Hajimeli's Blog


Haji Ramli ke Kuala Pilahlah Pulak
21/07/2010, 10:13 am
Filed under: Uncategorized

Kayuhan ke Kuala Pilah dibuat kerana ingin menziarah abang yang sedang sakit. Di tempatkan wad di Hospital Kuala Pilah. Dihantar ke hospital dengan ambulan pada hari Khamis 15 Julai 201dalam keadaan kritikal. Penyakit kencing manis. Berusia 65 tahun. Mulanya terkena selumbar, luka yang sedikit itu melarat kerana lambat mendapatkan rawatan. Takut dengan hospital, tidak tahu kenapa. Dari sehari ke sehari semakin tenat dan terpaksa juga dibawa ke hospital. Keadaannya diketahui melalui anak buah dan adik lelaki yang menalefon di sebelah malam pada hari yang sama. Hari Jumaat, 16 Julai 2010 pergi melawatnya bersama isteri dengan kereta. Mengikut kata doktor untuk menyelamatkannya ia terpaksa kehilangan sebelah kaki. Pilihan mesti dibuat, sayangkan kaki atau sayangkan nyawa. Isteri dan anak abang lebih sayangkan nyawanya, kaki yang terkena selumbar itu terpaksa dipotong daripada paras paha dan pembedahan akan dijalankan di sebelah petang.

Semasa tempoh menunggu di hospital jumpa dengan kawan lama, Omar namanya. Sudah cukup lama tidak jumpa, tidak ingat berapa tahun, mungkin lebih 20 tahun. Rambutnya telah beruban, saya lagi teruk. Ragu-ragu hendak menegurnya. Beberapa minit kemudian Omar keluar daripada wad. Terus berjumpa dengannya dan minta ia memperkenalkan diri. Belum sempat ia memberikan perincian soalan, ia dapat mengecam. Berbual panjang dan pada hari itu solat Jumaat bersama.

Menunggu di hospital hingga ke petang, sebelah kaki abang terpaksa dipotong. Selesai pembedahan, melawatnya sekejap, tunggu lamapun membuang masa kerana ia tidak sedar. Duduk di luar bilik pembedahan hingga jam 6.00 petang dan pulang. Sampai ke simpang untuk ke rumah azan Maghrib berkumandang, menandakan telah masuk waktu solat.

Hari Sabtu tidak pergi melawat tetapi bercadang pada hari Ahad 18 Julai 2010. Pergi sendirian. Kalau gunakan kereta membazir, duit minyak dan tol. Tambahan pula harga minyak baru sahaja diselaraskan. Kalau mengayuh, hanya gunakan kudrat dan mungkin masa. Faktor lain ialah tidak pernah ke Kuala Pilah dengan mengayuh. Tambahan pula ada Bukit Putus yang terpaksa dilalui selain daripada Bukit Mantin. Kayuhan ini, di samping menyahut panggilan pertalian kekeluargaan, juga sebagai menyahut panggilan Bukit Putus yang terkenal itu. Memikirkan waktu lawatan bermula jam 12.15 tengah hari, masa yang sesuai untuk memulakan kayuhan ialah di sebelah pagi.

Masa yang dinanti tiba, tepat jam 7.10 pagi, kayuhan dimulakan dengan melalui laluan yang biasa digunakan, lebuh raya LEKAS. Lebuh raya ini amat selesa, luas, permukaannya rata dan mempunyai tiga lorong sehala. Kenderaan tidak banyak. Basikal yang digunakan ialah basikal lumba. Kayuhan santai sahaja kerana,  pertama, waktu lawatan ialah pada 12.15 tengah hari hingga 2.00 petang. Masih ada masa yang banyak. Kedua ialah terpaksa mendaki dua buah bukit. Kalau salah menggunakan tenaga dan membuat kayuhan secara terburu-buru, berkemungkinan tujuan tidak akan tercapai. Terpaksa pula menalefon isteri atau anak untuk mengambil dan membawanya pulang. Sesuatu yang mesti dielakkan.

Oleh sebab laluan ini selalu digunakan ia tidak menjadi masalah dan sampai di puncak Bukit Mantin pada jam 8.30 pagi. Kayuhan diteruskan hingga ke hujung lebuh raya di persimpangan ke Jelebu dan Ampangan. Jaraknya daripada rumah ialah 44 kilometer. Membelok ke kanan menuju ke Ampangan. Jalan raya di sini hingga ke simpang hendak ke Bukit Putus tidak mesra pengguna, jalannya tidak rata dan ada juga masih dalam proses membaik pulih atau melebarkannya. Tidak mengikut jalan lama Bukit Putus untuk menjimatkan masa, sebaliknya gunakan jalan raya yang baru. Tidak ada masalah hendak mendaki walaupun baru kali pertama. Pada Jam 10.20 pagi, sampai di Ulu Bendul. Ulu Bendul terkenal dengan tempat perkelahan dan perkhemahan, ada sebatang sungai di situ yang airnya jernih. Sungainya juga tidak dalam, selamat untuk mandi manda. Terdapat juga sebuah gunung, iaitu Gunung Angsi yang ketinggiannya ialah 825 meter. Pada hari Sabtu dan Ahad ada ramai yang akan mendaki gunung ini. Pernah sekali mendaki, kurang cabaran, lebih seronok dan mencabar kalau mendaki Gunung Tok Wan di Broga. 15 minit daripada rumah dengan kereta.

Dalam perjalanan ke Kuala Pilah dari Ulu Bendul jalannya datar sahaja, kayuhannya laju, di kiri kanan jalan raya banyak terdapat gerai buah-buahan, yang menonjol ialah buah durian dan petai. Berhenti di salah sebuah gerai untuk minum. Tidak ada rehat,  kayuhan diteruskan selepas itu dan sampai di Hospital Kuala Pilah pada jam 10.55 pagi. Setelah minum dan mengunci basikal terus masuk ke wad dengan izin pengawal keselamatan, tetapi untuk masuk ke wad kecemasan tidak dibenarkan, penat memujuk pengawal wanita yang bertugas di situ. Akhirnya mengalah dan turun ke bawah mencari makanan untuk dimakan. Jagung menjadi pilihan, duduk di sabuah bangku di luar pintu masuk hospital. Adik beradik yang lain mula sampai dari Melaka dan Johor. Menunggu di luar hingga waktu melawat. Semasa menunggu berjumpa dengan penghuni setaman di Desa Mewah, Encik Zakariah atau dikenali juga dengan panggilan Pak Yah dan keluarga, melawat nenek yang sedang sakit. Berbual sekejap dengan mereka.

Bila tiba waktu melawat, terus naik ke tingkat dua. Supaya tidak mengganggu pesakit, hospital membenarkan dua orang sahaja  masuk pada sesuatu masa. Masuk dengan adik lelaki, abang telah sedar dan boleh bercakap, ia boleh mengenali kami, tidak lama di dalam kerana untuk memberinya lebih banyak masa rehat. Lagipun tidak boleh menghampiri katil, ada garisan merah yang menjadi sempadan antara pesakit dan pelawat. Duduk di luar bilik wad kecemasan sambil berbual dengan adik beradik dan anak buah yang datang.

Jam 2.00 petang, mengayuh pulang, cuaca berada dalam keadaan baik. Tidak lama kemudian awan menjadi mendung dan terus hujan renyai-renyai. Terus mengayuh dengan harapan boleh sampai di rumah pada jam 6.00 petang untuk solat Asar. Solat Zohor dilakukan di surau hospital. Semasa mengayuh Pak Yah membunyikan hon kereta. Anaknya yang berada di tempat duduk belakang melambai-lambai. Dalam hati mereka mungkin mengatakan, ” kesihan, habis basah atuk. ”  Tiba-tiba hujan menjadi lebat bila hendak sampai di Tanjung Ipoh. Berteduh di sebuah perhentian bas. Ada dua pasangan juga sedang berteduh. Mereka menunggang motosikal. Di samping hujan lebat, angin pula bertiup kencang. Nasib baik bulu roma sahaja yang naik kerana kesejukan. 15 minit berlalu, 30 minit berlalu, hujan masih tidak menunjukkan akan reda. Jam 3.00 petang hujan reda sedikit, pasangan pertama bergerak, tidak lama kemudian diikuti oleh pasangan yang kedua. Disebabkan keseorangan, walaupun masih hujan, keputusan dibuat kayuhan mesti diteruskan. Bimbang, kalau-kalau hujan ini tidak berhenti hingga ke malam. Dan ini bukanlah kali pertama berkayuh di dalam hujan.

Selepas satu jam menunggu hujan tidak berhenti, kayuhan diteruskan pada jam 3.15 petang, semuanya telah basah, pada permulaan kayuhan terasa sejuk kemudian badan mulai panas, tidaklah sampai berpeluh. Melepasi Tanjung Ipoh, kereta bergerak perlahan, takkan dalam hujan ada perangkap laju, berfikiran buruk. Satu persatu kereta yang berbaris panjang itu dipotong, rupa-rupanya ada kemalangan di jalan raya, berdasarkan terdapatnya kereta yang remuk dan sebuah lagi terpeleut tayarnya.  Sampai di Ulu Bendul pada jam 4.00 petang, masih hujan. Berhenti makan. Pada jam 4.15 petang perjalanan diteruskan dan mendaki Bukit Putus. Harapan untuk solat Asar di rumah tidak kesampaian. Berhenti di tempat rehat Ampangan, Lebuh Raya LEKAS. Solat Asar di surau yang ada di situ. Tiba-tiba, ada sentuhan tangan lembut di bahu, ” jadi imamlah aku ni “. Sesuatu yang cuba dielakkan. Solat Zohor dan Asar bolehlah. Bukannya apa, takut tersalah baca. Ini ada kaitan dengan pahala dan dosa. Pada jam 6.00 petang mulakan kayuhan, hujan masih turun, mengikut kata abang peronda lebuh raya yang ditemui, di Kajang juga hujan turun dengan lebatnya. Sampai di Sungai Purun hujan mulai teduh. Sampai di rumah pada jam 7.40 malam, terus mandi dan solat Maghrib. 95% perjalanan pulang adalah di dalam hujan. Bersyukur kepada Allah kerana memberi kesihatan yang baik. Jarak perjalanan ini, mengikut peta Google ialah 140 kilometer. Kali kedua ke Kuala Pilah  ialah pada 3 Ogos 2010, hari Selasa. Ikut jalan yang sama, cuma sedikit lencongan iaitu melalui Bukit Putus jalan lama semasa perjalanan pergi. Sungguh lengang. Jalan sudah tidak berjaga. Sampai di puncak jumpa dengan sepasukan pendaki dari MRSM Kuala Klawang yang baharu selesai mendaki Gunung Angsi.

Perjalanan ini perlahan sedikit kerana banyak berhenti untuk mengambil gambar. Sampai di Hospital pada jam 12.30 tengah hari. Memang waktu lawatan, abang sudah boleh bercakap dan mengenali pelawat. Pada jam 1.45 tengah hari berkayuh pulang dan sampai di rumah pada jam 6.20 petang.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: