Hajimeli's Blog


Mendaki Gunung Fuji
22/08/2010, 4:29 am
Filed under: Uncategorized | Tags:

1-30 Ogos 2009 bersama isteri telah ke Jepun. Salah seorang anak belajar di sana selama empat tahun. Ia belajar di Universiti Akita, di utara Pulau Honshu, pulau terbesar di negara matahari terbit itu. Pernerbangan mengambil masa 7 jam. Perbezaan waktunya dengan Malaysia ialah satu jam. Masa yang paling sesuai kerana telah bersara. Dan ini adalah tahun terakhir musim panas ia berada di Jepun, dia akan tamat pengajian pada Mac 2010. Semasa perancangan beritahunya supaya memilih tempat bersejarah dan kawasan luar bandar untuk dilawati. Kawasan bandar tidak menjadi pilihan kerana suasananya sama di mana-mana. Bunyi bising, hutan batu, kesesakan jalan raya dan asap tidak menarik. Dimasukkan juga dalam perancangan itu mendaki Gunung Fuji ataupun Fuji-san bagi orang-orang Jepun.

Tidak ada pokok cuma batu

Universiti Akita terletak di bandar Akita, bandar yang aman damai dan tenang.Kalau hendak dibuat perbandingan samalah seperti pekan Kajang daripada segi keluasannya. Jaraknya dari Tokyo ialah 600 kilometer dan mengambil masa 12 jam perjalanan dengan menggunakan bas. Bas dipilih kerana ia lebih murah.

Setelah 10 hari berada di Akita perjalanan untuk mendaki Gunung Fuji pun bermula. Dimulakan perjalanan dengan ke Sendai iaitu tempat menantu belajar di Universiti Tohoku. Jarak perjalanan ialah 400 kilometer mengikut jalan luar bandar supaya dapat melihat pemandangannya. Memang menakjubkan. Perjalanan mengambil masa dua hari. Segaja dirancang begitu supaya boleh bersantai untuk menikmati keindahan bukit bukaunya, sungainya, sawah padinya dan lain-lain.

Bersama isteri, anak dan menantu

Istimewanya Jepun ini di jalan raya luar bandar pun ada R & R. Bermalam di R & R. Dua hari di Sendai bertolak pula ke Yamanashi, menantu juga turut serta kerana ia pun ingin mendaki. Gunung Fuji terletak di dalam prefecture ini. Perjalanan juga mengambil masa dua hari dengan jarak 800 kilometer. Bermalam di rumah pelajar Malaysia yang kosong kerana mereka balik bercuti di Malaysia. Setelah berehat semalam pada 14 Ogos 2009, sebelah tengah hari, dengan menaiki keretapi menuju ke Kawaguchi. Isteri tidak ikut sama kerana tidak berminat dengan aktiviti ini.  Ia membekalkan makanan berupa nasi, berlaukan ayam goreng untuk makanan malam nanti. Air minum, buah-buahan dan coklat juga dibawa bersama. Dari Kawaguchi dengan menggunakan bas, bergerak ke Stesyen 5. Gunung Fuji mempunyai sepuluh stesyen dengan Stesyen 1 terletak di kaki gunung. Daripada Stesyen 5 inilah mula mendaki, iaitu di ketinggian 2,300 meter. Gunung Fuji mempunyai ketinggian 3,776 meter. Bermakna perlu mendaki 1,476 meter lagi. Lebih kurang ketinggian Gunung Nuang.

Sampai di Stesyen 5 pada jam 6.00 petang. Walaupun di Jepun pada masa ini ialah musim panas tetapi di ketinggian 2,300 meter rasanya sejuk sekali apatah lagi bagi yang tidak biasa dengan iklim negara-negara empat musim. Semasa di Sendai persiapan asas telah dibeli seperti lampu kepala ( head   lamps ) kerana pendakian akan dilakukan pada waktu malam untuk melihat matahari terbit, baju hujan juga dibeli persedian kalau-kalau hujan turun, pendakian mesti diteruskan, tambahan hari bermakna tambahan bajet, ini semua perlu dielakkan. Gunung Fuji mesti didaki. Peluang ini tidak datang selalu. Inilah juga sebab utama hendak ke Jepun.

Di Stesyen 5 terdapat banyak kedai cenderamata dan menjual barang-barang lain, keperluan untuk mendaki. Membeli perkara yang perlu dibawa seperti satu tin oksigen, sama besar dengan tin kecil penyembur nyamuk, persediaan sekiranya menjadi pening akibat kekurangan oksigen. Dibeli juga sebatang kayu sebesar tongkat. Kayu ini ada dua saiz. Satu yang panjangnya empat kaki yang juga boleh digunakan sebagai tongkat. Ringan. Satu lagi yang panjangnya satu kaki. Gunanya kayu ini ialah sebagai tanda telah sampai di sesuatu stesyen. Ia akan dicap, untuk mendapatkan cap ini terpaksa membayar 200 yen. Ini terpulang kepada pendaki. Ia boleh mengecapnya di setiap stesyen dengan membayar 1,000 yen atau pun di puncak gunung dengan membayar 200 yen. Untuk sampai ke puncak ada lima stesyen. Ada kemudahan asas di setiap stesyen.

Apabila keluar daripada kedai didapati hujan telah turun dan terpaksa mencari penutup bag kalis air. Sudah habis, terpaksa membeli bag pembungkus sampah dan ubah suai supaya bag yang dibawa dan keperluan yang ada di dalamnya tidak basah. Mendaki Gunung Fuji tidak perlu penunjuk jalan kerana orang bertali arus. Pendakian dilakukan tidak kira masa, mengikut kesesuaian dan kehendaki pendaki itu sendiri. Ramainya orang serupa dengan Program Jom Heboh TV3. Berbondong-bondong tidak kira usia dan jantina. Tambahan pula ada tanda jalan. Rasanya sukar hendak tersesat.

Sebelum pendakian dimulakan pada jam 6.30 petang besiap dengan memakai pakaian tebal dan baju hujan. Mula berjalan di suasana mula gelap dan hujan renyai-renyai. 200 meter permulaan seolah-olah memanaskan badan dan sedikit demi sedikit ia mulai curam. Berehat sebentar di Stesyen 6 dan semasa sampai di Stesyen 7. Sampai di sini pada jam 9.00 malam. Berhenti rehat

Di Stesyen 7: Rehat dan makan

dan makan. Hujan telah berhenti dan membuka baju hujan. Lihat lakaran laluan saterusnya iaitu dari Stesyen 7 ke Stesyen 8. Laluan ini amat curam dan berbentuk zigzag. Ia sangat mencabar. Mesti ada ketahanan mental dan fizikal. Perlu juga kesabaran. Masa yang diambil sangat lama. Separuh masa pendakian dihabiskan di sini.  Badan menjadi sangat letih, tenaga mula berkurang, tambahan pula tidak pernah mendaki pada waktu malam dapat dibayangkan keadaannya. Orang semakin ramai, berlaku kesesakan, ini juga menyebabkan perjalanan menjadi sangat perlahan. Tidak ada pemandangan yang menarik kerana Gunung Fuji di penuhi dengan batu gunung berapi. Ia merupakan gunung berapi yang sudah tidak aktif. Kali terakhir meletus ialah pada tahun 1708. Tidak ada pokok yang boleh hidup. Tetapi boleh melihat pemandangan daripada cahaya lampu yang digunakan oleh pendaki, seperti ular kena palu. Cantik pemandangan itu. Kalau hendak buang air sukar sekali, terpaksa tahan kerana tidak ada tempat berlindung. Tidak sama di Malaysia belakang pokok, di sebalik semak samun pun boleh. Di sini terpaksa tahan sampai di stesyen.

Masuk ke Stesyen 9, tidak kurang dahsyatnya,  selain daripada keadaan semakin sejuk, curam, oksigen juga semakin nipis. Mula rasa pening-pening dan terpaksa menyedut oksigen.  Pergerakan sangat perlahan dan selalu berhenti rehat.  Pada Jam 5.15 pagi, 15 Ogos 2009 sampai di puncak iaitu di Stesyen 10. Tidak lama kemudian matahari mulai terbit. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar.

Matahari mulai terbit

Badan terasa letih, 30 minit kemudian mencari tempat yang sesuai untuk berehat, makan sedikit daripada baki-baki yang tinggal untuk memanaskan badan. Buka ‘ sleeping bag’  untuk mengurangkan kesejukan. Walaupun telah membuat persediaan yang cukup daripada segi pakaian iaitu memakai kemeja ‘ T ‘ lengan panjang tebal, vest ala pemberita yang tidak kurang tebalnya, baju panas, mapla yang dililit di leher dan sarung tangan, keadaan masih sejuk. Gunakan ‘ sleeping bag ‘ sebagai tambahan, baharulah dapat rehat dengan sempurna dan dapat memejamkan mata buat sejenak.

Sedang merenung kecantikan ciptaan ALLAH

Jam 8.00 pagi berjalan turun, mengikut laluan lain, cuaca mulai panas, sesekali angin bertiup membawa kabus tebal, menyebabkan keadaan menjadi nyaman dan segar. Jika sentiasa panas tidak dapat dibayangkan keadaannya kerana tidak ada tempat berlindung. Perjalanan turun daripada segi teori sepatutnya mudah, tetapi keadaan sebaliknya.  Melalui batu gunung berapi yang kecil sebesar biji saga, kedudukannya longgar. Pada permulaan memikirkan boleh cepat sampai di Stesyen 5. Boleh berlari anak dan berjalan cepat tetapi sebaliknya berlaku. Batu-batu itu tidak membantu perjalanan, samalah seperti berjalan di atas biji saga. Dua ketiga kali tergolek, perjalanan terpaksa diperlahankan. Walaupun demikian tidak mudah. Memperlahankan perjalanan semasa menurun dan keadaan muka bumi yang tidak mesra. Sungguh memeritkan. Ada juga yang berjalan secara zigzag untuk mengelakkan kejatuhan. Tetap juga jatuh, tetapi itu adalah lebih baik dan cepat sampai daripada menggelungsur sejauh lima kaki atau lebih di atas batu-batu itu.

Sampai semula di Stesyen 5 pada jam 12.00 tengah hari. Sampai semula ke rumah penginapan pada jam 3.00 petang.

Kata-kata ini amat menarik perhatian  berkaitan dengan Gunung Fuji                    ” anybody would be a fool not to climb Mount Fuji once – but a fool to do so twice .”  Kata-kata ini mungkin sesuai kepada sesetengah orang tetapi tidak pada yang lain, jika ada peluang ingin mendakinya lagi, mulai daripada Stesyen 1. Peduli apa pada orang lain kata.

Lain- lain gambar semasa di Jepun:


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: