Hajimeli's Blog


KAYUHAN MENGELILINGI SEMENANJUNG MALAYSIA
15/09/2010, 1:18 pm
Filed under: Uncategorized | Tags:

Kayuhan mengelilingi Semenanjung ini telah lama dirancang. Sejak mula bersara pada tahun 2007. Tidak mahu memulakannya secara tergesa-gesa, takut tidak ada kemampuan daripada segi tenaga, mental dan fizikal. Setelah membuat latihan kayuhan jarak dekat dan jarak jauh yang berterusan, telah sampai ke Singapura yang mengambil masa enam hari kayuhan pergi dan balik, dan ke Padang Besar yang mengambil masa 12 hari, sudah sampai masanya untuk kayuhan ini. Rasanya sudah cukup bersedia, melainkan sebaliknya dengan kehendak Allah.

Jarak kayOLYMPUS DIGITAL CAMERAuhan, kalau mengikut peta Google ialah 2,580 kilometer. Jangkaan hari kayuhan ialah satu bulan. Setiap hari purata kayuhan ialah antara 100 ke 120 kilometer dalam masa lapan jam tidak termasuk waktu makan dan solat. Hari Jumaat rehat. Tidur di dalam khemah dan makan di gerai-gerai, restoran dan masak sendiri terutama sarapan pagi. Ini bermakna akan membawa alatan memasak dan bahan masakan yang mudah dan kering. Kayuhan kali ini bersama seorang rakan yang tinggal di Bandar Sunway Semenyih, saudara Karim bin Salleh. Seorang jurulatih payung terjun. Juga telah bersara. Tarikh kayuhan ialah pada 26 September 2010, hari Ahad. Akan bermula pada jam 7.00 pagi.

Semasa membuat latihan harian saudara Hamdan yang tinggal di Jalan Tujuh, Desa Mewah bertanya mengenai kayuhan ini, ceritakan secara ringkas kepadanya dan tidak pula diketahui bahawa ia akan memberitahu perkara ini kepada Yang Berhormat ADUN Semenyih Datuk Johan Bin Abd. Aziz. Tiba-tiba pada suatu hari ia memberitahu bahawa akan ada upacara mengucapkan selamat jalan dan sedikit sumbangan untuk menjayakan kayuhan ini. Akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian juga dijemput dengan tujuan kayuhan ini akan mendapat liputan akhbar.

AhadOLYMPUS DIGITAL CAMERA 26 September 2010, 7.00 pagi, masa yang ditunggu telah tiba, bertemankan anak yang kedua Zailani Arif pergi ke tempat yang telah ditetapkan untuk upacara memulakan kayuhan iaitu di hadapan Restoran Sayang Maju. Beberapa orang penduduk taman telah menunggu termasuk saudara Hamdan. Pemberita juga telah menunggu. Tidak lama kemudian saudara Karim sampai diikuti dengan keluarganya dari Bandar Sunway, Semenyih yang menaiki motokar. Diikuti oleh saudara Abu Samah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Chat pemegang rekod mengelilingi Semenanjung dan satu pasukan penunggang motosikal.  Tidak disangka satu perkara yang pada mulanya dianggap main-main dan suka-suka telah menjadi serius. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.

Kayuhan ini sebenarnya mengambil masa 29 hari dengan jarak perjalanan kalau mengikut meter di basikal ialah 2,947 kilometer. Bercanggah dengan maklumat semasa perancangan kayuhan.  Destinasi harian juga banyak yang berubah. Laluan tetap sama. Perincian kayuhan adalah seperti berikut:

Hari 1: Ahad,  26/9/2010

Semenyih – K uala Sungai Baru

8.00 pagi: Selepas temubual dengan pemberita, upacara mengucapkan selamat jalan pun bermula dengan penyampaian sumbangan, bergambar dan bacaan doa. Kayuhan diiringi oleh satu pasukan penunggang motosikal yang banyak membantu, terutama di persimpangan jalan. Masuk ke Lebuh Raya LEKAS ke Kampung Sungai Purun. Iringan mereka sampai di sini. Bersama saudara Karim terus kayuhan ke Kuala Sungai Baru. Di Salak Tinggi berhenti rehat sekejap dan mengepam tayar basikal.

12.30 tengah hari sampai di Telok Kemang dan berhenti makan, cuaca panas terik pada hari itu.

1.43 tengah hari berhenti mengayuh untuk solat Zohor di masjid Teluk Pelanduk.

3.09 petang memasuki negeri Melaka, tempat kelahiran dan dibesarkan.

3.55 petang, sampai di rumah anak sulung Zakri Arif yang tinggal di Lubuk Redan, Kuala Sungai Baru. Dia menyewa rumah dua bilik ini dengan harga RM150.00 sebulan.   Masih bujang dan bekerja sebagai salah seorang tenaga pengajar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Masjid Tanah. Akan bermalam di sini.   Tidak perlu membentang khemah.

Makan malam di rumah adik di Kampung Pulau. Hidangan Istimewa iaitu itik rendang. Itik yang dipeliharanya sendiri. Sungguh menyelerakan.

8.30 malam berjumpa denga saudara Yusop dan kawan-kawannya di Masjid Tanah. Mereka datang dari Tampin untuk memberi sokongan moral. Saudara Yusop dan rakannya bercadang akan mengayuh ke Padang Besar pada cuti sekolah bulan Disember. Ikut jalan tepi pantai. Balik dengan menaiki keretapi. Idea yang bagus juga. Berbual panjang dengan mereka sambil makan sate. Semua perbualan berkaitan dengan basikal.

Jarak Perjalanan ialah 125 kilometer dengan melalui Salak Tinggi, Sepang, Port Dicksons, Pasir Panjang, Kuala Linggi dan Kuala Sungai Baru.

Hari 2: Isnin,  27/9/2010

Kuala Sungai Baru – Parit Jawa

6.30 pagi, setelah solat Subuh mula mengayuh ke destinasi yang kedua iaitu Parit Jawa, Johor.  Daripada namanya boleh dibuat kesimpulan bahawa ada ramai orang Melayu keturunan Jawa di sini. Dua jam selepas mengayuh hujan telah turun tetapi tidak lebat dan kayuhan diteruskan hingga ke sebuah kedai motosikal di Kelebang Besar. Pak Chat ada memberitahu Karim bahawa rantai basikalnya kurang minyak. Di sini Karim telah meletakkan minyak di rantai basikalnya, supaya perjalanan menjadi lebih lancar. Rantai adalah salah satu komponan penting basikal, tiada rantai terpaksalah menolaknya. Itulah sebabnya Karim mengambil serius akan teguran Pak Chat itu.

8.30 pagi, sampai di Bandar Hilir dan 15 minit kemudian tiba di stesyen minyak Petronas Semabok dan berehat sebentar di situ. Karim membuat beberapa panggilan telefon kepada keluarga dan sahabat handai. Ada di antara mereka itu yang memberitahu bahawa majlis ucapan selamat jalan yang diadakan semalam telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Terus melihat akhbar berkenaan dan membelinya. Terdapat beberapa kesilapan laporan iaitu nama saya, sepatutnya Ramli bin Yusop tetapi menjadi Ramli bin Salleh. Nama ayah Karim.  Destinasi perjalanan juga salah iaitu ke Sedili dahulu baharu ke Tanjung Piai dan ke Cameroon Highland. Sedangkan kalau mengikut peta ia tidak sebegitu dan bertentangan dengan yang diberitahu semasa temubual.

10.25 pagi, berhenti di salah sebuah perhentian bas di Merlimau kerana hujan. Bila hujan reda kayuhan diteruskan dan 45 minit kemudian sampai di sempadan negeri Johor. Cuaca di sebelah pagi mendung dan diiringi dengan hujan yang tidak lebat sekali sekala.

11.30 tengah hari sampai di Pekan Muar. Dalam Perjalanan ke Parit Jawa mencari gerai untuk makan tengah hari. Singgah di sebuah gerai tetapi belum sedia menghidangkan makanan iaitu nasi ayam, satu-satunya makanan yang dijual di situ. Kayuhan diteruskan dan tiba-tiba Karim tersedar bagnya tertinggal di gerai berkenaan dan ia berpatah balik mendapatkannya. Alhamdulillah ia masih di situ.

12.35 tengah hari berhenti makan di Parit Bakar, tidak jauh dari Parit Jawa bagi orang yang mengetahuinya.  Sejam kemudian sampai di Parit Jawa. Disebabkan perubahan landscape, Karim tidak dapat mengenalpasti lokasi kediaman saudaranya yang dipanggil ‘ ayah’. Setelah mencari akhirnya jumpa juga. Mereka terkejut, ingatkan Mat Salleh rupanya Mat Saman, istilah yang sering digunakan oleh Karim. Mereka sangat gembira mungkin sudah lama tidak jumpa atau keakraban hubungan kekeluargaan mereka.  Akan bermalam di sini, sehari lagi tidak perlu membentang khemah.

‘ Ayah ‘ seperti yang dipanggil oleh Karim sudah berumur lapan puluhan, seorang imam di situ. Seorang yang peramah, ingatannya masih baik. Masih boleh membaca tanpa memakai cermin mata. Ia sedaya upaya memberi layanan yang terbaik kepada tetamunya. Ia sangat berbangga tinggal di Parit Jawa. Ia mempelawa untuk pergi melihat pantai dan ia tidak lupa apabila petang menjelang, yang menghalangnya ialah hujan pada petang itu.

Selepas solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh ‘ayah’ pergi makan malam bersamanya, di sebuah gerai, lauknya ikan pari masak asam pedas ala Johor. Satu lagi makan malam yang menyelerakan. Turut sama makan ialah anak lelakinya, seorang guru yang telah bersara, dialah yang memandu kereta ke gerai berkenaan.

Jarak perjalan ialah 108 kilometer dengan melalui Masjid Tanah, Kelebang, Bandar Hilir, Merlimau, Muar, Parit Bakar dan Parit Jawa.

Hari 3: Selasa, 28/9/2010

Parit Jawa – Tanjung Piai

Selepas solat Subuh dan minum pagi, ‘ ayah’ telah memanggil kami ke dapur rumahnya dan ia membacakan doa selamat untuk perjalanan hari ini dan seterusnya. Kami sangat-sangat berterima kasih di atas doa itu, supaya Allah memakbulkan permintaan hambanya yang inginkan perjalanan yang lancar dan selamat, selamat pergi dan kembali. Sekali lagi terima kasih kepada ‘ayah’ di atas doanya itu.

6.50 pagi sebelum memulakan kayuhan pereksa tayar basikal dan didapati tayar belakang lembik sedikit dan pamkan. Lebih kurang sepuluh kilometer berkayuh, kedua-dua belah kaki mulai terasa sakit di bahagian betis. Hairan! dan keliru sedangkan kayuhan baharu hendak bermula, baharu tiga hari. Berita sudah disiarkan di akhbar, masih panas. Bimbang tidak dapat meneruskan kayuhan. Kasihan kepada Karim kalau misi ini dihentikan dengan tiba-tiba. Ataupun ia meneruskan kayuhan tetapi bersendirian. Ini memerlukan satu keazaman yang kuat daripadanya kerana Karim memerlukan seorang yang sudah ada pengalaman kayuhan jarak jauh dan memakan masa berhari-hari. Kari m tidak ada pengalaman itu. Tambahan lagi kalau sendirian.

Karim sudah jauh di hadapan. Keazaman yang ada kayuhan mesti diteruskan. Orang kampung dah tahu. Pengalaman lalu menjadi pengajaran. Kayuhan diperlahankan, gear direndahkan hadapan dan belakang. Maknanya ia akan menjadi lebih ringan dan perlahan. Keadaan ini dilakukan sehingga sampai di Batu Pahat, dan Alhamdulillah ia pulih dengan sendirinya. Lambat sampai di Batu Pahat, tidak mengapa asalkan kayuhan dapat diteruskan. Karim lama menunggu tidak dapat hubunginya kerana tiada telefon bimbit.

8.35 pagi sampai di Batu Pahat dan kayuhan diteruskan tanpa henti hingga ke Pontian Kecil. Ini adalah merupakan kayuhan paling jauh setakat ini dengan tidak berhenti rehat. Jaraknya ialah 117 kilometer.

12.30 tengah hari sampai di Pontian Kecil dan berhenti makan di sebuah gerai di hadapan hospital. Selepas makan kayuhan diteruskan. Cuaca pada hari ini panas terik. Tiba-tiba basikal menjadi berat dan rupanya tayar belakang sudah kekurangan angin. Berhenti dan pam. Sampai di Sungai Penerok tayar pancit lagi. Karim sudah ada menunggu di situ dengan dua plastik air tebu. Selesai minum, tidak ada pilihan, tiub terpaksa ditukar, terdapat dawai ditayar basikal yang mencucuk tiub itu. Karim sangat cekap mengenai perkara ini, dalam masa lima belas minit semuanya selesai dan kayuhan di teruskan ke Tanjung Piai.

4.20 petang, sampai di Tanjung Piai, penghujung benua Asia, tidak boleh berkhemah di sini atas faktor keselamatan. Dibenarkan masuk dengan percuma, mereka kasihan agaknya. Mengambil beberapa keping gambar dan melawat tempat ini. Ada banyak ayam hutan. Pemandangan hutannya sungguh menarik. Setelah membeli sijil tanda sampai di sini, keluar untuk mencari tempat berkhemah. Akhirnya terjumpa dengan surau Tanjung Piai dan berkhemah di tepinya.  Malam itu solat Maghrib dan Isyak, Karim menjadi imamnya. Imam tidak datang. Jemaah tidak ramai.

Makan pada malam itu ialah oat.

Jarak perjalanan, 154 kilometer dengan melalui Batu Pahat,  Benut, Pontian Kecil, Kukup dan Tanjung Piai.

Hari 4: Rabu, 29/9/2010

Tanjung Piai – Kampung Sungai Rengit

Pagi ini tiada azan di surau, kami solat Subuh sendirian. Sediakan makanan masing-masing kerana cita rasa berbeza. Tidak ada pilihan seperti di gerai atau di restoran. Hidangannya ialah oat dan nescafee 3+1. Cukup mengenyangkan.

7.05 pagi, mula mengayuh dari Tanjung Piai menuju Kampung Sungai Rengit yang terletak di sebelah pantai timur, Johor. Jikalau mengikut jalan lurus, jarak antara kedua-dua tempat ini ialah 83 kilometer. Masalahnya jalan ini tidak ada. Terpaksa melalui Ulu Tiram dan Kota Tinggi.  Untuk sampai di kedua-dua tempat ini ada banyak pilihan tetapi kami melalui Tenggayun atas pandangan anak ‘ayah’ yang mahir dengan jalan-jalan di Johor Bahru. Jalan inilah yang diikuti sampai ke Pekan Nanas.

9.20 pagi berhenti rehat dan makan di Pekan Nanas yang jaraknya 42 kilometer dari Tanjung Piai. Selepas itu kayuhan diteruskan menuju Kota Tinggi. Kayuhan di sini tidak sama dengan kayuhan tiga hari yang awal, dari Desa Mewah ke Tanjung Piai kerana jalan di sini mulai sibuk dengan lori dan kereta yang bergerak laju tanpa henti-henti, bertali arus. Tambahan pula tanda jalan yang mengelirukan dan cuaca yang amat terik. Terbabas masuk ke Lebuh Raya PLUS dan tidak tahu ke mana hendak dituju. Nasib baik ternampak seorang anggota polis sedang menjalankan tugasnya merakamkan kelajuan kenderaan yang melalui lebuh raya itu. Mengganggunya sekejap dengan bertanya arah hendak ke Kota Tinggi.

Keluar lebu raya masuk jalan ke Sekudai , jalan sibuk sekali, lori bertali arus besar dan panjang, masuk ke jalan Pasir Gudang lebih dahsyat, Allah sahaja yang tahu betapa tertekannya pada ketika itu. Panas terik, bukit, asap, habuk, jalan raya yang kecil, tiada lorong kecemasan dan kenderaan digabung sekali, cubalah kalau hendak tahu. Keadaan ini berlaku hingga ke Kota Tinggi. Congakkannya lebih kurang ada 20 buah bukit untuk sampai ke Kota Tinggi dari Pekan Nanas.

3.15 petang, berhenti rehat dan makan tengah hari di Kota Tinggi di sebuah gerai di tepi jalan raya yang menuju ke Kampung Sungai Rengit.  Tidak ketinggalan mengerjakan solat pada petang itu di masjid Kota Tinggi.

4.20 petang kayuhan diteruskan, ada 69 kilometer lagi. Jika diikut perkiraan mudah, tiga jam lagi boleh sampai di Kampung Sungai Rengit, iaitu pada jam 7.20 petang dengan kelajuan 20 kilometer sejam. Tidak lama selepas kayuhan dimulakan tidak ditemui lagi rumah di kiri kanan jalan, ia dipenuhi dengan ladang kelapa sawit, kemudian bukit pertama dan tidak lama kemudian hujan turun dengan lebatnya, tidak ada tempat berlindung, kayuhan diteruskan. Jalan rayanya lebar dan cantik, sudah tentu kereta bergerak dengan laju, tetapi jumlah kereta yang lalu tidak banyak. Berdasarkan kepada faktor yang dinyatakan pergerakan menjadi perlahan. Sampai di persimpangan Bandar Mas pada jam 6.00 petang. Berehat sekejap di persimpangan itu. Air yang dibawa mulai berkurangan dengan banyak, hendak tambah tiada tempat. Di persimpangan itu tiada rumah. Ada sebuah gerai tetapi tidak dibuka . Makan khurma yang dibawa oleh Karim untuk sumber tenaga.

Hari semakin gelap tidak boleh bermalam di situ. Kayuhan diteruskan, lampu belakang dipasang, bila semakin gelap lampu hadapan di pasang. Bermacam-macam bau ada pada malam itu, apabila tiada kereta lalu ia sunyi sekali. Lebih membimbangkan tidak boleh laju. Ada banyak bukit yang perlu didaki. Turun bukit juga tidak boleh laju kerana keadaan jalan yang licin kerana hujan, air memercik hingga ke muka, basikal tiada mudguard. Satu pengajaran, untuk perjalanan yang begini, mudguard mesti dipasang pada basikal.  Jarak pemandangan juga terhad. Di sini betul-betul mencabar mental dan perlu tahap keberanian yang tinggi. Perbanyakkan doa dan membaca ayat-ayat al-Quran sambil mengayuh.

8.35 malam sampai di Kampung Sungai Rengit dan berhenti makan.

9.00 malam sampai di Dataran Rengit dan berkhemah di situ.

Jarak perjalanan ialah 200 kilometer, melalui Tenggayun, Pekan Nanas, Ulu Tiram, Kota Tinggi dan Kampung Sungai Rengit.

Hari 5: Khamis,  30/9/2010

Kampung Sungai Rengit – Kuala Sedili

Hari ini terlewat bangun daripada tidur, mungkin terlalu letih akibat kayuhan semalam. Itupun setelah terdengar zikir dari masjid yang berdekatan. Bergegas bangun dan membuat kerja rutin sebelum solat Subuh. Pagi ini sekali lagi menyediakan sarapan sendiri.

8.00 pagi, setelah semuanya siap sedia kayuhan dimulakan menuju ke destinasi berikutnya. Sebelah pantai timur Johor tidak begitu maju, tidak banyak perkampungan yang ditemui apatah lagi pekan atau bandar. Jalan rayanya cantik tetapi kenderaan yang lalu lalang tidak banyak. Sesetengah tempatnya sunyi sekali. Di kiri kanan jalan dipenuhi hutan dan pokok kelapa sawit. Susah hendak jumpa gerai di tepi jalan, stesyen minyak pun tidak ada sepanjang kayuhan. Yang membimbangkan ialah jikalau keputusan air. Masjid dan surau pun tidak kelihatan. Kalau tersesat atau ragu-ragu hendak bertanya orang pun susah. Pada peringkat awal perjalanan cuaca mendung tetapi apabila menjelang tengahg hari cuaca panas sekali. Semasa kayuhan beberapa bukit di daki.

12.05 tengah hari tiba-tiba terdengar desiran pohon ru dan angin bertiup kencang, tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat, tidak ada tempat berlindung, terus mengayuh dan basah kuyup. Ternampak seekor babi hutan, sangat besar sedang melintas jalan di dalam hujan itu. Karim ternampak seekor buaya yang sedang timbul di salah sebuah sungai di situ.  Hujan turun tanpa henti hingga ke Sedili Kecil. Memandangkan air di dalam botol telah kehabisan berhenti di salah sebuah kedai di Sedili Kecil membeli air dan sedikit makanan untuk dimakan.

1.30 tengah hari sampai di Teluk Mahkota, dikenali juga sebagai Jason’s Bay. Memandangkan kemudahan yang ada bercadang untuk berkhemah di situ selama dua hari. Di sini terdapat sebuah gerai yang menjual makanan ringan. Makan tengah hari terpaksa berkayuh tiga kilometer dan makanan yang dijual hanya nasi ayam. Sebelah malam masak sendiri, Karim ada membawa beras dan lauknya ialah sotong tin. Dalam keadaan lapar semuanya menyelerakan.

Jarak kayuhan hari ini ialah 72 kilometer dengan melalui Desaru, Tanjung Kelisa, Sedili Kecil dan Telok Mahkota.

Hari 6: Jumaat, 1/10/2010

REHAT

Hari 7 : Sabtu, 2/10/2010

Kuala Sedili – Rompin

6.45 pagi memulakan kayuhan ke destinasi berikut sepatutnya Mersing. Sebelum membuat kayuhan ada bertanya kepada pengunjung yang datang ke  Teluk Mahkota mengenai laluan ini. Masing-masing memberikan versi yang berlainan , yang pasti semuanya menyatakan ada banyak bukit. Kayuhan ini melalui Tenggaroh yang dipenuhi dengan ladang kelapa sawit milik FELDA. Tetapi tidak nampak rumah peneroka FELDA di sepanjang perjalanan. Jalannya cantik, kurang kereta tetapi banyak bukit, betullah seperti yang diberitahu. Selepas itu melalui Jemaluang. Bercadang untuk berehat di sini tetapi tidak jumpa pekannya, kayuhan diteruskan. Sebelum sampai di Mersing, di hadapan sebuah sekolah telefon rumah dengan menggunakan telefon awam.

1.00 tengah hari sampai di Mersing, Karim yang berada di hadapan tidak kelihatan. Ada tiga laluan, tidak diketahui ia memilih laluan yang mana. Keputusan dibuat dan memilih laluan yang di tengah. Sepanjang perjalanan hingga keluar pekan Mersing tidak kelihatan kelibatnya. Berhenti di sebuah masjid untuk mengisi air dan menunggunya. Setelah beberapa minit masih tidak kelihatan kayuhan diteruskan dan berhenti makan di salah sebuah gerai. Bertanya kepada tuan punya gerai, kalau-kalau kelihatan Karim melalui jalan itu. Tidak seorang pun yang melihatnya. Lepas makan teruskan kayuhan, memikirkan mungkin Karim teruskan kayuhan ke Rompin kerana sebelum kayuhan ini dibuat, ada berbincang dengannya, jikalau sampai awal di Mersing teruskan kayuhan hingga ke Rompin.

Keluar sahaja dari gerai makan itu hujan telah turun dengan lebatnya, basah kuyup dan berhenti di sebuah masjid untut solat. Kayuhan diteruskan menuju Endau dengan harapan Karim akan menunggu di sana. Perjalanan ke Endau tidak kurang juga menariknya, ia dipenuhi hutan rimba di kiri kanan jalan, Kenderaan tidak banyak menyebabkan ia menjadi sunyi, sekali sekala akan kedengaran bunyi burung dan kera yang menjadi penghuni rimba itu. Jalan rayanya lurus, terdapat juga banyak bukit di sini menyebabkan perjalanan menjadi perlahan. Suasana berubah secara mendadak daripada terang menjadi gelap, tidak lama kemudian hujun turun dengan lebatnya. Sekali lagi basah kuyup.

4.20 Sampai di Endau, kelibat Karim masih tidak kelihatan. Membuat panggilan dengan menggunakan telefon awam, dua kali panggil tetapi tidak berjawab. Berpegang kepada perbincangan awal mungkin ia terus ke Rompin. Bertanya kepada seorang penduduk di situ mengenai muka bumi Rompin, jaraknya dari Endau dan keadaan jalannya. Setelah maklumat diperolehi, mulakan kayuhan ke Rompin, laju sedikit supaya sampai hari masih terang.  Keadaan jalan yang datar membolehkan pecutan dibuat.

5.30 petang, setelah membuat beberapa pertanyaan, akhirnya sampai di Pantai Hiburan. Lama mencari Karim tidak ada di situ mulai risau. Cari telefon awam. Tidak ada. Hari semakin gelap. Setelah berfikir panjang, muka terpaksa ditebalkan. Jumpa dengan seorang yang memegang telefon bimbit, hendak pinjam, tiada kredit, dia ikhlas, ditunjukkannya kredit yang masih tinggal. Jumpa seorang lagi sama juga. Terfikir, apalah guna memakai telefon bimbit kalau kreditnya tidak ada. Ke hulu dan ke hilir jumpalah seorang abang bersama isteri dan anaknya baharu selesai berenang di laut, bersiap sedia untuk pulang dan sedang membuka bonet kereta Proton Personanya. Nampaknya seperti orang yang berpendidikan. Menghampirinya dan perkenalkan diri nyatakan masalah. Berikan kad Karim kepadanya. Ia pun membuat panggilan, telefon bertukar tangan, rupa-rupanya Karim berada di Endau dan minta ia datang ke Rompin. Terima kasih saudara di atas pertolongan itu. Allah jua yang dapat membalas budi baik saudara itu.

7.00 petang Karim sampai di Pantai Hiburan, Rompin. Bercadang untuk berkhemah di situ, tempatnya menarik, ada banyak kemudahan di situ, tetapi yang tiada ialah tandas awam. Tidak tahulah bagaimana orang yang datang berkelah di situ ataupun yang datang berkhemah ( ada tapak perkhemahan ) membuang air dan mendapat kemudahan asas yang lain  seperti mandi dan air untuk memasak. Menggalakkan orang melancong tetapi kemudahan yang paling asas tidak disediakan.

Rancangan berkhemah di sini dibatalkan dan terpaksa mencari tempat lain.  Oleh sebab hari semakin gelap terpaksa berkhemah di kawasan milik swasta iaitu di Rompin Beach Resort, dengan bayaran RM15.00 satu tapak. Sewa dua tapak. Pada malam itu makan masak sendiri.

Jarak perjalanan ialah 172 kilometer dengan melalui Tenggaroh, Jemaluang, Mersing, Endau dan Rompin.

Hari 8: Ahad, 3/10/2010

Kuala Rompin-Kuantan

7.45 pagi, setelah menyelesaikan bil sewaan tapak perkhemahan yang berjumlah RM30.00, kayuhan dimulakan dengan destinasi berikutnya, iaitu Kuantan. Persinggahan pertama kayuhan hari ini ialah Pekan, Kawasan Parlimen Perdana Menteri dan Bandar Diraja Pahang yang jaraknya 86 kilometer dari Rompin. Jalan rayanya datar, cantik terdapat banyak juga kampung di kiri kanan jalan, tetapi tidak ada pekan besar. Terdapat banyak gerai menjual nanas di tepi jalan, terutama di Kampung Sungai Miang. Jikalau melihat kepada keadaan jalan, empat jam kayuhan boleh sampai di Pekan. Perjalanan ini boleh juga dikatakan mencabar minda dan fizikal. Cuaca terik sekali, tambahan pula angin bertiup kencang menentang arus, perjalanan yang sepatutnya pantas dan laju menjadi perlahan, terpaksa menggunakan gear rendah. Dengan keadaan cuaca yang sedemikian ia amat memeritkan. Berhenti rehat sebentar di Nenasi. Minum dan makan, makanan ringan untuk memberi tenaga. Teruskan kayuhan, cuaca semakin panas, perlukan minuman yang manis, sukar ditemui, sampai di Kampung Sungai Miang terdapat banyak gerai menjual nanas, singgah untuk membeli nanas potong. Penjual menghidangkan satu pinggan yang sudah dipotong kecil. Makan habis satu pinggan itu kerana rasanya yang manis dan terlalu dahaga. Penjual tidak mengenakan bayaran untuk hidangan itu. Merasakan terhutang budi, membeli sebotol 100plus daripadanya.

1.00 tengah hari sampai di Pekan, Karim sudah menunggu di sebuah kawasan dataran selera dan kami pergi makan, nasi ayam.

2.30 tengah hari solat di salah sebuah masjid di Pekan.

3.00 petang teruskan perjalanan ke Kuantan. Jalan masih datar tetapi mulai sibuk kerana kenderaan banyak menuju ke Kuantan. Semakin hampir semakin banyak kenderaan, apabila menjelang petang ia semakin sesak. Berhenti rehat di satu persimpangan dan makan ABC serta cucur udang. Mengikut kata penjual ABC keadaan kesesakan ini berlaku kerana pekerja balik bekerja di tempat masing-masing setelah cuti hujung minggu. Sama seperti di Semenyih. Kuantan juga merupakan ibu negeri Pahang dan pusat perdagangannya.

5.30 petang, kayuhan masuk ke Bandar Kuantan dan mencari laluan ke Beserah untuk berkhemah pada malam itu.  Untuk ke Beserah terpaksa mendaki sebuah bukit yang boleh tahan tingginya , memerhatikan tempat yang sesuai untuk berkhemah, tidak jumpa dan bila ditanya seorang penduduk mencadangka ‘Balok’. Mencari tempat perkhemahan Majlis Bandaran Kuantan. Semasa membelok, pam basikal Karim jatuh dan dilanggar oleh sebuah kereta, terpelanting di tepi jalan tetapi tidak rosak.

7.00 petang sampai di tapak perkhemahan, angin sangat kuat tidak boleh membentangkan khemah. Bercadang bermalam di salah sebuah wakaf di situ. Tidak boleh masak dan Karim telah keluar mencari hidangan yang boleh dimakan pada malam itu. Ia terpaksa berjalan satu kilometer untuk mendapatkan makanan. Keadaan yang sejuk dan hari yang telah larut masing-masing mengeluarkan ‘sleeping bag’. Pada awalnya tidur dengan nyenyak. Di tengah malam, jam 1.00 pagi,  angin berhenti bertiup, apabila keadaan ini berlaku, tidur dalam ‘sleeping bag’ sudah tidak selesa, panas,  nyamuk juga bermaharajalela, serangan dilakukan menyebabkan tidak dapat tidur hingga ke pagi walaupun ubat nyamuk dipasang.

Jarak perjalanan ialah 153 kilometer dengan melalui Nenasi, Pekan, Gambang, Kuantan dan Balok.

Hari 9: Isnin,  4/10/2010

Kuantan – Dungun

7.20 pagi, memulakan kayuhan dengan matlamatnya ialah Dungun, Terengganu. Kayuhan awal pagi laju sedikit, tambahan lagi jalan raya yang datar, menarik-narik agar kayuhan dilajukan. Apabila panas terik kayuhan menjadi lemah dan tenaga semakin berkurangan. Apatah lagi pada malam sebelumnya tidur yang tidak sempurna. Hal ini membantutkan kelancaran kayuhan. Banyak minum air yang manis pada hari ini dengan tujuan untuk memberi tenaga. Buat pertama kalinya setelah Tanjung Piai terjumpa air tebu, minum dua gelas. Walau bagaimanapun ia tidak dapat memulihkan tenaga. Kayuhan tetap diteruskan dengan melalui Cukai, Kemaman, Kemasik dan Kertih. Di sini Karim ternampak dua pengembara berbasikal dari luar negara. Cuaca menjadi amat panas, masing-masing keletihan, mengikut kata Karim ia hampir tertidur di atas basikal, akibat tidak cukup tidur malam sebelumnya. Semuanya tidak berdaya hendak meneruskan kayuhan, sedangkan hari masih awal untuk menghentikan.

1.30 tengah hari berhenti rehat di hadapan sebuah sekolah rendah di Batu 7, Dungun. Berbual sekejap dengan kanak-kanak sekolah di situ dari luar pagar. Banyak soalan yang mereka kemukakan. Soalan kanak-kanak. Oleh sebab sudah tidak berdaya dan tidak mahu memudharatkan diri, buat keputusan hentikan kayuhan dan berkhemah di masjid Batu Tujuh.

3.00 petang, hujan turun dengan lebatnya. Nasib baik kerana sudah selesa berada di masjid berkenaan. Sudah tidur dan rehat sedikit. Hingga 4.00 petang masih belum makan tengah hari. Dapatkannya di gerai di hadapan Politeknik Tengku Mizan Zainal Abidin. Malamnya makan mee segera.

Jarak perjalanan ialah 102 kilometer dengan melalui Cukai, Kemaman, Kemasik, Kertih, Paka dan Batu 7, Dungun.

Hari 10: Selasa,  5/10/2010

Dungun – Merang

Mengikut perancangan hari ini kayuhan ialah antara Pekan ke Chukai tetapi berdasarkan tahap kemampuan dan kesihatan ia telah melangkau jauh daripada perancangan awal iaitu sampai ke Merang, utara Terengganu. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan, boleh merisaukan pemegang rekod.

7.15 pagi, meninggalkan masjid Batu Tujuh, menuju ke Kuala Terengganu, ada berbincang untuk servis basikal apabila sampai di Kuala Terenganu. Cuaca hari ini baik sekali, tidak seperti semalam. Perjalanan berjalan lancar dengan kelajuan antara 20 ke 25 kilometer sejam. Jalan raya mendatar dan luas hasil duit royalty agaknya. Bukit yang dahulunya tinggi sudah tidak ada. Enam kilometer hendak sampai ke Kuala Terengganu, telefon rumah bertanya khabar. Sampai di Kuala Terengganu servis basikal di kedai basikal yang mula-mula ditemui, murah, tersangat jauh bezanya dengan di Semenyih. Beli tiub untuk menggantikan tiub yang telah digunakan semasa di Tanjung Piai.  Karim hanya servis basikalnya sahaja, tidak membeli kerana tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. Semuanya dalam keadaan baik.

1.30 tengah hari, teruskan kayuhan, tujuannya ialah ke Batu Rakit. Telah tersesat jalan, tersalah lihat tanda jalan iaitu ke arah Bandar Permaisuri, Boleh gunakan jalan tersebut tetapi mengikut kata seorang pemandu lori ia tersangat jauh dan lagi laluan ini lebih kepada arah ke pedalaman Terengganu tidak mengikut jalan tepi pantai, ikut nasihat pemandu lori berkenaan dan berpatah balik dan mengikut arah tanda jalan ke Batu Rakit. Di Batu Rakit ada tempat berkhemah tetapi tidak ada kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi.  Seorang penjual dokong mencadangkan Merang.

5.00 petang, oleh sebab hari masih terang terus ke Merang dan sampai di Sutera Beach Resort.   Kawasan awam di situ sangat sesuai untuk berkhemah, tidak jauh daripada pantai, ada kemudahan asas dan ada dataran selera.    Berkhemah di sini iaitu di sebuah surau yang diperbuat daripada kayu. Bila solat Maghrib dan Isyak, jemaahnya tidak ramai, tidak ikut sama kerana bercadang hendak solat jamak. Tidak nampak pun rumah penduduk di situ.

Semasa menunggu malam berjumpa seorang jemaah, seorang guru, ia minat memancing, ia juga minat politik, ia cuba bercakap tentang politik tetapi tidak meminatinya, masa dan topik yang tidak kena. Mungkin jikalau berkaitan dengan basikal dan mendaki gunung akan mendapat respon yang baik. Sebelum Isyak Karim asyik melayani seorang lagi jemaah, mereka bertiga berbual yang topiknya tidak diketahui, tidak turut serta kerana berbual dengan penjaga tandas di situ seorang remaja yang berumur 14 tahun, yang tercicir akibat kemiskinan, adik beradik ramai ada lapan orang. Mendapat bantuan rumah PPRT.

Jarak perjalanan ialah 141 kilometer, melalui Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Merang.

Hari 11: Rabu, 6/10/2010

Merang – Tumpat

7.08 pagi, memulakan kayuhan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Tumpat, Kelantan. Kayuhan berjalan dengan lancar, tanpa masalah yang dihadapi, Keadaan jalan raya, baik, sama seperti jalan-jalan yang lain di negeri Terengganu, datar menyebabkan tidak perlu memerah tenaga, cuaca yang baik pada pagi itu menyebabkan kayuhan semakin selesa.

10.30 pagi, sampai di Besut dan berehat sebentar, minum dan memakan, makanan ringan untuk memberi tenaga bagi kayuhan seterusnya memasuki negeri Kelantan. Mengikut kata, jalan di negeri Kelantan sama dengan di Terengganu, datar, tidak berbukit dan lurus cuma yang berbeza ia tidak selicin seperti di Terengganu, seolah-olah tidak berjaga, tidak ceria, nampak usang. Kelantan juga perlukan royalty minyak agaknya.

12.00 tengah hari, sampai di Pasir Putih, Kelantan. Semasa berhenti rehat di hadapan sebuah gerai, seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Cikgu Din mempelawa untuk minum bersamanya. Memandang kepada kesungguhannya terima pelawaan itu dan berbual dengannya daripada basikal hingga ke politik. Ia telah berhenti kerja untuk menjadi ahli politik sepenuhnya. Berdasarkan kepada hujahnya boleh diduga akan fahaman politinya. Banyak mendengar dan anggukkan kepala terhadap percakapannya, termasuklah yang berkaitan dengan jalan raya yang disebutkan di atas tadi. Mereka sedar akan perbezaan itu, amat ketara sekali. Sepasang suami isteri datang berjumpa Cikgu Din semasa kami minum, khidmat masyarakat lah, tu.  Jarak perjalanan sudah mencecah 93 kilometer.

2.00 petang, berhenti makan tengah hari di Selising. Apabila sampai di Kota Bharu, hujan telah turun rintik-rintik dan berhenti sebentar di stesyen minyak Shall Kota Bharu. Tidak lama kemudian teruskan kayuhan dan membuat beberapa pertanyaan, arah ke Tumpat. Kota Bharu sedang membangunkan infrastrukturnya, terdapat kerosakan kepada jalan rayanya dan menyebabkan perjalanan tidak lancar. Keluar sahaja dari bandar ini keadaan jalan rayanya baik dan sempurna sehinggalah ke Tumpat. Tidak ada halangan, tidak ada bukit dan tidak ada angin. Suasana redup kerana baharu lepas hujan dan menuju petang.

5.30 petang, sampai di Tumpat, seorang penduduk memandu ke masjid Tumpat, ia amat ramah sekali. Mengikut daripada belakang keretanya. Pertolongan itu banyak membantu kerana tidak perlu bertanya ramai orang. Dia juga tunjukkan imam masjid berkenaan, seorang yang masih muda, menyebabkan kerja semakin mudah. Bercadang akan berkhemah di sini. Cari pondok telefon, jumpa dua, semuanya tidak berfungsi, rancangan menelefon rumah terbantut.

Semasa menunggu solat Isyak, seorang jemaah datang dan berbual dengannya. Ia menceritakan masalahnya yang tidak berumah dan tinggal di masjid, mempunyai motosikal. Pernah bekerja di Selangor sebagai pemandu bas Sri Jaya. Ada anak, semuanya berjaya, ada yang menuntut di tahfiz. Dia bersyukur kerana anak  ini boleh membantunya di akhirat. Tetapi kenapa ia dibiarkan?

Selepas Isyak kawan Karim yang berada di Tumpat, mempelawa bermalam di rumahnya. Tidak ada masalah kerana khemah belum dibentangkan. Dia tahu kami berada di Tumpat daripada kawannya yang lain. Mereka ini pernah bekerja sebagai tentera di Kem Trendak, Melaka. Hubungan ini masih kukuh, walaupun telah lama meninggalkan bidang ini. Namanya Hassan bin Man, sebaya dengan Karim, masih sihat dan tegap, rambutnya masih hitam. Membuka perniagaan runcit di tempatnya. Dia melayan kami dengan baik sekali.  Dia mendapat tahu berada di Tumpat daripada kawan yang lain. Bermalam di rumahnya

Jarak kayuhan ialah 150 kilometer dengan melalui Besut, Pasir Putih, Kota Bharu dan Tumpat

Hari 12: Khamis,  7/10/2010

Tumpat – Jeli

Solat Subuh di masjid Tumpat, selepas itu saudara Hassan membawa ke sebuah gerai untuk sarapan pagi. Makan nasi bungkus berlaukan ikan tongkol. Tidak sentuh ikan tongkol itu kerana tidak diajar memakannya. Makan dengan kuahnya sahaja. Itu pun sudah cukup menyelerakan, masak lemak kuning. Dua bungkus habis pada pagi itu.

7.45 pagi, memulakan kayuhan meninggalkan rumah saudara Hassan ke Jeli dengan melalui Pengkalan Kubur, dan melalui pesisir Sungai Golok menuju ke Rantau Panjang. Hujan renyai-renyai sepanjang jalan. Siam berada di sebelah kanan seberang Sungai Golok. Kawasan Keselamatan, terdapat banyak pos keselamatan di tepi jalan. Seorang pegawai di satu pos telah memberi botol air minuman dan dua biji telur. Sebagai sokongan terhadap kayuhan ini. Jalan sunyi, berlobang dan di sesetengah tempat ada yang bertar. Penduduk di sini menanam padi.  Kayuhan perlahan walaupun tidak berbukit kerana faktor muka buminya.

Kayuhan melalui pesisir Sungai Golok ini sampai ke Jeram Perdah. Berhenti rehat dan makan. Bila rasa penat telah hilang kayuhan diteruskan ke Rantau Panjang, tetapi tidak memasuki pekan tersebut. Telah ternampak tanda jalan ke Gerik dan terus ikut laluan itu. Cuaca mendung dan nyaman.

1.30 tengah hari, berhenti makan di Panglima Bayu.  Selepas itu mulakan kayuhan lagi menuju ke Jeli. Cuaca panas sedikit, dan ada mendaki tetapi tidak tinggi. Karim membeli dua kilo langsat, masih baru, rasanya manis sekali. Seringgit sekilo.

Kayuhan hari ini perlahan sedikit, selain daripada bukit, keadaan jalan juga memainkan peranan. Terutama sepanjang pesisir Sungai Golok, jalannya terbiar, berlobang, ada yang tanah merah. Angin juga menjadi penghalang kepada kelajuan, ia bertiup di arah yang bertentangan, dan faktor hujan, walaupun renyai-renyai, jalan raya tetap basah dan licin, tidak boleh laju

4.00 petang, sampai di masjid Jeli dan akan berkhemah di sini selama dua malam.  Jeli sebuah pekan yang pesat membangunan, ada banyak projek di sini, semuanya dalam pembinaan mungkin kerana salah seorang menteri persekutuan adalah Ahli Parlimen Jeli.

Jarak kayuhan ialah 105 kilometer dengan melalui Pengkalan Kubur, Rantau Panjang, Panglima Bayu dan Jeli.

Hari 13: Jumaat, 8/10/2010

REHAT

Hari 14: Sabtu, 9/10/2010

Jeli – Puncak Titiwangsa

Kayuhan ini merupakan kayuhan yang paling mencabar, walaupun belum memulakannya tetapi bahangnya telah ada. Tidak diketahui ketinggiannya, bentuk jalan raya, dan kesibukannya. Pastinya daripada cerita ia amat sukar didaki. Tambahan pula ia merupakan laluan gajah liar. Persedian lengkap dibuat terutama daripada segi makanan, singgah di stesyen  minyak untuk membelinya. Takut keputusan makanan yang membekalkan tenaga. Walaupun pernah mengayuh mendaki Cameroon Highland dan Gunung Jerai, ia masih menjadi kerisauan. Cerita orang menyebabkan ia menjadi phobia.

7.05 pagi memulakan kayuhan daripada masjid Jeli menuju ke lebuh raya Timur – Barat, peringkat awal kayuhan selesa sedikit, untuk memanaskan badan. Jumpa stesyen minyak Caltex dan beli makanan tambahan. Terlalu berhati-hati atau terlalu ghairah hendak mendaki tersalah memilih laluan. Karim memanggil daripada belakang dan menunjukan papan tanda jalan, tersalah rupanya, berpatah balik ke Kota Bharu dan buat pusingan semula supaya menuju ke Grik. Tidak lama kemudian sampai di Kampung Lawar, diketinggian 90 meter. Cuaca sejuk kerana masih pagi, dan mula mendaki. Gunakan gear rendah, perlahan sekali. Sedikit demi sedikit, semakin tinggi. Istimewanya lebuh raya ini walaupun nampaknya mendaki ada ruang untuk menghela nafas, membetulkan bontot dan merehatkan kaki. Faktor ini boleh mengurangkan keazaban pendakian.

Tidak seperti mendaki Gunung Jerai, ruang ini tidak ada, sama ada kayuh atau berhenti dengan sendirinya. Berpendapat bahawa mendaki Cameroon Highland dari Tapah, lebih sukar daripada mendaki lebuh raya Timur-Barat. Ada dua faktor psikologi yang mempengaruhi pengayuh di sini, iaitu papan tanda yang berbunyi ” Lorong Memotong 300 Meter Di Hadapan “. Bila ada tanda seperti ini, bermakna pendakian akan bermula. Hal ini boleh mengganggu minda dan pemikiran. Ada banyak tanda seperti ini. Nampak sahaja sudah letih dan tidak bertenaga.  Satu lagi telah di uar-uarkan dengan gajah liar, terutama yang ada anak, melintas jalan, kata mereka. Kiri kanan jalan hutan rimba. Ini juga boleh mempengaruhi kayuhan. Berkayuh dalam keadaan bimbang, kalau bertemu, apa yang harus dilakukan. Pelbagai perkara bermain diotak. Kata orang berfikir lebih penat daripada bermain. Angin juga menjadi faktor kelancaran kayuhan seperti yang berlaku hari ini.

12.30 tengah hari  sampai di puncak di ketinggian 1,050 meter, berehat sekejap di sebuah surau usang. Ada tugu di situ yang tidak berjaga menyatakan puncak dan ketinggiannya. Bergambar untuk kenang-kenangan. Terdapat juga sebuah kem tentera di hadapannya. 15 minit kemudian sampai di Puncak Titiwangsa. Berehat di situ sekejap. Semasa bercakap-cakap dengan Karim datang satu kumpulan dan memperkenalkan diri. Mereka adalah peminat vespa dari Kuala Kangsar yang di ketuai oleh Penghulu Kassim. Hendak ke Terengganu atas jemputan Kelab Vespa Terengganu kerana ada karnival di sana. Penghulu Kassim ramah orangnya dan ia belanja minum hari itu. Ada dua orang rakannya yang pernah tinggal di Semenyih.

Pemandangan Puncak Titiwangsa amat cantik sekali, hijau saujana mata memandang. Diselang seli dengan gunung-ganang. Udaranya nyaman. Waktu malam sejuk sekali, tidur dalam ‘sleeping bag’. Berkhemah di sini. Tidur tidak boleh lena kerana lori dan kereta yang lalu lalang di situ.

Jarak kayuhan ialah 50 kilometer

Hari 15: Ahad, 10/10/2010

Titiwangsa – Baling

Tidak mandi pada pagi ini, cuaca sangat sejuk, tidak ada air panas. Gosok gigi dan berwuduk. Tidak juga masak pada pagi ini, keadaan tidak mengizinkan. Berbincang dengan Karim supaya berhenti di gerai yang terdekat untuk sarapan pagi.

7.30 pagi, memulakan kayuhan, nasib baik menurun, jikalau mendaki belum tahu lagi keadaan fizikal dan kemampuan kerana belum sarapan. Gerai berdekatan belum dibuka. Menurun tidak perlu mengayuh, pergerakan laju sekali. Walaupun demikian sentiasa bermain dengan berek. 17 kilometer menurun, cuaca sejuk. Waktu pagi, bunga hutan berkembang, wangi sekali.  Berhenti di Bainon untuk sarapan pagi. Makan nasi lemak, berlaukan ayam. Teruskan kayuhan ke Banding, pemandangannya cantik. Setelah melepasi Tasik Banding keadaan jalan rayanya tidak ada masalah tetapi turun naik bukit. Di penghujung lebuh raya Timur – Barat, di bina sebuah tugu, menceritakan tentang kematian, kerugian dan pahit getir pembinaannya. Gara-gara perbuatan Komunis Malaya. Tugu ini dibiarkan tidak berjaga, satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab daripada pihak berkuasa terhadap bahan sejarah dan tempat pelancongan. Sampai di Kampung Sungai Rui cuaca adalah mendung, menjadikan kayuhan agak selesa. Singgah sebentar di Kampung Perah, minum dan menikmati makanan ringan.

12.30 tengah hari, teruskan kayuhan ke Pengkalan Hulu, tidak perlu masuk ke Pekan Grik. Kayuhan di sini tidak kurang mencabarnya kerana keadaan yang berbukit-bukit. Semasa menurun di salah sebuah bukit meter basikal telah terjatuh. Tidak dapat berhenti kerana sedang laju. Biarkan begitu sahaja. Untuk mengetahui jarak kayuhan bergantung kepada meter basikal Karim. Oleh sebab tersangat dahaga berhenti makan buah limau yang dijual di tepi jalan. Cuaca panas terik, dan bekalan air habis. Dua kilometer hendak sampai ke Pengkalan Hulu ( Nama lamanya ialah Keroh ) menurun bukit, lega sekali. Berhenti makan dan solat.

4.00 petang, sampai di Pengkalan Hulu, jarak kayuhan ialah 121 kilometer. Kayuhan diteruskan ke Baling. Sejauh 12 kilometer menurun, curam ada sedikit yang mendaki. Amat menyeronokkan, cepat sampai di Baling. Karim mencatatkan rekod kelajuannya iaitu 62 kilometer sejam. Istimewanya penduduk di sini mereka tidak membunyikan hon kenderaan mereka, walau pun berada di tengah jalan. Mereka tahu basikal sedang laju, tidak boleh diganggu, mereka biarkan sahaja, ada peluang baharu mereka memotong. 30 minit sudah sampai di Baling.

5.45 petang, sampai di Baling, setelah mempakirkan basikal di masjid terus pergi minum air kelapa di gerai berdekatan. Semasa rehat di masjid dan menunggu imam untuk kebenaran bermalam di situ terjumpa seorang penghuni Desa Mewah, tauke kopi Aleeudin, gambarnya ada di kedai runcit di Desa Mewah. Baharu selesai solat Asar. Bercakap dengannya sekejap dan ia akan meneruskan perjalanannya ke Butterworth. Tidak tahu lagi bila hendak balik ke rumah.

Berkhemah di masjid Baling.

Jarak kayuhan ialah 136 kilometer dengan melalui, Bainon, Banding, Kampung Perah, Pengkalan Hulu dan Baling.

Hari 16: Isnin, 11/10/2010

Baling – Pedu

Pagi ini sarapan pagi tidak disediakan kerana masjid Baling tempat berkhemah berhampiran dengan gerai makan. Makan di salah satu gerai yang berada di situ dan terletak dengan laluan yang akan diikuti ke Pedu.

7.30 pagi, setelah sarapan, mulakan kayuhan ikut jalan ke Weng, Jalan raya baru lebar dan lurus, tidak ada bukit yang hendak didaki. Diberitahu awal oleh salah seorang penduduk bahawa jalan raya itu belum siap sepenuhnya. Di sesetengah tempat masih belum diturap. Jalan raya itu adalah jalan pintas menuju ke utara. Walaupun ia jalan pintas, rasa berbelah bahagi, kerana keadaan jalan seperti yang dinyatakan. Tanya seorang pemuda yang lalu di situ, katanya, selain keadaan jalan laluan ini juga ada banyak bukit yang perlu didaki. Masalahnya bukan bukit tetapi keadaan jalan, bimbang tayar dan tiup akan bocor dan bimbangkan rimnya, takut bengkok dan sebagainya. Pemuda itu mencadangkan ikut Sikh, jauh tetapi selesa. Buat keputusan ikut cadangan pemuda itu, tambahan pula simpang ke Sik tidak jauh daripada tempat bertanya tadi.

Masuk sahaja simpang arah ke Sik, mula mendaki. Ha! Ditipu ke? Bukitnya mencanak, boleh tahan juga tingginya dan curam pula. 500 meter mendaki, kemudian menurun sejauh tujuh kilometer. Pemuda itu berkata benar. Laluan ini sunyi sekali, ia di penuhi oleh pokok getah, redup dan nyaman. Kereta kurang lalu, mungkin telah ada jalan baru. Terdapat banyak tempat berkelah, tetapi tidak kelihatan orang yang berkelah, hari bekerja.

9.45 pagi sampai di Sik, berhenti rehat sebentar. Seperti biasa minum dan makan yang ringan-ringan.

12.00 tengah hari berhenti makan tengah hari di Kampung pulau Belantik.

1.00 tengah hari sampai di Gulau. Kayuhan diteruskan ke Tasik Pedu kerana bercadang untuk berkhemah di situ. Tasik Pedu berada di luar laluan jalan utama. Lapan kilometer jaraknya. Terpaksa mendaki banyak bukit. Laluan sunyi sepi. Di kiri kanan jalan adalah hutan rimba. Tidak jumpa kenderaan yang lalu lalang. Satu masa dahulu ia adalah tempat percutian, ada banyak chalet, dan pemandangannya cantik. Telah mendapat gambaran awal keadaannya sekarang daripada penduduk di kampung berhampiran. Persedian telah dibuat seperti membeli sadin untuk makan malam nanti. Tidak terfikir pula keadaannya boleh menjadi begitu sekali. Tidak ada kenderaan, bermakna tidak berorang.

Kayuhan diteruskan, dalam jarak lima kilometer terjumpa sebuah resort yang telah usang, sudah tidak berjaga, yang ada seorang yang dipertanggungjawabkan menjaga resort itu. Ujang namanya dari Negeri Sembilan, tinggal di Kedah kerana isterinya orang Kedah. Air dan elektrik di resort ini telah dipotong. Tidak lama kemudian hujan turun dan berbual dengan Ujang hingga hujan berhenti.

Ujang ada memberitahu tiga kilometer lagi ada sebuah resort yang lebih besar di tepi Tasik Pedu. Di situ ada elektrik yang menggunakan generator dan ada jaga siang dan malam. Nasib resort itu sama dengan nasib resort tempat Ujang bekerja. Bolehlah ‘charge’ beteri telefon kata Karim. Beteri telefonnya sudah sampai ke paras kosong. Tidak boleh buat hubungan langsung. Hujan berhenti teruskan kayuhan ke resort tersebut.

3.00 petang, sampai di Resort Mutiara, Tasik Pedu. Tidak dibenarkan masuk oleh jaga. Sudah ditutup. Memujuknya, ia benarkan dan berkhemah dekat pondok jaga itu. Mereka ramai. Tetapi generator seperti yang diberitahu oleh Ujang di tempat lain. Jaga di situ gunakan lampu karbaid seperti di zaman silam. Resort tersebut dalam proses merobohkan bangunannya. Malam itu masak sendiri.

Jarak kayuhan ialah 105 kilometer dengan melalui Weng, Sik, Gulau dan Tasik Pedu.

Hari 17: Selasa , 12/10/2010

Tasik Pedu – Bukit Kayu Hitam.

Pagi ini mendapat makanan tambahan iaitu kuih-muih yang diberi oleh salah seorang pegawai keselamatan di situ. Selain daripada itu, biasalah waktu pagi, sarapannya ialah oat dan nescafee 3+1. Ini sudah cukup untuk memberi tenaga.

8.00 pagi, memulakan kayuhan dari Tasik Pedu, matlamatnya ialah Bukit Kayu Hitam. Lapan kilometer pertama dari Tasik Pedu ke persimpangan lebuh raya hendak ke Padang Sanai terpaksa mendaki dan menurun bukit. Tidak seperti semalam rasanya sampai cepat ke persimpangan itu. Mungkin telah banyak rehat dan hari masih awal, tenaga masih kuat.  Membelok ke kanan menuju ke Padang Sana, kawasan pedalaman negeri Kedah. Walaupun jalannya bertaraf lebuh raya, tidak banyak kenderaan, boleh dibilang dengan jari. Turun naik bukit lagi, boleh tahan juga dahsyatnya. Sunyi sepi, hanya kedengaran bunyi ungka, hutan rimba. Di sesetengah tempat jalannya masih belum berturap. Tidak jumpa perkampungan di kiri dan kanan jalan. Gerai makan pun tidak ada. Lebuh raya ini akan berakhir di Durian Burung, sempadan dengan Siam. Terasa anih dan hairan apabila menurun sebuah bukit, pada kelazimannya, menurun mestilah laju. Tidak di bukit ini, ia tidak laju, malah kena kayuh, gunakan gear rendah, masih terasa seolah-olah mendaki bukit. Angin tidak ada. Ada memberitahu Karim akan hal ini. Kalau-kalau ia mengalami keadaan yang sama. Tidak dapat kepastian daripadanya. Menganggapnya satu tarikan graviti, ini kerja Allah dan berpendapat sains perlu mengkajinya ataupun mereka sudah tahu akan keadaan ini. Keadaan ini ada juga berlaku di suatu tempat di antara Senawang dengan Pedas. Walaupun datar, terpaksa menggunakan gear rendah untuk menggerakkan basikal.

Untuk ke Padang Sanai terpaksa keluar dari lebuh raya ini, dan jalan ke arahnya datar, tidak membebankan kayuhan. Keluar sahaja dari Padang Sanai ke Sintok, jalan mulai berbukit bukau, Ada yang tinggi mencanak. Tambah perit lagi jalannya ada yang sangat teruk, berdebu dan berbonggol-bonggol, rosak, tidak ada yang berturap akibat lori mengangkut batu yang lalu lalang di situ. Keadaan semakin teruk apabila melalui jalan ini keadaan cuaca panas terik. Kenderaan awam sangat kurang yang lalu di situ. Pergerakan perlahan kerana turun dan naik bukit tidak boleh laju kerana keadaan jalan itu.

2.00 tengah hari sampai di Sintok.  Satu lagi marathon, kayuhan tanpa henti dengan jarak 83.8  kilometer. Mencari surau untuk solat dan berehat.

3.30 petang, makan tengah hari di UUM, makanan yang masih ada ialah nasi ayam.  Yang menarik gelas minumnya besar sekali. Seolah mereka tahu memerlukan air yang banyak.

4.00 petang teruskan kayuhan ke Bukit Kayu Hitam, melalui UUM dan Bukit Tangga.

5.35 petang, sampai di Bukit Kayu Hitam. Beritahu Karim akan bermalam di sini, kerana hendak meneruskan perjalanan ke  Kaki Bukit, Perlis sudah lewat. Ternampak sebuah masjid dan terus ke situ untuk berkhemah pada malam itu. Berehat sekejap menghilangkan letih dan Karim terus membuat panggilan dan menyerahkan telefon, dia tahu sudah lama tidak menelefon ke rumah, sukar hendak dapat telefon awam. Rupa-rupanya daripada kenyataan isteri sudah enam hari tidak telefon rumah. Rasanya sejak dari Jeli dahulu.

Perut mula meragam, tidak tahu kenapa, tersalah makan agaknya, atau memakan makanan yang telah tercemar.

6.30 petang pergi melihat pasar tani Bukit Kayu Hitam dan makan meehon sop.

Jarak kayuhan ialah 106 kilometer dengan melalui Padang Sanai, Sintok, Bukit Tangga dan Bukit Kayu Hitam.

Hari 18: Rabu, 13/10/2010

Bukit Kayu Hitam – Wang Kelian, dan Sungai Batu Pahat.

Pagi ini hujan turun dengan lebat. Walaupun telah siap sedia untuk melakukan kayuhan tetapi tidak dapat dilakukan akibat faktor alam ini. Tunggu di masjid hingga hujan teduh.

8.00 pagi memulakan kayuhan dengan matlamatnya Wang Kelian. Melalui Arau dan Kangar.

12.00 tengah hari berhenti rehat dan makan tengah hari di Timah Tasoh. Cuaca mulai gelap dan hujan telah turun dengan lebatnya di hadapan.  Tunggu hingga cuaca terang semula dan mulakan kayuhan. Tidak lama berkayuh hujan turun semula dan ini tidak dapat dielakan, terus ke bawah rumah seorang penduduk di situ. Sunyi, rumah ini tidak berorang berdasarkan salam yang diberi tidak berjawab. Hujan teduh kayuh semula.  Jalan basah kayuh berhati-hati, tidak banyak kenderaan.

1.30 tengah hari sampai di Kaki Bukit, rantai basikal Karim menghadapi masalah. Jika diteruskan kayuhan mungkin tidak boleh mendaki bukit yang ada dalam perjalanan ke Wang Kelian. Baiki rantai itu di sebuah kedai basikal. Kadai basikal tersebut nampak canggih.

2.00 petang, mula mendaki bukit, jauhnya hingga ke puncak ialah tiga kilometer. Selepas itu menurun sejauh empat kilometer dan mendatar tiga kilometer sampai di sempadan Siam.

3.00 petang, sampai di Wang Kelian. Jarak kayuhan dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Wang Kelian ialah 111 kilometer. Tiub basikal pancit lagi, buat kali kedua, tiub belakang juga. Karim membuktikan kepakaran dalam hal ini, dengan cepat ia telah menukarkannya kepada tiub baru. Daripada situ ia membuat kesimpulan bahawa tiub itu pancit kerana dicucuk oleh dawai yang terdapat pada tayar. Dawai yang serupa ditemui.  Harapkan tayar, tayar mencucuk tiub. Satu lagi tiub yang tinggal.

3.45 petang, perjalanan pulang bermula dengan menuju ke selatan, tidak bermalam di Wang Kelian kerana Karim telah berjanji dengan kawannya Major Bakar untuk bermalam di Sungai Batu Pahat. Hujan turun dengan lebatnya, berteduh di sebuah stesyen minyak, teruskan kayuhan bila keadaan reda. Bila mula mendaki hujan turun lebih lebat, tidak dapat berlindung,basah kuyup. Sepanjang empat kilometer mendaki itu, ditimpa hujan dengan teruknya. Berhenti sekejap di puncak kerana di situ ada wakaf di situ.

6.00 petang, sampai di Sungai Batu Pahat. Bermalam di rumah tumpangan Tok Weh, milik murid Karim, bekas Kapten namanya Mahazan. Telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya juga. Memeliki restoran di bahagian bawah rumah tumpangan itu. Ia menghidangkan kuew teaw special. Yang istimewanya ada banyak udang dan telur mata kerbau. Sebelah malam kawan-kawan Karim semasa di Kem Trendak datang, termasuk Major Bakar. Hidangan kuew teaw special lagi. Mereka berbual panjang kisah lama, dan bercakap tentang kawan-kawan mereka yang lain. Yang hidup dan yang telah meningal.  Mendengar sahaja.

Jarak perjalanan ialah 154 kilometer dengan melalui Arau, Kangar, Kaki Bukit, Wang Kelian, Kaki Bukit semula dan Sungai Batu Pahat.

Hari 19: Khamis, 14/10/2010

Sungai Batu Pahat – Alor Star

8.45 pagi memulakan kayuhan menuju Alor Star, tidak masak dan bersarapan pagi. Di sebuah gerai tidak jauh daripada rumah tumpangan Tok Weh, singgah pekena tosai. Seorang dua keping.

9.00 pagi teruskan kayuhan ke Alor Star. Cuaca baik sekali. Perjalanan berjalan lancar. Tidak mendaki lagi. Tempat yang dicari ialah Jalan Dato’ Kumbar. Di satu lampu trafik, pam basikal Karim sekali lagi telah jatuh, tidak boleh berhenti ambil, kerana kenderaan bertali arus. Tidak mahu membahayakan diri. Biarkan sahaja. Adik Karim tinggal di Taman Durga Jaya. Akan menginap di sini selama dua hari. Adik Karim dan suaminya Faisal, melayan kami dengan baik. Makanan disediakan begitu sempurna sekali. Terima kasih di atas layanan yang baik ini. Mereka tinggal di situ bersama dengan dua anak perempuan yang masih bersekolah, yang lain telah keluar rumah. Mula-mula sampai di Taman Durga Jaya, hairan juga, rumah mereka tidak berpagar, seperti di Putrajaya. Encik Faisal ada memberitahu, mengapa keadaan ini berlaku.

Sebelah malamnya Encik Faisal membawa bersiar-siar di Alor Star, pergi ke Pasar Raya Giant dan Tesco. Mencari bahan bakar yang telah mula berkurangan untuk persedian kayuhan yang akan datang. Malam yang kedua pergi Medan Selera dan makan sop gear box.

Di sini juga membasuh pakaian dan membasuh basikal yang kotor akibat hujan semasa di Wang Kelian. Minyak juga dititiskan kepada rantai basikal yang mula menguning.

Jarak perjalanan ini ialah 61 kilometer.

Hari 20: Jumaat, 15/10/2010

REHAT

Hari 21: Sabtu, 16/10/2010

Alor Star – Pantai Merdeka

7.00 pagi, meninggalkan Taman Durga Jaya menuju ke Kuala Kedah, mengikut jalan tepi pantai menuju ke Yan. Pada mulanya keadaan jalan elok, berturap walaupun ia tidak seluas mana. Jalan kampung katakan. Tetapi tidak lama kemudian jalan menjadi semakin teruk serupa, tidak berturap, berlubang dan berair, di sesetengah tempat rim boleh tenggelam sampai separuh kalau tersalah memilih laluan.  Banyak batu dan berbonggol-bonggol sama seperti ‘ off road ‘, cuma ia tidak berbukit. Kadang-kadang tergelicik, berlumpur kasut. Tidak biasa keadaan seperti ini, sungguh memeritkan. Mendaki bukit lebih selesa. Di pertengahan jalan hujan telah turun dan berhenti berteduh di sebuah dangau dekat dengan kolam ikan keli. Terdapat seorang penjaga di situ. Ikan kelinya besar-besar belaka, ada yang besar betis. Ada lima tan ikan keli di dalam kolam itu.

Hujan teduh memohon diri, penjaga itu mempelawa supaya singgah lagi dan berkhemah dekat kolamnya, boleh makan ikan keli bakar. Kayuhan diterus, basikal penuh dengan lumpur. Nasib baik tidak ada masalah yang dihadapi. Jalan pantai itu boleh sampai ke Tanjung Dawai, tetapi tidak sanggup lagi kerana keadaan muka buminya. Penat berfikir, untuk mengelak batu, lubang, lopak air dan rumput yang boleh tahan tingginya. Cari jalan keluar ke Yan. Setelah beberapa pertanyaan dan dipandu oleh seorang penunggang basikal akhirnya berjumpa jalan raya menuju ke Yan.

Putus hubungan sekali kali lagi dengan Karim. Ada dua simpang yang boleh dilalui untuk ke Pantai Merdeka, satu dengan melalui Sungai Petani dan satu lagi melalui Tanjung Dawai dan naik bot atau tidak boleh tidak melalui Sungai Petani dari Tanjung Dawai, Jauh. Tahu keadaan ini, telah bercakap dan berbincang dengan Encik Faisal semasa di Alor Star. Cuma tidak pasti laluan yang diikuti oleh Karim. Memilih laluan terus ke Sungai Petani, kelibat Karim tidak kelihatan. Kayuhan diteruskan hingga ke Tikam Batu.

2.45 petang, berhenti solat Zohor di masjid Tikam Batu, basikal diletakan di suatu tempat yang Karim boleh lihat di hadapan masjid sekiranya ia melalui Tanjung Dawai. Berehat sehingga masuk waktu Asar. Selepas Asar seorang jemaah mengajak ke rumahnya, ada kenduri, ia hendak ke Mekah. Tolak pelawaan itu kerana keadaan perasaan yang berbelah bahagi. Sama ada ia terus ke Pantai Merdeka atau ia belum sampai di Sungai Petani. Beritahu jemaah itu bahawa kawan sedang menunggu di Pantai Merdeka. Fikirkan bahawa ia memegang kepada perbincangan mengenai destinasi hari ini.

4.30 petang, tanpa lengah lagi terus memecut ke Pantai Merdeka. Laju kerana jalan yang datar dan hari telah lewat. Satu kilometer hendak sampai terpaksa mendaki, kemudian menurun hingga ke Dataran Selera, mata liar memerhati kiri dan kanan dan ternampak Karim melambai-lambai. Selepas Yan tadi, ia telah berhenti di ‘ car wash’ cuci rantai basikal, tanpa sempat memberitahu. Ada masalah rantai.

Pantai Merdeka cantik pemandangannya. Ada ramai pengunjung kerana cuti hujung minggu. Sebelah malam nampak Tanjung Dawai yang dihiasi lampu-lampu. Cantik sekali. Siang belum tahu. Akan berkhemah di sini.

Pada jam 4.00 pagi, sedang nyenyak tidur, tiba-tiba kaki terasa basah. Hujan telah turun. Khemah bocor, terpaksa lari berteduh di salah sebuah wakaf yang ada. Tidak dapat tidur hingga ke pagi.

Jarak perjalanan ialah 115 kilometer dengan melalui Kuala Kedah, Yan, Sungai Petani, Tikam Batu dan Pantai Merdeka.

Hari 22: Ahad,  17/10/2010

Pantai Merdeka – Tanjung Piandan

Satu hari lagi tidak mandi, bukan kerana sejuk tetapi kemudahan awam yang disediakan ditutup awal dan dibuka lewat iaitu jam 10.00 pagi, kata seorang peniaga. Hanya dapat mengambil wuduk, itu pun dengan menggunakan paip mencuci tangan di geraikan makan. Tidak juga masak. Terdapat sebuah surau di Pantai Merdeka juga tidak digunakan kerana tidak ada air. Kemudahan awam sepatutnya dibuka 24 jam. Memudahkan pengunjung yang datang. Ia bukan pejabat yang ada waktu kerja atau sekolah yang ditutup apabila waktu persekolahan tamat. Ia kawasan pelancongan yang tiada had waktu lawatan.

7.30 pagi memulakan kayuhan, destinasinya ialah Tanjung Piandang, Perak. Apabila tiba di sebuah gerai, berhenti untuk sarapan pagi. Berat.  Makan nasi dengan kari ayam dan sayur kambas. Selesai sarapan teruskan kayuhan melalui Kepala Batas, tanpa melalui Tikam Batu.

10.00 pagi, sudah berada di Butterworth. Perjalanan lancar kerana waktu itu keadaan jalan raya di Butterworth masih legang. Selesa sekali. Masalah yang dihadapi cuma tanda jalan, ikut arah yang berwarna biru ke selatan, tiba warna itu hilang timbul warna hijau. Bukan masalah besar, satu pertanyaan sahaja, selesai masalah. Keluar dari Butterworth melalui Jawi dan Bukit Mertajam. Selepas itu menghala ke Nibung Tebal.

12.30 tengah hari, tiba di Nibung Tebal. Kayuhan tanpa henti  sejauh 85 kilometer. Berhenti rehat.

1.00 tengah hari, setelah berehat mulakan kayuhan, cuaca panas terik, kenderaan tidak banyak kerana hari minggu. Tiada bukit yang hendak didaki, jalan layar cantik dan lurus, pergerakan pantas sedikit.

2.00 petang sampai di masjid Tanjung Piandang. Akan berkhemah di sini. Masih belum makan tengah hari. Menjemur semua kelengkapan yang basah akibat hujan semasa di Pantai Merdeka. Keadaan cuaca menyebabkan ia kering dengan cepat.

Sebelah petang Karim keluar ke Pekan Tanjung Piandang membeli bahan mentah untuk dimasak malam nanti. Tidak ada idea di mana hendak makan sekiranya persediaan itu tidak dibuat. Sebelum malam menjelang makan mee segera dahulu, alas perut. Maghrib dan Isyak berjemaah, berjumpa dengan penduduk kampung. Mereka sangat mengambil berat. Berbual dengan mereka, antaranya Hj. Yusop, dan imam masjid berkenaan. Di sini penduduknya bersawah padi, dan ramai orang Melayu yang berketurunan Banjar. Semua ada anak yang bekerja di Lembah Kelang. Banyak soalan yang dimukakan.

Akhir sekali Hj. Yusop dan Tuan Imam belanja minum di salah sebuah gerai yang tidak jauh daripada masjid. Naik motosikal.

Jarak perjalanan ialah 126 kilometer dengan melalui Kepala Batas, Butterworth, Bukit Mertajam, Nibung Tebal dan Tanjung Piandang.

Hari 23: Isnin , 18/10/2010

Tanjung Piandang – Batu Tiga, Segari

7.35 pagi, memulakan kayuhan melalui Pekan Kuala Kurau. Laluan ini akan berpatah balik ke utara dengan melalui Bagan Serai. Batalkan laluan ini dengan berpatah balik dan naik jambatan ke Kuala Gula. Dari Kuala Gula menuju ke Simpang Empat. Jalan raya sunyi, tidak banyak kenderaan. Jalannya lurus dan lebar, selesa mengayuh. Di kiri kanan jalan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit.

10.00 pagi, sampai di Simpang Empat dan cari minyak basikal kerana rantai basikal sudah mula menguning akibat hujan. Kayuhan diteruskan selepas itu menuju ke Pantai Remis dengan melalui jalan utama ke Taiping dan Ipoh. Bertanya sebelum memulakan kayuhan. Sampai di Cangkat Jering, belok ke kanan, ikut tanda jalan. Ada lampu trafik di situ. Beberapa kali bertanya itulah jawapan yang diberikan. Sepanjang kayuhan hanya terjumpa satu tanda jalan yang menyebut Lumut, kebanyakannya Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh. Bandar utama sahaja. Bila sampai di Cangkat Jering tidak ada tanda jalan yang menunjukkan arah ke Pantai Remis atau Lumut. Teruskan kayuhan tidak lama kemudian teringat, ini macam sudah biasa tidak lama lagi akan mendaki, sudah sampai di Bukit Gantang. Minta Karim bertanya di stesyen minyak. Sudah terbabas jauh dan terpaksa berpatah balik. Itupun tidak ada tanda arah ke Pantai Remis dan ikut akal dengan mengikut arah ke Lumut.

1.30 tengah hari berhenti makan di Sungai Kerang

3.00 petang berhenti solat Zohor dan Asar di Masjid Pengkalan Baharu.

4.30 Teruskan kayuhan ke Pantai Remis, rupa-rupanya tiada tempat berkelah di sini, terus mengayuh. Tayar belakang pancit lagi, buat kali yang ketiga, tukar tayar depan ke belakang, disebabkan  tiub tayar depan dahulu tersalah pasang, bila dipam pancit lagi. Kehabisan tiub, pinjam tiub yang dibawa oleh Karim. Ini bermakna hanya ada satu sahaja lagi tiub yang tinggal iaitu kepunyaan Karim.

6.00 petang, kayuhan diteruskan, hari semakin gelap, cari masjid untuk solat Maghrib dan bermalam. Kayuhan kali ini laju sebab mengejar masa. Cadangan akan berhenti di Manjung tempat yang terdekat. Air minum habis berhenti di sebuah stesyen minyak beli air dan bertanya masjid yang terdekat. Batu Tiga, Segari yang paling hampir. Tetapi di kiri kanan jalan tidak nampak kampung yang rasanya sesuai untuk tujuan ini. Akhirnya setelah bertanya, jumpalah kampung ini, Batu Tiga, Damar Laut, Segari.

Sampai di masjid jemaah sedang menunaikan fardhu Maghrib. Alhamdulillah. Ada ceramah agama malam itu ikut sama mendengarnya. Mata mengantuk. Solat Isyak berjemaah. Selepas solat berjumpa dengan jemaah. Salah seorang daripada mereka memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ngah, berusia 76 tahun, masih sihat, mempunyai 18 orang anak, empat sudah meninggal. Dalam usaha membesarkan anak-anaknya ia hampir dibaham harimau. Ia ada membaca sepotong ayat, tetapi cepat tak dapat ikut. Tidak ada ulangan. Ia juga berkata, sekiranya ada selera makan, makanlah sepuasnya. Bila sudah tidak ada selera, contoh dirinya, setengah roti canai sampai petang tidak sentuh makanan lagi.

Kayuhan ini merupakan kayuhan yang paling banyak bertanya. Dari Pantai Remis ke Segari penduduknya banyak yang membela anjing. Kayuhan yang banyak di kejar anjing, itulah sebab laju agaknya.

Jarak kayuhan ialah 150 kilometer dengan melalui Kuala Kurau, Simpang Empat, Terong, Sungai Kerang, Pantai Remis dan Batu Tiga.

Hari 24: Selasa, 19/10/2010

Batu Tiga, Segari – Lumut

Selepas subuh di masjid Batu Tiga, tidur semula kerana Lumut terlalu hampir. Kedai pun masih belum dibuka. Bercadang untuk membeli tiub baru kerana tiub yang dibawa telah habis dan mengganti tayar yang telah haus.

10.30 pagi, memulakan kayuhan menuju ke Seri Manjung kerana seorang jemaah mengatakan di situ ada banyak kedai basikal. Di Lumut, disebabkan ia pusat peranginan ia ada banyak menjual barang-barang yang berkaitan dengan peranannya itu.  Tujuh kilometer dari Seri Manjung, tayar pancit lagi, kali yang keempat. Karim berada di hadapan, panggil ia tidak dengar. Cuba menahan seorang Mat Motor, tetapi ia tidak mahu berhenti. Tahan lagi, tahan lagi. Tidak juga mahu berhenti. Takut agaknya. Tidak mahu menyalahkan mereka. Memandangkan kepada kadar jenayah mereka perlu berwaspada, terutama kepada orang yang tidak dikenali dan di tempat yang sunyi. Akhirnya yang keempat baru berhenti dan pesan padanya supaya memberitahu Karim perkara yang berlaku. Ganti tiub baru. Semua tiub telah habis termasuk yang dimilliki oleh Karim. Selepas ini kalau pancit terpaksalah tolak basikal atau salah seorang berkayuh ke Manjung untuk membeli tiub. Berdoa sahaja sepanjang kayuhan, dan berhati-hati.

Alhamdulillah selamat sampai di Seri Manjung. Beli empat tiub, ganti dua tiub yang di pinjam daripada Karim. Juga ganti dua tayar. Kosnya RM78.00.

Setelah semuanya selesai, kayuhan diteruskan. Ke Lumut, ini bermakna berpatah balik. Belum pun jauh berkayuh, tayar belakang basikal Karim meletup. Semasa hendak mengganti tiub, rupa-rupanya kedai basikal tadi memberi tiub yang salah, tiub basikal lumba. Tertipu. Terpaksa ganti dengan tiub itu. Teruskan kayuhan. Sampai di Waterfront Lumut hendak berehat dan berkhemah di situ, tayar basikal Karim pancit lagi kali yang kedua hari ini. Tiub yang tidak sesuai. Ganti dengan yang baru, bila dipam tayar tidak naik. Maknanya tiub telah bocor sebelum digunakan.  Tiub milik Karim telah habis dan beri ia pinjam satu.

Hari ini cukup letih bagi Karim, bukan kerana mengayuh tetapi mengganti tiub basikal yang pancit. Empat tiub diganti. Semua tiub yang dibeli hari ini habis digunakan.

Jarak kayuhan ialah 28 kilometer dengan melalui Seri Manjung dan Lumut.

Hari 25: Rabu, 20/10/2010

Lumut – Sabak Bernam

8.15 pagi, memulakan kayuhan meninggalkan Lumut Waterfront menuju ke Setiawan, lambat sedikit kerana awal pagi kedai basikal belum dibuka. Mencari kedai basikal kedai basikal kerana tiub ganti telah habis digunakan. Karim juga perlu menukarkan tayarnya yang pecah. Jumpa sebuah kedai tetapi dibuka jam 10.00 pagi, terpaksa tunggu. Bila dibuka malangnya tiada tiub yang sesuai. Ia cadangkan sebuah kedai yang lain yang letaknya dalam perjalanan ke Selatan. Baiki apa yang perlu, Karim ganti tayar yang pecah dan tiub. Beli satu tiub itu sahaja yang ada. Bila semuanya selesai teruskan kayuhan.

11.50 tiub belakang pecah lagi, kali yang kelima. Tiub ganti habis lagi dalam simpanan. Hal ini paling mencabar minda. Pekan yang terdekat ialah Sabak Bernam. Ada Telok Intan tetapi di luar laluan.

1.45 tengah hari sampai di R & R  Batu Lima, Telok Intan, perjalanan sudah 86 kilometer. Rehat dan solat di sini. Cuaca panas sekali.

2.30 petang meninggalkan R & R, setengah jam kemudian cuaca menjadi mendung menyebabkan kayuhan menjadi selesa sekali.

3.45 petang memasuki negeri Selangor dengan menyeberangi Sungai Bernam dan tidak lama kemudian ke Pekan Sabak Bernam.  Cari kedai basikal untuk membeli tiub tetapi tidak ada yang sesuai.

Oleh sebab Sabak Bernam terkeluar daripada laluan cari masjid untuk bermalam. Malam itu masak sendiri kerana kedai makan jauh. Berjumpa dengan siak masjid berkenaan Encik Fauzi, baik orangnya selalu datang bertanya keadaan. Seorang ahli tabligh. Akan ke Sabah selama 40 hari tidak lama lagi. Cadangkan juga supaya ia datang ke surau Desa Mewah bersama kumpulannya.

Jarak kayuhan ialah 146 kilometer dengan melalui Setiawan, R & R Telok Intan dan Sabak Bernam. Kayuhan hari ini paling tertekan kerana masalah tiub. Alhamdulillah dapat sampai ke Sabak Bernam tanpa banyak gangguan.

Hari 26: Khamis, 21/10/2010

Sabak Bernam –  Kampung Sungai Rambai, Bantin

Destinasi kayuhan hari ini sepatutnya Morib. Bercadang akan berkhemah selama dua malam. Beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan menyebabkan rancangan ini dibatalkan. Sama seperti semalam memulakan kayuhan lambat, bukan kerana terlewat bangun tetapi memikirkan kedai basikal yang belum memulakan perniagaannya di awal pagi. Tiub basikal menjadi masalah besar, tiub gantian telah habis digunakan. Rasa tertekan. Kayuhan dalam keadaan sebegini boleh mengundang bahaya.

8.15  pagi, meninggalkan masjid Sabak Bernam ke Sungai Besar, diberitahu ada dua kedai basikal di situ.  Selama 45 minit mencari tetapi tidak ada tiub yang sesuai. Masalahnya ialah kesemua kedai yang dijumpai sejak dari Sabak Bernam, tiub basikal yang ada ialah natnya tidak sama dengan lobang rim basikal dan saiz pam basikal. Jikalau dibeli juga tidak akan berguna.

9.45 pagi, teruskan kayuhan dan berhenti di setiap pekan yang dilalui di atas tujuan yang sama. Semuanya menghampakan.

1.15 tengah hari , sampai di Kuala Selangor dan berhenti untuk solat Zohor. Selepas solat berjumpa dengan saudara Jumali. Ia juga berminat dalam pengembaraan. Kederaan yang digunakan ialah motosikal besar. Ia telah mengelilingi Semenanjung selama 15 hari. Ia berminat juga dengan basikal dan pernah ke Morib. Ia mempelawa untuk ke England. Minta ia beli basikal dahulu dan bincang kemudian.

4.05 petang, sampai di Meru dan berhenti untuk solat Asar di Masjid Meru. Melihat kepada persekitaran masjid, amat menarik untuk berkhemah di sini tetapi destinasi kayuhan ialah Morib, kayuhan diteruskan. Sampai di Kelang memerhatikan kedai basikal tetapi tidak kelihatan. Jalan di sini sibuk, tetapi pergerakaan kenderaan perlahan,  memudah kayuhan.

6.45 petang, sampai di Telok Panglima Garang, berhenti dan membeli tiub. Di samping itu bertanyakan masalah berik yang berbunyi. Tukar plate harganya RM40.00.  Tiba-tiba tanpa disuruh pekerja ‘Din Bicycle’ cuba meluruskan’ handle’  basikal yang bengkok. Patah. Niatnya baik tetapi tidak disuruh, ada ramai yang hendak cuba tetapi tidak berani. Ganti yang baharu. Lima puluh, lima puluh. Akhirnya terpaksa bayar RM140.00. Tidak sanggup hendak bincang lagi, hari makin gelap. Solat Maghrib di surau stesyen Petronas Datuk Panglima Garang.

Setelah semuanya selesai tinggalkan Telok Panglima Garang. Waktu Isyak berhenti di masjid Kampung Sungai Rambai, Banting. Berkhemah di sini. Hasrat untuk bermalam di Morib tidak ke sampaian. Terlalu letih, khemah tidak di pasang, diserang nyamuk dan agas sepanjang malam, tambahan dengan bunyi bising kenderaaan. Tidak disangka jalan raya ini sibuk sekali. Masjid berada tidak jauh daripada jalan. Bercadang akan ke Morib esok selepas Subuh walaupun hari Jumaat.

Jarak kayuhan ialah 166 kilometer dengan melalui Sungai Besar, Sekinchan, Kuala Selangor, Meru, Telok Panglima Garang dan Kampung Sungai Rambai.

Hari 27: Jumaat ,  22/10/2010

Hari ini sepatutnya tidak mengayuh, memandangkan keadaan di masjid ini tidak sesuai untuk berkhemah dan Morib tidak jauh lagi, keputusan diambil akan mengayuh ke Morib.

7.00 pagi, meninggalkan masjid Kampung Sungai Rambai, seperti yang diberitahu, malam sebelumnya tidak dapat tidur dengan nyenyak. Nyamuk dan agas menyerang daripada luar masjid hingga ke dalam masjid. Khemah tidak dipasang. Hal ini menjadi pengajaran, akan datang khemah mesti dipasang, walaupun terlalu letih. Pernah berlaku sekali. Tetapi tidak belajar, pengalaman lalu tidak menjadi pengajaran. Apabila mengantuk badan menjadi tidak bermaya, tidak ada tenaga, lemah dan kusut masai.

7.15 pagi berhenti sarapan di restoran mamak, roti canai dan dua biji telur separuh masak untuk memulihkan tenaga.

8.30 pagi, sampai di pantai Morib, setelah memakirkan basikal, terus membentangkan ‘canvas’  dan tidur beratapkan langit. Tiga kali pindah tempat kerana panahan cahaya matahari. Terdapat dua khemah besar milik pelajar institut pendidikan tinggi, mereka ada aktiviti hari itu. Sibuk sedikit hari ini. Tidak ada masalah untuk memejamkan mata. Mereka beredar di sebelah petang.  Malamnya datang  satu kumpulan untuk berkhemah di sini, ini aktiviti mingguan kumpulan ini. Mereka datang dari Bangi. Mereka akan memukat, pasang waktu malam dan pungut hasil waktu pagi. Aktiviti yang menarik juga untuk difikirkan.  

Pantai Morib telah berubah banyak daripada segi konsepnya daripada bentuk tradisional kepada yang lebih moden untuk menarik pelancong. Gerai makan telah di susun dengan teratur, lebih menyelerakan, kemudahan awam masih tidak mesra pengunjung. Tandas dan bilik air tidak dibuka sepenuhnya. Hanya milik OKU yang dibuka 24 jam. Yang lain terpaksalah mencari pokok atau pantai.

Jarak kayuhan ialah 24 kilometer.

Hari 28: Sabtu,  23/10/2010

Morib – Bagan Lalang

8.00 pagi, memulakan kayuhan ke Bagan Lalang. Cuaca baik kerana awal pagi. Tidak ada cabaran kerana keadaan jalan raya yang datar,  tambahan lagi kenderaan tidak banyak di jalan raya. Keadaan yang selesa ini menyebabkan sampai di Bagan Lalang  pada jam 10.00 pagi.

Tidak banyak aktiviti hanya menunggu petang untuk memasang khemah. Bentangkan ‘ canvas ‘ untuk berehat. Ada ramai orang dan kumpulan yang berkhemah. Angin di Bagan Lalang kuat sekali, ada tiga keempat khemah yang dibawa angin sehingga ke jalan raya. Pasang ambil ringan sahaja, tanpa mengkaji keadaan.

Bagan Lalang juga telah banyak berubah, telah ada penjual barang-barang seperti di pusat-pusat peranginan lain. Ramai orang berkunjung. Nampak sibuk. Suasana aman dan damai. Masalah yang dihadapi oleh pengunjung ialah kemudahan awamnya, terutama sekali bilik air dan tandas. Di sini lebih teruk dari Morib. Kalau di Morib sekurang-kurangnya tandas OKU masih boleh digunakan tetapi di sini tutup terus. Pukul 7.00 petang tutup dan jam 10.00 pagi buka semula. Bagaimana pengunjung hendak menggunakan bila diperlukan? Orang yang berkhemah menghadapi masalah dan hendak menggunakan kemudahan itu? Jawabnya mudah sahaja.

Bila petang menjelang baharu memasang khemah untuk tidur pada malam itu. Pak Cat dan keluarga ada datang untuk memberikan sokongan terakhir. Makan bersama mereka pada malam itu. Datang juga pada malam itu kawan-kawan yang tinggal di Desa Mewah. Mereka mengatakan ada upacara sambutan. Yang Berhormat ADUN akan turut sama. Memberitahu  perkara yang akan dibuat. Perkara ini telah diberitahu lama cuma kali ini untuk mengesahkannya. Mereka juga telah mengantungkan banner. Kalau tidak kerana kawan-kawan kayuhan ini hanya mengambil masa 21 hari.

Jarak kayuhan ialah 42 kilometer.

Hari 29: Ahad, 24/10/2010

Bagan Lalang – Semenyih ( Desa Mewah )

Pagi ini hujan turun di Bagan Lalang. Walaupun tidak lebat,cukup untuk membasahkan khemah dan muka bumi di situ. Di awal pagi gerai belum dibuka. Bilik air juga belum dibuka. Akan dibuka pada jam 10.00 pagi. Masalah sikit.  Hari ini  merupakan kayuhan terakhir Mengelilingi Semenanjung Malaysia. Tinggal 56 kilometer lagi untuk ke rumah. Seperti yang dipersetujui akan sampai di Desa Mewah pada jam 4.30 petang. Bertolak lewat kerana jarak yang sedemikian hanya akan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Akan ada upacara sambutan pada jam 4.30 itu. Yang Berhormat Datuk Johan bin Abd. Aziz, ADUN Semenyih akan turut hadir.

11.30 tengah hari setelah semua siap kayuhan ke destinasi akhir pun bermula. Bertolak awal supaya berada dalam keadaan yang selesa dan tidak mahu mengganggu majlis yang telah dirancang. Manalah tahu, malang tidak berbau. Tayar pancit misalnya, boleh menyebabkan lambat sampai.

1.30 tengah hari berhenti solat Zohor di masjid Jenderam Hulu. Kayuhan diteruskan dalam keadaan santai kerana hari masih awal. Bila sampai di Kampung Sungai Purun, di sebuah jejantas berhenti sekejap menunggu pasukan motosikal yang akan mengiringi hingga ke Desa Mewah. Hingga 2.45 petang mereka tidak sampai dan kayuhan di teruskan sehingga ke lampu trafik untuk masuk ke Lebuh raya LEKAS. Satu pasukan penunggang basikal dari Bandar Sunway dan Desa Mewah sudah menunggu, mereka mengiring hingga ke Semenyih Central kerana di situ perancangan dibuat akan bermulanya majlis sambutan. Ada kawan-kawan yang menunggu di situ. Tidak lama kemudian pasukan motosikal pun sampai dan diikuti dua orang polis trafik yang akan membantu dan memudahkan kayuhan balik.

4.00 petang, dengan diiringi dua orang polis trafik yang bermotosikal, pasukan motosikal dan pasukan basikal kayuhan akhir pun bermula. Rasanya meriah sekali. Gembira kerana cita-cita telah tercapai, di samping itu tidak disangka kawan-kawan akan membuat sambutan yang sebegini hebat. Walaupun tidak satu kampung yang hadir tetapi yang datang untuk meraikan kejayaan amat menggalakan. ADUN Semenyih, Yang Berhormat Datuk Johan telah memberikan ucapan. Akhbar Harian Metro telah menghantar wakilnya untuk membuat laporan. Jamuan juga diberi kepada yang hadir. Semuanya di luar jangkaan kerana semasa perancangan perkara ini tidak ada dalam agenda. Hanya berbincang dengan Karim dan kadang-kadang Shariff juga ada, semasa berehat  di Jalan Tiga, Bandar Sunway. Di sebelah malamnya pihak surau telah mengadakan doa selamat khas. Tidak terlintas di hati mereka teringat hendak mengadakannya. Menyebabkan rasa sedih dan sayu di atas usaha mereka ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua di atas susah payah menjayakan kayuhan ini dan di atas doa yang dipohon.  Allah jua yang dapat membalas jasa baik saudara.


12 Comments so far
Leave a comment

Fun Bike HajiMeli,,,nikmati jalanan Indonesia kami.

Comment by donetdiego

Terima kasih, layanan yang diberi semasa di Indonesia. Sekarang sedang merancang untuk ke Hanoi. Bila hendak ke Malaysia? Tentu seronok mendayung di sini.

Comment by hajimeli

assalammualaikum saya juga akan melakukan projek berbasikal mengelilingi malaysia selepas spm 2014 ini jadi mohon jasa baik pak cik yang lebih arif dan berpengalaman beri tips atau contact lebih mudah untuk saya bertanya jasa baik amat saya hargai

Comment by najman

Tel: 0387233358

Comment by hajimeli

Saya begitu kagum semangat tuan Hj. Insyallah ingin menziarahi Tuan Hj bagi mendapat sokongan dan bimbingan. Teruskan berkayuh Tuan Hj ..tuan sumber inspirasi saya.

Comment by Johari Hamid

O.K. Tidak ada masalah. Tinggal di mana?

Comment by hajimeli




Leave a reply to hajimeli Cancel reply