apabila anak yang kedua tamat pengajiannya di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya. Satu program yang diwujudkan oleh kerajaan kepada pelajar cemerlang. Apabila mereka tamat pengajian di sini, yang mengambil masa selama dua tahun mereka akan di tempatkan di universiti-universiti di Jepun. Mereka belajar bahasa Jepun. Semasa menuntut, ia telah meminta membelikan basikal untuk memudah dan mempercepatkannya berulang-alik dari dewan kuliah ke asrama. Basikal itu dibeli dengan harga RM350.00. Berjenama Hercules. Ia dibawa balik setelah anak tamat belajar di sana. Apabila ia menyambung pelajarannya di Universiti Akita dalam bidang kejuruteraan, basikal itu diletakkan di tempat letak kereta di rumah. Lama ia di situ, hingga pada suatu hari apabila melihat basikal berkenaan, teruja hendak menunggangnya, tayar yang tidak berangin di pam, berek diuji, masih dalam keadaan baik, apabila memulakan kayuhan, seronok pulak.

Pada permulaan kayuhan hanya menggunakan jalan di hadapan rumah, panjangnya lebih kurang 130 meter. Setiap petang kalau cuaca baik akan mengayuh untuk berseronok dan menghilangkan tekanan, selepas membuat kerja-kerja di taman di kawasan rumah.

Apabila cuti sekolah akan membuat kayuhan di keliling kedai yang terdapat di Desa Mewah. Satu pusingan lebih kurang 400 meter, di ukur dengan menggunakan meter kereta. Selalunya membuat sepuluh pusingan. Pada masa yang sama, banyak membaca artikal kejayaan seseorang dengan mengayuh basikal. Ada keinginan untuk mengayuh lebih jauh, seperti Semenyih dan Kajang. Cuba ke tempat tersebut, boleh tidak ada masalah. Didapati basikal terlalu berat bila mendaki. Bawa ke kedai, nyatakan masalah, ia memberitahu kalau gearnya ditukar ia akan jadi lebih ringan. Minta tauke itu menukarnya dengan jenis yang terbaik dan Shimano tujuh kelajuan adalah jawapan kepada masalah itu.

Ingin pula lebih jauh ke Seremban yang jaraknya 45 kilometer dan ke Bandar Baru Salak Tinggi yang jaraknya 30 kilometer. Latihan ditingkatkan dengan melakukan kayuhan 100 pusingan di keliling kedai yang bermakna 40 kilometer. Dengan gear dan kelajuan baru tidak menghadapi masalah. Setiap kali kayuhan akan selesai pada jam 11.00 tengah hari, santai sahaja. Dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad. Sebelum pergi ke dua tempat tersebut, buat percubaan ke Sungai Tekala yang jaraknya 32 kilometer, pergi-balik. Pada suatu hari Ahad kayuhan dimulakan. Memang daif tentang basikal, hendak menukar tiub pun tidak tahu yang ada ialah keazaman dan keberanian. Pam yang dibawa bukanlah pam yang digunakan oleh kaki basikal tetapi pam yang panjangnya lebih kurang satu kaki setengah, diikat dekat palang basikal berkenaan.

Kayuhan ini pada mulanya tidak ada masalah cuma terasa letih sedikit tetapi apabila sampai di bukit dekat empangan Hulu Langat ia mula menjadi masalah kerana sudah tidak ada tenaga untuk mendaki bukit tersebut dan terpaksa berpatah balik. Walau bagaimanapun sudah mengayuh 32 kilometer. Pernah juga ke Seremban selepas itu, apabila sampai di Bukit Mantin terpaksa menolak basikal. Semasa ke Seremban terasa amat sakit di bahagian bontot kerana tempat duduk basikal yang kecil. Bawa ke kedai untuk ditukar, pada masa yang sama pam panjang itu ditukar dengan yang lebih sesuai. Tauke kedai senyum apabila melihat pam yang dibawa. Betul-betul ketinggalan zaman. Ia juga mencadangkan supaya tayar ditukar yang sesuai untuk kegunaan di jalan raya.

Pada suatu hari Sabtu pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat dan bercadang untuk hadir dengan mengayuh basikal. Beritahu  kerani sekolah, minta ia sampaikan kepada pengatua sekiranya lambat, datang dengan basikal. Bertolak pada jam 6.00 pagi dan sampai tepat jam 8.00 pagi. Alhamdulillah. Selepas itu kerap ke sekolah dengan mengayuh basikal. Jarak dari rumah ke sekolah pergi-balik ialah 60 kilometer.

Basikal inilah yang digunakan dalam aktiviti kayuhan sebelum bersara. Banyak jasanya. Apabila anak yang ketiga hendak membawanya ke Melaka untuk kegunaannya di sana, tidak memberinya kerana bimbang ia tidak menjaganya dengan baik. Sekarang ia digunakan setiap hari untuk aktiviti lasak di ladang kelapa sawit berhampiran dengan rumah. Tayarnya telah diganti semula dengan yang asal.

Apabila bersara pada 28 Ogos 2007, Basikal baru dibeli, berjenama Bianchi dengan harga RM3,500.00. Jauh lebih canggih daripada yang lama. Bila hendak membeli tetapkan bajet antara RM3,000.00 hingga RM4,000.00. Basikal ini digunakan untuk perjalanan jauh. Ia lebih ringan dan mempunyai sembilan kelajuan.

Kali pertama digunakan untuk ke Seremban, boleh mendaki Bukit Mantin dengan mudah. Selepas itu perjalan makin jauh, telah sampai ke Port Dickson, Bagan Lalang, Morib dan Melaka. Perjalan yang paling mencabar pada peringkat awal dengan menggunakan basikal ini ialah ke Kuala Klawang, kali pertama. Bertolak ke sana selepas Subuh, Genting Peras boleh didaki tetapi apabila sampai di simpang ke Titi tersangat letih dan berhenti rehat. Sampai di Kuala Klawang pada jam 12.00 tengah hari, Selepas makan tengah hari kayuhan diteruskan dan mendaki Bukit Tangga. Di pertengahan bukit sudah tidak berdaya, berhenti rehat dan pejamkan mata sekejap. Teruskan kayuhan masih tidak berdaya dan terpaksa tolak basikal hingga ke puncak. Dua buah bukit sebelum sampai ke Lengeng juga tidak boleh didaki. Sampai ke rumah jam 5.00 petang. Selepas itu lama tidak mengayuh.

Kali pertama ke Melaka juga menarik, iaitu melalui Sepang, Port Dickson, Pasir Panjang, Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dan Kampung Pulau, iaitu kampung asal keluarga. Jaraknya ialah 124 kilometer sehala. Adik beradik tidak tahu hendak datang dengan basikal. Apabila sampai pada jam 4.00 petang dan memberi salam anak buah tidak kenal. Mereka tidak menyangka akan kedatangan itu kerana selalu datang dengan kereta.

Basikal ini juga digunakan ke Singapura dan ke Padang Besar. Berjaya mendaki semua bukit, paling membanggakan berjaya mendaki Cameroon Highland dan Gunung Jerai, tanpa menolaknya. Pada masa artikal ini ditulis, ia direhatkan kerana belum dihantar untuk dibaik pulih.

Apabila mendapat tahu abang yang tinggal di FELDA Pasoh 4,  jatuh sakit. Bercadang hendak pergi menziarahinya. Boleh menggunakan kereta tetapi pilihan yang terbaik ialah mengayuh. Basikal Hercules tidak boleh digunakan untuk perjalanan jauh kerana tayarnya telah ditukar untuk kegunaan aktiviti ‘ off road ‘, perjalanan akan menjadi perlahan dan memenatkan. Boleh digunakan tetapi akan mengambil masa dua hari. Sedangkan matlamat kayuhan ialah satu hari, pergi dan balik. Oleh yang demikian Hercules tidak boleh digunakan untuk tujuan ini.

Basikal yang berjenama Bianchi juga tidak boleh digunakan kerana masih belum dibaik pulih. Walaupun ia lebih canggih dan masih boleh digunakan tetapi tidak sanggup hendak mengambil risiko.  Perjalanan ini adalah perjalanan jarak jauh, takut rosak di tengah jalan, kalau bocor, boleh diganti tiub, kalau breknya, gearnya, tidak ada kemahiran membaiki kerosakan seperti itu. Kalau perjalan jarak dekat seperti ke Semenyih atau ke Kajang tidak ada masalah, rosak, tolak sahaja.

Pilihan yang ada ialah basikal lumba, milik anak, basikal yang dibelinya semasa menuntut di Jepun dengan harga RM3,000.00. Basikal dengan lapan kelajuan ini dibeli pada tahun 2008 untuk kegunaannya semasa pergi kuliah dan balik ke rumah sewanya. Mengikut cerita, ia juga pernah menggembara dengan menggunakan basikal ini. Basikal berjenama Trek ini pernah diuji dikayuhan keliling taman dan pernah ke Seremban. Ringan, diperbuat daripada carbon. Sesuai dengan namanya ia memang laju. Tenaga yang menentukan kelajuannya. Inilah basikal yang digunakan ke Pasoh 4. Apabila kawan meminta menemaninya ke Kuala Klawang, basikal ini juga digunakan. Pada masa yang akan datang sehinggalah basikal Bianchi dipulihkan seperti keadaan sedia kala, inilah basikal yang akan digunakan untuk perjalanan jarak jauh, balik hari.

Selepas berjaya membuat kayuhan ke Padang Besar, bercita-cita pula hendak mengayuh mengelilingi Semenanjung Malaysia. Kayuhan akan dilakukan mengikut laluan pantai yang jaraknya 2,500 kilometer. Ia dirancang akan tamat dalam masa satu bulan dengan satu hari rehat iaitu pada hari Jumaat. Tidur di dalam khemah. Semoga Allah mengizinkannya.


1 Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: