Hajimeli's Blog


Mendaki Gunung Nuang
04/02/2011, 9:04 am
Filed under: Uncategorized | Tags:

Dari 11 hingga 14 Februari 2011 bercadang untuk mendaki Gunung Tahan buat kali pertama. Shariff mempelawa untuk turut serta. Ia ada banyak hubungan dengan pendaki-pendaki. Sebelum tarikh berkenaan tiba beberapa latihan perlu diadakan, maklum sahajalah seperti yang diberitahu memerlukan dua hari perjalanan untuk sampai ke puncak. Perkara ini tidak pernah dilakukan. Buat keputusan sebagai latihan dua gunung akan didaki berturut-turut dalam masa dua hari. Gunung yang dipilih ialah Gunung Tok Wan yang berketinggian 675 meter dan Gunung Nuang yang tingginya 1,470 meter.

Gunung Tok Wan selalu didaki kerana dekat dengan rumah. Kadang-kadang dua hari berturut. Gunung Nuang sudah 30 kali mendakinya, empat kali tidak sampai di puncak atas beberapa sebab. Sudah setahun tidak mendaki Gunung Nuang. Tarikh yang dipilih ialah 2 Februari 2011, Rabu,  untuk Gunung Tok Wan dan 3 Februari 2011, Khamis, untuk Gunung Nuang. Dalam penulisan ini hanya pendakian Gunung Nuang sahaja akan disentuh kerana pendakian Gunung Tok Wan telah ditulis.

Berbincang dengan Shariff masa yang sesuai untuk bertolak dari rumah dan masa yang munasabah ialah jam 5.00 pagi iaitu sebelum subuh. Akan turut serta ialah anak Shariff bernama Shafik, ia juga akan turut sama mendaki Gunung Tahan kelak. Pendaki terakhir yang ingin turut serta ialah Pak Ram, ia mengirimkan pesanan ringkas kepada Shariff lebih kurang jam 3.00 pagi. Pak Ram ini mengikut ceritanya pendaki tegar juga. Sudah banyak kali mendaki Gunung Kinabalu. Dia akan datang sendirian. Kami akan menunggunya di tempat letak kereta.

Kawasan yang berhampiran dengan tempat letak kereta Gunung Nuang sudah banyak berubah, kelihatan semakin menarik, bangunannya telah dicat baru, surau telah berpindak ke tempat lain. Keadaannya bersih dan menyenangkan. Terdapat satu kumpulan silat dari Kuala Lumpur sedang berkhemah di situ. tidak diketahui sama ada mereka akan mendaki atau tidak. Pada jam 7.00 pagi perjalan untuk pendakian pun bermula. Tempat yang dituju ialah Lolo yang jaraknya 9.2 kilometer dari tempat letak kereta. Mengikut lorong lori balak yang sudah tidak digunakan lagi. Perjalanan ini boleh tahan juga peritnya sudahlah jauh, terpaksa turun naik bukit. Tetapi kebanyakannya mendaki. Jam 8.20 pagi jumpa sungai yang pertama dan jalan lori balak berakhir di sini. Selepas menyusur pembentung air jumpa sungai yang kedua. Untuk sampai di kaki gunung terpaksa menyeberang dua sungai lagi tetapi airnya cetek kalau tidak hujan.

Pada jam 8.40 sampai di tapak perkhemahan di Lolo. Tunggu rakan-rakan yang lain. Di sini tidak ada khemah yang di didirikan, mungkin awal pagi. Terdapat sebuah wakaf tempat orang berteduh, duduk melepaskan lelah. Terdapat banyak sampah sarap, dibuang oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Keadaan kotor sedikit. Jam 9.00 pagi rakan-rakan yang lain sampai dan mula mendaki pada jam 9.15 pagi. Pak Ram terseliuh kakinya dan bengkak, ini boleh mengganggu pergerakanya. Kedaan ini berlaku semasa dalam perjalanan ke Lolo.

Destinasi berikutnya ialah Kem Pacat. Bersama Shafik mendahului pendakian. Belum ada yang mendaki pagi itu. Orang pun tidak ramai, maklumlah hari Khamis, Tahun Baru Cina. Dan mungkin masih awal. Terdapat banyak pokok tumbang mungkin ribut sebelumnya. Cuaca baik sekali pada hari ini. Pendakian berjalan lancar, laluan berada dalam keadaan yang kering. Pada jam 10.20, sampai di Kem Pacat. Juga tidak berorang. Bersama Shafik rehat,  menunggu Shariff  dan Pak Ram. Mereka sampai 40 minit kemudian, masa menunggu yang agak lama, peluh pun telah kering. Mereka ada masalah pada kaki menyebabkan pergerakan menjadi perlahan.

Pada jam 11.15 pendakian diteruskan bersama Shafik, Shariff dan Pak Ram tidak dapat meneruskannya mereka berehat di Kem Pacat dan akan berpatah balik. Destinasinya ialah Puncak Pengasih. Suatu masa dahulu dikenali sebagai Puncak Tipu. Mendapat nama ini kerana kebanyakan pendaki menyangka yang ia adalah Puncak Nuang. Sebenarnya bukan. Untuk sampai ke Puncak Pengasih amat memeritkan. Dia tidak landai sebalik mencanak. Boleh mematahkan semangat sekiranya baru berjinak dengan gunung. Ketabahan dan semangat sahaja yang boleh membantu selain daripada kekuatan mental dan fizikal. Di sini tangan juga akan digunakan, di sesetengah tempat dagu akan bertemu lutut.

Pada jam 12.15 tengah hari sampai di Puncak Pengasih dan berehat selama lima minit. Terdapat banyak kabus dan keadaannya sejuk. Pokok-pokok dan batunya basah walaupun tidak hujan. Suasana amat menyegarkan dan nyaman. Destinasi berikutnya ialah Puncak Nuang, berdasarkan pengalaman ia akan mengambil masa setengah jam untuk sampai. Menurun lebih kurang 10 minit dan selepas itu akan mendaki 20 minit, terdapat sedikit paya yang mesti diseberangi. Tetapi pada hari ini masa yang diambil terlebih sepuluh minit. Keadaan ini berlaku kerana ada banyak  pokok tumbang terpaksa berhati-hati. Terdapat juga tanah runtuh, kira-kira 10 ke 20 meter daripada puncak gunung. Rasanya baru sahaja berlaku kerana tidak ada kesan tapak kaki di situ. Di sini perlu lebih berhati-hati kerana tanahnya lembut, terdapat juga batu- batu yang kedudukannya longgar. Tersalah pijak boleh mengelunsur ke bawah entah ke mana perginya.

Jam 1.00 tengah hari sampai di puncak. Ingatkan orang pertama sampai tetapi telah sedia ada lapan orang pendaki lelaki dan perempuan. Mereka ini dari Syah Alam, mendaki melalui Janda Baik. Berehat dan makan kek yang dibawa. Shafik masak nasi, hendak cari pengalaman katanya. Tumpang sekaki, berlaukan serunding.

Jam 2.00 petang, perjalanan turun, jumpa dengan ramai pendaki, perjalanan tanpa henti sampai di Kem Lolo, laju sekali. Ada banyak khemah, kebanyakannya Melayu, satu kumpulan India dan tidak ada orang Cina. Orang Cina menyambut Tahun Baru mereka, Tahun Arnab. Di pertengahan jalan hendak ke tempat letak kereta berjumpa dengan Shariff dan Pak Ram.

Sampai di tempat letak kereta pada jam 5.15 petang dan sampai di rumah pada masa azan Maghrib sedang berkumandang. Tidak ke surau pada hari ini.


4 Comments so far
Leave a comment

hebat jugak haji boleh naik sampai puncak dlm 1 hari saya pun mengambil masa 2 hari 1 malm baru sampai puncak

Comment by aizat

Ini semua berkat latihan. Saya sudah mendaki Gunung Nuang hampir 40 kali, semuanya balik hari. Saudara juga boleh lakukannya.

Comment by hajimeli

assalamualaikum pakcik… boleh share rahsia ketahanan pakcik semasa mendaki x?;-)

Comment by abd aziz rusli

Waalaikum salam! Rahsianya, buat latihan selalu. Jangan mudah putus asa. Mesti ada objektif. Makan secukupnya.

Comment by hajimeli




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: