Hajimeli's Blog


Mendaki Gunung Stong
26/01/2011, 6:58 am
Filed under: Uncategorized | Tags:

Di dalam satu latihan kayuhan basikal, Shariff memberitahu bahawa Zambri yang tinggal di Bandar Baru Bangi mengatakan bahawa ia akan ke Gunung Stong bersama kumpulan TNB. Ada yang menaiki keretapi tetapi Zambri akan berkereta ke sana. Ia bersama Encik Rosli. Maknanya ada tiga lagi kosong. Shariff berkeinginan juga hendak mendaki Gunung Stong.Ia minta tumpang. Mendengarkan akan perkara itu saya pun ingin juga tumpang sekaki. Encik Rosli tuan punya kereta itu seorang yang baik hati dan ia membenarkan kami menumpangnya.

Tidak diketahui sama ada Encik Rosli kaki gunung atau tidak, tetapi Zambri sememangnya kaki gunung tegar. Shariff telah mengenalinya lama sejak zaman persekolahan dahulu. Sudah lama tidak jumpa. Mereka jumpa semula apabila mendaki Gunung Nuang, di suatu tempat yang dipanggil Lembah Pacat. Saya pula mengenalinya pada masa yang sama. Zambri telah berjaya menawan G7. Dia sememangnya seorang pendaki yang berpengalaman.

Gunung Stong terletak di Hutan Simpan Dabong, Kelantan. Mempunyai ketinggian 1,433 meter.  Terdapat air terjun yang dikatakan tertinggi di Asia Tenggara. Untuk sampai ke Dabong boleh juga dengan menaiki keretapi. Terdapat sebuah stesyen keretapi di situ. Selepas itu boleh ke kaki gunung dengan menaiki kereta atau van.

Masa yang dirancang ialah 3,4 dan 5 Disember 2010. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.  Zambri dan Encik Rosli masih bekerja. Shariff juga masih bekerja tetapi pada tarikh itu ialah cuti sekolah. Saya pula telah bersara sudah tentulah boleh bergerak pada bila-bila masa sahaja. Oleh sebab itu masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan ialah pada waktu malam, hari Jumaat. Setelah kedua-duanya habis bekerja pada hari itu.

Jam 5.00 petang dengan menaiki kereta Shariff  pergi ke Bandar Baru Bangi. Sampai di sana masih awal, Zambri belum pulang dari bekerja. Singgah di Pasar Raya Bintang yang dahulunya dikenali dengan nama Warta, membeli sedikit bekalan yang akan digunakan semasa mendaki nanti. Selepas itu ke rumah Zambri dan ke pejabat TNB Bangi kerena Encik Rosli menunggu di situ. Solat Maghrib di surau TNB.

Jam 8.00 malam meninggalkan pejabat TNB menuju ke Dabong. Zambri yang memandu. Masuk sahaja ke lebuh raya Karak sudah mengantuk dan lena sekejap hingga di Bentung, Pahang. Berhenti rehat dan menikmati makan malam. Selepas itu perjalanan diteruskan, lena lagi hingga di Merapoh. Waktu itu jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Berhenti rehat lagi di sini dan solat Isyak. Jam 2.00 pagi teruskan perjalanan ke kaki Gunung Stong. Tidak ada masalah untuk ke sana kerana Encik Rosli berasal dari Kelantan dan dengan adanya panduan GPS. Masalah sekarang ialah untuk bermalam. Dalam perancangan awal hendak bermalam di salah sebuah chalet di kaki gunung. Pintu pagar berkunci dan tidak ada jaga di situ. Terpaksa ke Dabong dan tidur di salah sebuah surau sehingga subuh. Makan pagi di warung stesyen keretapi Dabong.

Jam 7.00 pagi, Sabtu, 4 Disember 2010 pergi semula ke Gunung Stong dan tunggu di situ sehingga pasukan dari TNB sampai. Mereka menaiki keretapi. Encik Rosli tidak mendaki ia pulang ke rumahnya. Kami bertiga menunggu dan tidak lama kemudian mereka pun sampai. Ketua kumpulan memberi taklimat dan mengagihkan keperluan untuk dibawa. Memandangkan beg yang dibawa sudah sedia berat dan tidak pernah membawa keperluan yang seberat ini. Takut pula tidak mampu hendak mengangkatnya nanti dan mungkin pula memudaratkan, pilih satu bungkus besar mee segera.

Jam 10.10 pagi mula mendaki menuju ke Kem Baha. Tidak melalui laluan tepi sungai kerana musim hujan. Pemandu kata licin, merbahaya. Laluan yang dilalui ini boleh tahan juga mencanaknya. Pendakian berjalan lancar walaupun membawa bebanan yang boleh tahan juga beratnya. Ramai yang berhenti rehat, tetapi itu tidak mempengaruhi pendakian, ia dilakukan tanpa henti walaupun perlahan. Satu jam kemudian sampai di Kem Baha. Di sinilah puncak air terjun. Kalau cuaca baik boleh kelihatan Dabong. Pemandangan dari sini amat menarik. Kena berhati-hati supaya tidak tergelincir.

Setelah berihat seketika, cari lokasi untuk memasang kemah. Kami bertiga memasang kemah masing-masing sebaris menghadap sungai. Tidak lama kemudian Zambri memberitahu, pendakian akan disambung pada jam 2.30 petang, sesiapa yang berminat boleh meneruskannya kalau tidak esok pun boleh. Pilih hari itu juga, selepas solat dan makan tengah hari, tepat jam 2.30 petang pendakian untuk menawan puncak Stong pun bermula. Tidak semua ahli pasukan yang menyertainya. Pendakian agak mencabar juga, nasib baik banyak bebanan telah di tinggalkan di Kem Baha. Hanya membawa sebotol air, dua biji buah limau, coklat dan sedikit makanan. Pendakian berjalan lancar walaupun hujan renyai-renyai.

Jam 5.00 petang sampai di puncak gunung yang merupakan satu ketul batu yang besar. Untuk sampai ke puncak terpaksa memanjat batu berkenaan. Dua orang sahaja yang sampai dahulu, rasa sangat gembira. Setelah makan bekalan yang dibawa, tidak lama kemudian rakan-rakan yang lain pun sampai. Cuaca sejuk, ditambah dengan pakaian yang basah ia menjadi semakin sejuk, hari pula makin gelap, tidak boleh berada lama di puncak, badan sudah mula menggigil. Lebih kurang jam 5.30 perjalan turun pun bermula. Pantas supaya badan panas semula. Hari semakin gelap. Pasang lampu kepala. Bateri pula kurang, tidak berapa terang. Bersama seorang rakan dari TNB cawangan lain, namanya tidak tahu, masih muda, ia mendahului perjalan,  berjalan pantas dan terpisah dengan rakan yang lain. Bila bertambah gelap mula teragak-agak dan beberapa kali tersasar. Rakan tadi ingatannya bagus, maklumlah masih muda, bila tersasar ia tahu hendak patah balik.  Bila sampai di suatu anak sungai, mula ragu, kerana masing-masing tidak ingat akan anak sungai itu, dan ia ada tali untuk berpaut. Oleh sebab ragu dan takut tersesat dimalam yang gelita itu, ambil keputusan tidak menyeberangi sungai dan berpatah balik. Maknanya mendaki semula. Letih sekali. Setengah jam kemudian bertembong dengan Shariff, Zambri dan seorang rakan, rupa-rupanya laluan itu adalah laluan yang betul.

Sampai semula di Kem Baha pada jam 8.00 malam. Selepas berehat sekejap bersihkan badan untuk makan malam dan tidur. Sangat sejuk, ‘ sleeping bag’ yang dibawa banyak membantu. Tidur dengan nyenyak. Tersedar daripada tidur apabila mendengar Shariff membaca ayat-ayat suci dengan kuatnya. Menandakan telah masuk waktu subuh.

Jam 10.00 pagi, Ahad, 5 Disember 2010 meninggalkan Kem Baha. Hanya tiga orang sahaja yang turun. Rakan yang lain tidak turun sama kerana mereka hendak ke telaga tujuh. Walaupun boleh cepat tetapi pergerakan santai sahaja kerana tidak ada apa yang hendak dikejar, tambahan pula keadaan laluan yang licin akibat hujan pada sebelah malamnya. Banyak berehat, walaupun tidak perlu. Sampai di kaki gunung pada jam 11.30 tengah hari, dan mandi sungai. Selepas itu tunggu hingga Encik Rosli sampai.

Sementara menunggu, berbual dengan Encik Azmi, Pengarah Eksekutif  Gunung Stong  State Park Resort. Banyak topik yang dibualkan, politik, bisnes, sosial dan sebagainya. Zambri banyak berbicara dan banyak juga tip yang diberikannya kepada Encik Azmi. Jam 2.00 petang Encik Rosli sampai dan sebelum berangkat pulang Encik Azmi belanja makan di sebuah restoran di Dabong. Perjalanan pulang melalui Cameroon Highland dan Simpang Pulai. Sekali lagi Zambri jadi pemandu. Ia sungguh bertenaga selepas mendaki dan memandu lebih kurang 500 kilometer bukan kerja yang mudah. Waktu malam pula. Saya di belakang pakai tali pinggang keledar dan lena. Singgah sebentar di Cameroon Highland beli sayur dan solat. Sampai di rumah pada 6 Disember 2010, jam 3.00 pagi.

Berhasrat untuk ke sini lagi kerana ada beberapa puncak yang belum ditawan. Semoga akan menjadi kenyataan dengan izin Allah.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: