Hajimeli's Blog


Kayuhan ( Dayungan ) Jelajah Indonesia
14/11/2011, 7:14 am
Filed under: Uncategorized | Tags:

DSCF0495Kayuhan ( Dayungan ) Jelajah Indonesia dirancang akan  bermula dari rumah di Semenyih, Selangor, ke Pelabuhan Kelang berhampiran jeti ke Pulau Ketam. Selepas itu menaiki feri ke Tanjung Balai. Kayuhan atau dayungan seperti yang disebut oleh penduduk Indonesia akan disambung dari sini ke utara menuju ke Banda Aceh. Dari Banda Aceh dengan melalui pantai barat Sumatera akan mengayuh hingga ke Pulau Bali. Jarak kayuhan ialah 5,000 kilometer selama 62 hari. Hari Jumaat rehat untuk solat Jumaat dan membasuh pakaian. Pulang ke Malaysia dengan kapal terbang. Kayuhan ini dirancang akan dilakukan bersama saudara Karim rakan semasa Kayuhan Mengelilingi Semenanjung Malaysia. Kertas kerja disediakan untuk mendapatkan tajaan dan tarikh ditetapkan. Perancangan mudah tetapi untuk melaksanakan adalah sukar. Manusia merancang tetapi Allah menentukan. Saudara Karim tidak dapat serta dan kayuhan ini menjadi kayuhan solo. Kayuhan Jelajah Indonesia ini mendapat sumbangan keawangan daripada Yang Berhormat Datuk Johan Abd. Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Semenyih, Yang DSCF0497Berhormat Dr. Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Hulu Langat, guru dan staf Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi dan Saudara Osman Jani rakan jemaah di Surau Desa Mewah. Sokongan moral banyak diterima dari kawan-kawan di seluruh Malaysia, melalui perbualan telefon dan SMS mendoakan supaya sihat dan selamat. Solat hajat dan doa selamat juga dibuat di surau atas tujuan yang sama. Perincian kayuhan ini adalah seperti berikut:

Hari 1: Sabtu, 17 September 2011

Desa Mewah, Semenyih – Pelabuhan Kelang ( 88KM )

Hari yaDSCF0498ng ditunggu-tunggu tiba, anak-anak, menantu dan cucu semua ada di rumah. Mereka kembali sehari awal untuk mengucapkan selamat jalan. Kayuhan kali ini tiada acara pelepasan, bukan luar biasa lagi. Sudah dua kali melakukan kayuhan jarak jauh iaitu Kayuhan Mengelilingi Semenanjung Malaysia dan Kayuhan Merentasi Sarawak dan Sabah dengan melalui Brunei. Cuma yang berbeza di sini ialah kayuhan pertama jarak jauh di luar negara.

Saudara Shariff yang tinggal setaman, yang mempunyai kecenderungan yang sama membacakan doa selamat sebelum memulakan kayuhan dan mengiringinya hingga ke persimpangan Bandar Baru Bangi dan Dengkil. Ia disertai oleh saudara Shaharudin dengan motosikal besarnya tidak lama kemudian untuk memberi sokongan moral.

DSCF0629Hari ini cuaca panas terik, kayuhan melalui Dengkil, Banting, dan Kelang tanpa henti kecuali minum air yang dibawa. Sampai di masjid Samadiah Pelabuhan Kelang jam 2.15 tengah hari. Solat Zohor, masih belum makan tengah hari kerana masih kenyang. Makan roti pagi tadi banyak membantu. Selepas Isyak baru makan di kedai mamak di hadapan masjid. Seorang jemaah memberi RM10.00 sebagai derma. Malam itu tidur dengan dua orang lagi musafir, seorang dari Pakistan dan seorang lagi dari Kelantan di masjid ini.

Hari 2: Ahad, 18 September 2011

Pelabuhan Kelang – Teluk Nibung, Tanjung Balai ( 0KM )

Jarak dari Masjid Samadiah ke jeti tidak jauh. Satu kilometer sahaja. Jam 7.00 pagi telah memulakan kayuhan tetapi nasib tidak baik kerana tidak ada feri hari itu. Ingatkan setiap hari ada feri ke Teluk Nibung. Ke Dumai ada. Tidak ada perancangan hendak memulakan kayuhan di Indonesia, di Dumai. Ada juga yang senasib, seorang pemuda dari Aceh, disebabkan tempoh visa sudah tamat ia terpaksa pulang melalui Dumai. Balik semula ke Masjid Samadiah, akan bermalam lagi di sini. Seorang jemaah telah memberi sumbangan RM20.00.

Semasa di jeti dapatkan maklumat mengenai Sumatera daripada penduduk Indonesia yang ada di situ. Ada ramai, ada yang hendak balik ada yang menghantar dan ada yang menemani. Maklumat ini amat berguna untuk persedian mental.

Hari 3: Isnin, 19 September 2011

Pelabuhan Kelang – Teluk Nibung, Tanjung Balai ( 0KM )

DSCF0500Seawal pagi telah berkayuh ke jeti. Terus hendak membeli tiket, kaunter tiket terletak di tingkat atas. Pekerja di situ tolong belikan. Pelayaran akan bermula pada jam 11.00 pagi. Ada banyak masa untuk bermenung dan memikirkan keadaan pelayaran dan kayuhan nanti. Pelayaran ke Teluk Nibung mengambil masa empat jam, tambangnya ialah RM110.00 sehala. Barang bayar lain, dua kali bayar, di Pelabuhan Kelang dan di Teluk Nibung. Jumlahnya RM60.00. Masa yang dijanjikan tiba tetapi tidak ditepati, ia ditunda hingga ke jam 12.30 tengah hari. Cuaca baik dan sampai di Teluk Nibung jam 5.30 petang waktu Tanjung Balai. Waktunya lewat satu jam dengan Malaysia.

DSCF0507Semasa pemeriksaan imigresen minta berada di Indonesia selama tiga bulan. Mengikut kata kawan-kawan cop sahaja boleh dapat tiga bulan. Alasannya negara ASEAN. Tetapi bila sampai di sini diberi satu bulan. Sedangkan hari kayuhan ialah 62 hari. Itupun diberitahu bila sampai hari ke-28 hendaklah meninggalkan Indonesia. Merayu, tetapi tidak boleh. Pegawai Imigresen bagi masa untuk berfikir. Terima tawaran atau pulang keesokan harinya. Setelah berfikir terima tawaran. Memikirkan tindakan berikutnya semasa kayuhan nanti. 28 hari lama juga.

DSCF0509Tanya penduduk tempatan letaknya Balai Polis atau Kantor Polisi dengan tujuan untuk bermalam di situ.Dilayan dengan baik, sangat akrab. Mereka belanja minum, bantu dapatkan kad sim Indonesia, mereka membantu menghubungi keluarga di Malaysia.  tunjukan masjid untuk solat dan gerai makan. Cuma banyak soal jawab. Tidak ada masalah kerana kawasan keselamatan berikan kerjasama dengan baik. Memahami situasi itu.

Hari 4: Selasa, 20 September 2011

Tanjung Balai – Tebing Tinggi ( 109 KM )

Hari pertama kayuhan di Indonesia, dimulakan dari Kantor Polisi Teluk Nibung, selepas sarapan pagi dengan bayaran RP7000, mulakan kayuhan ke Tebing Tinggi. Peringkat awal menghadapi masalah kerana tidak ada tanda arah jalan dan perkilometeran, sering berhenti, tanya arah tujuan tetapi akhir mendapat puncanya, kayuhan menjadi mudah. Keadaan jalan raya tidaklah seteruk sangat seperti yang disangka. Mereka suka membunyikan hon. Motosikal atau kereta bagi masyarakat di sini bersimpang-siur di jalan raya. Kanak-kanak sekolah rendah juga boleh menunggang motosikal ke sekolah.

DSCF0511Lebih kurang 30 kilometer kayuhan berhenti di sebuah pekan kecil untuk membeli plug dua point dengan tujuan untuk charge telefon dan kamera. Soket di Indonesia ialah untuk plug dua point, berbeza dengan di Malaysia, tiga point. Wanita yang menjualnya bernama Kikie tidak menerima bayaran.  Ia pernah ke Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan Perak. Cuaca panas terik, walaupun tidak ada bukit tinggi yang didaki, banyak berehat dan minum air. Di satu jambatan timbang pegawainya memberi dua botol besar air mineral. Beberapa kali terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Mereka membaik pulih dan menaiktaraf jalan raya mereka. Indonesia semakin maju.

Bila sampai di Tebing Tinggi sekali lagi mencari Kantor Polisi untuk bermalam. Kawan-kawan semasa di Malaysia menasihatkan Kantor Polisi adalah tempat yang selamat untuk bermalam. Prosedurnya juga adalah rumit. Di sini juga layanannya baik, tidak ada masalah untuk bermalam di sini.

Hari 5: Rabu, 21 September 2011

Tebing Tinggi – Medan ( 84 KM )

DSCF0513Medan adalah kota ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya kata penduduk tempatan. Kayuhan menuju Medan berjalan dengan lancar, pergerakan kenderaan seperti biasa, kebanyakan jalannya datar dan di kiri kanan jalan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit. Tidak ada bukit yang hendak didaki. Cuaca terik dan amat meletihkan. Bila sampai di Serdang Bedagi berhenti rehat di Masjid al – Huda, masak oat dan buat nescafee. Pekerja yang sedang membaiki masjid memberi beberapa gelas plastik air mineral untuk bekalan dalam perjalanan. Mereka juga menawarkan kuih-kuih. Berhenti solat di Masjid al – Falah Desa Tanjung Morawa.

Bila sampai di Kota Medan cari Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan beritahu pegawainya bahawa akan berada di Indonesia untuk beberapa lama, dan beri nombor telefon sekiranya berlaku sesuatu. Di samping itu nyatakan masalah visa. Ia tidak dapat membantu cuma memberi nasihat apabila sampai di bandar yang ada pejabat imigresen DSCF0514minta sambung kalau boleh. Selewat-lewatnya tujuh hari sebelum tarikh visa tamat.

Selepas itu ke Masjid Agong Medan yang letaknya di tempat yang sama dengan Pejabat Konsul Malaysia. Berhasrat akan bermalam di sini. Di masjid ini berjumpa dengan Hj. Irsan. Ia juga seorang pengembara orang Indonesia memanggilnya petualang ( sangat berbeza maknanya dengan di Malaysia ) tetapi dengan motosikal. Tinggal di Tanjung Balai, datang ke Medan kerana tugas luar. Ada saudara di Malaysia. Berbincang dengannya tentang kayuhan ini. Pengetahuannya luas mengenai destinasi yang hendak dituju. Ia juga mencadangkan destinasi baru yang mudah dilalui. Malam itu Hj. Irsan belanja makan satee Padang.

Hari 6: Khamis, 22 September 2011

Medan – Besitang ( 101 KM )

DSCF0499Seperti biasa awal pagi telah meninggalkan Medan. Sebuah kota yang sibuk, tidak dijaga dengan baik  menuju ke Besitang kawasan luar bandar, keadaan jalan raya telah berubah daripada segi kesibukannya. Tidak seperti dari Tanjung Balai ke Medan dahulu. Lebih selesa. Apabila sampai di Binjay ikut lebuh raya ke Tendem, sunyi, masih di kiri kanan jalan ialah pokok kelapa sawit. Apabila sampai di Stabat berhenti makan, RP10,000. Cuaca di sebelah pagi nyaman sekali kerana hujan pada sebelah malamnya. Menjelang tengah hari mulai panas dan terik. Bila hendak mengambil cermin mata yang diletakan di pinggang, sudah tidak ada. Jatuh agaknya semasa di Medan.

Apabila sampai di Pengkalan Brandan berhenti solat. Di sini berjumpa dengan saudara Indra seorang guru. Ia juga meminati basikal. Pernah berkayuh hingga ke Sabang, Aceh. Dapat sedikit maklumat mengenai perjalanan ke Aceh. DSCF0516Terutama Bukit Selawah. Indra berkata ia tidak berjaya mendaki bukit itu dan terpaksa menolak selama dua jam. Ia juga bimbang kalau-kalau rantai basikal putus. Mendengar ceritanya risau juga. Tentu tinggi bukitnya. Adakah lebih tinggi daripada Gunung Jerai?. Atau lebih tinggi daripada Cameroon Highland?. Lebuh raya timur – barat?. Atau yang terdapat di Ranau Sabah? Faktor kecuraman juga harus difikirkan. Walaupun tinggi tetapi darjah kecuramannya rendah ia masih boleh didaki. Kalau tidak boleh sehari, dua hari. Tetapi jika darjah kecuramannya tinggi, 70 darjah misalnya, tentu tidak boleh daki, walaupun jaraknya 100 meter. Apatah lagi membawa bebebanan antara 20 ke 25 kilogram. Apapun lihat apa yang berlaku apabila sampai masanya.

Sampai di Besitang sebelum Asar, terus ke Masjid Raya Besitang untuk bermalam selama dua malam kerana esoknya hari Jumaat, tidak mengayuh. Tidak lama kemudian hujan turun, Alhamdulillah. Dapatkan kebenaran untuk bermalam daripada nazir masjid. Mulanya ia ragu-ragu dan minta ke kantor polisi. Setelah meyakinkannya ia benarkan.

DSCF0517Besitang adalah sebuah pekan kecil, ramai penduduknya Melayu. Nama mereka serupa dengan nama orang Melayu Malaysia, seperti Shamsul Bahari dan Zulkiflee. Terdapat juga yang berketurunan dari Malaysia di sini. Masa di isi dengan berbual dengan penduduk tempatan yang datang ke masjid. Tidak ada masalah komunikasi.

Sebelum tidur semasa hendak melihat slide  gambar-gambar yang diambil sejak di Pelabuhan Kelang hingga ke Medan dan hendak melihat gambar cucu terpadam semua gambar itu. Letih dan mengantuk agaknya menyebabkan tidak dapat berfikir dengan waras. Oleh yang demikian tiada gambar berkenaan dalam kayuhan hingga ke Besitang.

Hari 7: Jumaat, 23 September 2011

REHAT

DSCF0502

Hari 8: Sabtu, 24 September 2011

Besitang – Idi Timur ( 114 kilometer )

DSCF0501Awal pagi telah bersiap untuk memulakan kayuhan, sarapan masak sendiri, oat dan minum nescafee 3 + 1. Sebelum memulakan kayuhan seorang jemaah menyumbang RP50,000. Wang sebanyak itu boleh belanja makan untuk tiga hari. Ada juga yang membekalkan air minuman. Cuaca yang panas perlu banyak minum air. Sememangnya cuaca panas hari itu. Semasa di Malaysia sering membaca akhbar dan mendengar media elektronik menyatakan jerubu yang berpunca dari akibat pembakaran yang tidak terkawal di Sumatera. Setelah beberapa hari dalam keadaan cuaca yang panas tidak ternampak satu pembakaran pun dan tidak ada jerubu. Ada juga membawa topeng dari Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Berhenti makan tengah hari di Lhangsa. Tanya makanan yang disediakan, ia jawab dengan menggunakan loghat yang sama. Dari Selangor ke ini? berkata hati kecil. Ia pernah bekerja di Malaysia, di Nilai selama lima tahun. Nyaris berkahwin dengan pemuda tempatan. Pernah berkelah di Sungai Tekala.  Sekarang telah berkahwin dengan pemuda Aceh dan mempunyai seorang cahaya mata. Gerai makan ini adalah miliknya. Makan percuma tengah hari itu.

Kayuhan hari iniDSCF0520 amat meletihkan, faktor cuaca yang panas terik. Pekan yang hendak di tuju belum kelihatan, hari semakin petang. Sudah jam 5.00. Ternampak stesyen minyak Pertamina, 24 jam. Di sebelah kanan. Tanpa berfikir terus membelok dan dapatkan kebenaran untuk bermalam. Ada banyak kemudahan di sini. Ada surau dikenali sebagai Musalah di Indonesia, restoran dan tempat khas bermalam bagi musafir yang berhenti sebentar. Sungguh selesa.  Semasa di Medan Hj. Irsan ada memberitahu, tiga tempat boleh bermalam percuma di Indonesia. Kantor Polisi, masjid/musalah dan stesyen minyak, mereka memanggilnya galon. Malam pertama di Aceh.

Hari 9: Ahad, 25 September 2011

Idi Timur – Lhokseumawe ( 114 kilometer )

DSCF0504Seperti biasa kayuhan dimulakan selepas Subuh tanpa henti untuk tiga jam yang pertama. Pendekatan ini diambil kerana awal pagi cuaca nyaman dan tidak terik. Keadaan masih segar serta mengambil kira sebelah tengah hari akan ada banyak rehat kerana keadaan cuaca, berhenti makan dan solat.

Di Pucok Alor 2, Simpang Ulim berhenti rehat dan duduk di sebuah kedai, datang seorang Aceh yang pernah tinggal di Malaysia selama 26 tahun. Berniaga di Jalan Chaw Kit dan mempunyai anak yang sudah menjadi warganegara Malaysia. Balik ke Aceh kerana menyambut Hari Raya Idil Fitri. Ditimpa kemalangan, patah tangan. Melambatkan kepulangannya ke Malaysia. Dapat banyak maklumat daripadanya berkaitan dengan laluan kayuhan seterusnya.

Dalam kayuhan seterusnya, basikal telah mula berbunyi, satu keadaan yang tidak menyenangkan. Semasa solat di sebuah masjid berjumpa dengan Fauzi, ia menceritakan ada banyak kelab basikal di Banda Aceh. Ia sendiri ada sebuah basikal, iaitu basikal tua. Dapatkan nombor telefonnya, supaya bila sampai di Banda Aceh ia boleh cadangkan kedai basikal yang boleh membaiki bunyi basikal yang tidak menyenangkan itu. Hari Rabu baru ia berada di Banda Aceh. Tidak mengapa kerana perjalanan masih jauh.

DSCF0519Sekali lagi sebelum Asar sudah sampai di Lhokseumawe. Nampak stesyen minyak, tanpa berfikir panjang terus berhenti kayuhan, kerana mudahnya mendapat kebenaran untuk bermalam, berdasarkan pengalaman semasa di Idi Timur dahulu. Memang betul, tanpa banyak soal jawab mereka membenarkannya. Semasa rehat datang seorang wanita pekerja stesyen berkenaan untuk memastikan adakah benar dari Malaysia. Ia menceritakan bahawa ia pernah berkerja di Johor selama 10 Tahun. Lima tahun di Skudai dan bakinya di Kota Tinggi. Sudah berumah tangga dengan seorang pemuda Jawa. Mempunyai seorang anak.  Jodoh mereka tidak panjang, mengikut katanya pemuda itu kini sudah berada di Malaysia. Ia tidak mahu perkahwinan itu diteruskan kerana bimbang suaminya itu ada perempuan lain.Ia juga minta tunggu sehingga ia datang esok jam 7.00 pagi kerana ia hendak membawa makanan.

Sebelah malam seorang pekerja lain datang meminta pindahkan basikal ke tempat letak motosikal dalam kawasan khas yang berpagar dan berbumbung untuk keselamatan katanya. Bimbang diganggu oleh budak-budak yang tinggal di sekitar stesyen minyak itu.

Tidur dengan nyenyak.

Hari 10: Isnin, 26 September 2011

Lhokseumawe – Ulee Glee ( 97 KM )

Seperti yDSCF0506ang dijanjikan ia membawa makanan, nasi lemak Aceh dan kopi Aceh. Banyak, cukup kenyang. Kasihan seorang yang baik, dalam usia yang muda telah menjadi ibu tunggal. Tentu ada hikmahnya. Wallahualam. Selesai makan teruskan kayuhan. Ia minta beritahu apabila sampai di Ulee Glee.

Di Beruen jumpa dengan Morhalim dan Mahyar pelajar sebuah universiti. Mereka mempelawa untuk minum di sebuah restoran, terima pelawaan itu kerana sudah sampai waktu rehat. Berbual dengan mereka sekejap dan selepas itu membeli pulsa di kedai yang berdekatan. Kredit/top up kepada penduduk  Malaysia.

Awal sampai di Ulee Glee. Ramai orang  Aceh di sini yang pernah tinggal di Malaysia. Di bawa minum dan makan oleh sekumpulan orang Aceh di restoran berdekatan dengan stesyen minyak. Stesyen minyak sekarang menjadi pilihan utama untuk bermalam. Restoran itu memainkan lagu-lagu dari Malaysia itulah kata mereka. Ada yang sudah menjadi warganegara Malaysia. Ada juga yang mendapat kemudahan mengerjakan haji dengan Lembaga Tabung Haji. Mereka ramai ke Malaysia semasa konflik dahulu, sekarang telah aman dan ramai telah pulang.

Di sini berDSCF0518jumpa juga dengan sekumpulan remaja Indonesia dari Kelab Komuniti Indonesia yang meminati motosikal. Berbual dengan mereka itu. Menjawab soalan yang dikemuka. Ada juga yang mengajak bermalam di rumah tetapi menolaknya. Tidak mahu mengganggu. Lebih selesa bermalam di masjid dan stesyen minyak.

Makan malam dibelanja oleh Darkashi, seorang pemuda yang pernah bekerja di Malaysia. Makan nasi Padang di sebuah restoran. Sekarang ia berniaga sendiri. Ia juga mempelawa bermalam di rumahnya. Berbual panjang dengannya. Sambung semula pada jam 10.00 malam. Seorang yang baik. Tutur katanya lembut, menghormati orang.

Malam itu tidak nyenyak tidur kerana selain daripada stesyen 24 jam, kedudukannya di tengah kota yang selalu sibuk. Ada juga restoran 24 jam di situ. Waktu Subuh terdengan azan bergema dan cepat bangun untuk solat Subuh. Lebih kurang setengah jam kemudian terdengan azan lagi. Baharu nampak orang ke surau. Tanya mereka, azan yang mula-mula tadi ialah waktu solat Subuh di Jakarta, berkumandang di televisyen. Solat semula. Terdapat juga orang minta sedekah di situ. Orang kurang upaya. Berbual juga dengannya. Ia akan pulang ke rumah selepas jam 1.00 pagi katanya. Abangnya pernah bekerja di Malaysia. Sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, lima hari selepas hari perkahwinannya.

Hari 11:  Selasa, 27 September 2011

Ulee Glee – Saree  ( 91 KM )

DSCF0508Berkayuh dari Ulee Glee dengan tujuan ke Sigli. Mereka kata jauh tetapi jam 9.00 pagi sudah sampai. Destinasi diubah, di sebuah masjid semasa rehat seorang penduduk tempatan mencadangkan Saree. Masak kopi dan oat untuk beri tenaga dan tidak perlu berhenti untuk makan. Di pertengahan jalan jumpa Basri dari Gintong. Ia memperlahankan motorsikalnya. Risau juga. Kemudian ia bertanya, berdasarkan bendera yang ada di kiri kanan bag. Membawa enam helai bendera. Empat bendera Malaysia dan dua bendera Selangor. Ia pernah bekerja di Selangor. Pernah juga sampai di Semenyih. Ia belanja minum dan kemudian ke bengkelnya. Ia ada membuka bengkel cat kereta.

Basri memberi sedikit pengetahuan mengenai Bukit Selawah. Tidak perlu risau katanya, sudah banyak gerai di tepi jalan, tidak sunyi lagi. Hal ini penting, kalau-kalau tersadai semasa mendaki ada tempat untuk bermalam, sekurang-kurangnya di tempat yang berorang. Ada membawa khemah dan sleeping bag. Jalan raya tidak ada masalah tetapi di kiri kanan jalan.

DSCF0521Setelah mendapat maklumat itu teruskan kayuhan dan tidak lama kemudian mendaki Bukit Selawah. Makin lama makin tinggi. Bekalan air telah habis. Pertama kali beli air dengan harga RP5,000 satu botol 1.5 liter. Di masa lalu minta sahaja. Hj.Irsan yang cadangkan begitu. Orang akan beri bila minta. Orang Indonesia baik terutama kepada musafir. Betul katanya. Minta sahaja mereka beri tanpa banyak soal. Di sini tidak sampai hati rasanya. Pelanggan kurang. Adalah elok beri sedikit perniagaan kepadanya. Kalau berhenti makan tidak apalah juga.

Kayuhan perlahan maklumlah mendaki lima kilometer sejam. Setelah tiga kali berhenti rehat, setiap kali 10 minit, Bukit Selawah berjaya didaki tanpa menolak basikal. Berhenti mengayuh di stesyen minyak Saree. Kata penduduk tempatan masih ada bukit selepas Saree. Bermalam di sini.

Hari 12: Rabu, 28 September 2011

Saree – Banda Aceh ( 86 KM )

DSCF0526Pagi-pagi lagi meninggalkan stesyen minyak ke gerai makan yang berdekatan. Berlaukan ikan, sayur dan minum air suam, RP8,000. Selepas makan kayuhan diteruskan, semasa mendaki bukit sebuah motorsikal memperlahankan pergerakannya. Lebih membimbangkan, tempat sunyi, tidak boleh laju. Ia perlahankan motorsikalnya kerana melihat bendera Malaysia. Ia juga pernah bekerja di Malaysia. Di Selayang. Ia bercakap tidak henti. Menceritakan pengalamannya semasa di Malaysia. Tidak  berapa hendak layan dan dengar ceritanya. Mendaki dan letih. Ia tidak faham. Hati kecil berkata cepatlah pergi.  Dia sabar dan terus bercakap. Ia menunggu kawannya sampai. Bekerja sebagai Polisi Syariat tinggal di Sigli. Namanya Mohd Sabri. Dua jam selepas berkayuh hujan turun, kali pertama ditimpa hujan sejak berkayuh di Indonesia.

DSCF0553Di stesyen minyak Sibreh berjumpa dengan Muzakir. Ia juga pernah bekerja di Malaysia, 10 tahun katanya. Dapat sedikit maklumat mengenai perjalanan ke Meulabuh. Tengah hari sampai di Masjid Baitul Rahman, Banda Aceh. SMS Fauzi dan beberapa orang yang dijumpai dahulu. Tidak lama kemudian Mohd Sabri sampai dan pergi makan. Semasa makan Fauzi sampai. Ia kakitangan kerajaan di Aceh, Bahagian Bencana. Berbincang dengannya mengenai servis basikal. Hujan turun dengan lebatnya. Bermalam di masjid tempat Mohd Sabri bekerja.

Sebelah petang ia membawa berjalan-jalan melihat Banda Aceh, Muzium Tsunami, Kapal Apong dan tempat lain yang menarik.

Hari 13: Khamis, 29 September 2011

Banda Aceh – Lamno ( 76 KM )

Bercadang tidak mengayuh hari ini. Hendak ke pejabat imigresen Banda Aceh DSCF0525untuk menyambung visa tinggal di Indonesia.  30 hari yang diberi semasa di Telok Nibung tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya 62 hari untuk sampai ke Bali. Pergi ke sana dengan Mohd Sabri. Apabila mereka melihat paspot ada ditulis perkataan ‘ non-extendable’, mereka mengatakan tidak boleh buat apa-apa dan mesti pulang bila tempohnya habis. Tidak perasan pulak perkataan itu ada tertera dalam paspot.

Apabila pulang semula ke masjid buat keputusan akan meninggalkan Banda Aceh ke Selatan, ke satu destinasi yang belum diketahui kerana sudah lewat. Ada juga yang mencadangkan ke Sabang, tempat paling utara. Tempat pelancongan. Tidak ada dalam perancangan ke sana. Di samping itu basikal masih belum dibaiki. Semasa bertolak ke selatan nanti akan dapatkan kedai DSCF0563basikal. Mohd Sabri tolong tunjukkan kedai basikal berkenaan. Nasib baik ia tidak kerja hari itu kalau tidak susah juga. Dua buah kedai yang dijumpai tidak dapat berbuat apa-apa. Masalah kemahiran ataupun jika cuba tidak ada alat ganti.Rantai sahaja berbunyi, tidak ada masalah kata mereka

Mohd Sabri menghadiahkan sehelai kain pelikat sebelum meninggalkan masjid. Ia menunjukkan kedai basikal. Ia menunjukkan jalan keluar dari Banda Aceh dan menemaninya sehingga lebih kurang 30 kilometer ke Selatan dengan motosikalnya ( kereta ). Jam 10.00 baru meninggalkan Banda Aceh, di pertengahan jalan hujan turun dan berhenti sekejap. Bila teruskan kayuhan tidak lama kemudian, setelah 11 hari di Indonesia baharu dapat peluang melihat Lautan Hindi. Selepas itu mendaki Bukit Lokhga. Angin bertiup kencang menyebabkan kayuhan menjadi pelahan, walaupun jalannya rata.

TernamDSCF0562pak tanda jalan menunjukan ‘ Lamno, 44 kilometer’ dan hati kecil berkata di sinilah tempat bermalam. Sudah ada tujuan dan destinasi, tidak perlu bimbang lagi. Di sini berpisah dengan Mohd Sabri. Sedih juga sebab layanan yang diberikan adalah yang terbaik setakat ini di Indonesia. Ia sanggup mengiringi sejauh itu, memperlahankan motosikal. Lagipun baru sehari jumpa.

Selepas itu bukit kedua didaki  iaitu Bukit Kulu, Dahsyat juga bukit ini.  Semasa mendaki ternampak dua orang wanita dan seorang kanak-kanak dengan sebuah motosikal, masih memakai topi keledar  ( helm di Indonesia ), mereka menahan, ada masalah agaknya. Rupa-rupanya mereka hanya hendak bergambar. Mereka dalam perjalanan ke Meulabuh. Selepas menurun sekejap, daki lagi, Bukit Paroo. Semasa menurun Bukit Paroo ternampak sebuah gerai makan dan berhenti untuk makan tengah hari. Nama tempat itu ialah Lhoong. Bila hendak bayar, diberitahu telah dibayar. Dibayar oleh sepasang kekasih atau suami isteri tidak diketahui. Ada berbual dengan mereka semasa makan. DSCF0556Dapat maklumat untuk kayuhan yang akan datang. Si lelaki ada kakak di Melaka dan loghatnya sama dengan orang Malaysia. Mungkin pernah tinggal lama di Malaysia.

Berikutnya daki pula Bukit Gurutee. Semua bukit ini didaki dengan jayanya. Semasa menurun dua orang pemuda mempelawa untuk. Pemandangan di sini cantik sekali. Gerai terletak di tebing yang tinggi dan di bawahnya adalah laut, Lautan Hindi. Pemandangan cantik sekali.  Telah banyak berubah kata mereka, akibat daripada tsunami. Sampai di Lamno sebelum Maghrib. Bermalam di stesyen minyak di situ.

Hari 14: Jumaat, 30 September 2011.

DSCF0567Hari ini tidak mengayuh. Hendak membasuk pakaian, keadaan di stesyen minyak ini tidak sesuai. Pergi ke masjid Lamno, keadaannya juga tidak sesuai. Berehat sahaja di masjid hingga waktu solat. Pakaian yang ada masih cukup untuk satu minggu lagi. Cuma seluar dalam, hari-hari kena tukar. Ia boleh diselesaikan dengan mudah.

Semasa tsunami melanda Aceh pada 26 Disember 2004, ia sampai di pekan Lamno pada jam 8.15 pagi, kata siak masjid. Bercadang hendak makan tengah hari di gerai yang berhampiran dengan stesyen minyak, tetapi gerai itu hanya dibuka pada waktu malam. Makan buah sahaja tengah hari itu. Sebelah petang berjumpa dengan saudara Shahidan, ia pernah bekerja di Banda Aceh. Pernah tinggal di Malaysia selama tiga tahun. Dibenarkan masuk kerana tsunami. Ia belanja kopi petang itu. Sekarang menjadi penjual ikan. Sudah beristeri dan DSCF0564mempunyai seorang anak. Bila hujan reda minta ia tolong bawa ke pekan dengan motorsikal untuk membeli makanan.

Selepas makan ketua stesyen datang untuk berbual-bual.  Hujan masih turun dan semakin lebat. Ia menceritakan bahawa isterinya yang pertama meninggal dunia kerana tsunami. Kereta yang dinaikinya ke Banda Aceh dihanyutkan oleh air. Baharu 22 hari berkahwin.

Hari 15: Sabtu, 1 Oktober 2011

Lamno – Meulaboh ( 176 KM )

DSCF0571Pagi ini memulakan kayuhan tanpa sarapan pagi. Gerai makan belum buka. Hendak masak, dalam kawasan stesyen minyak. Tetapi awal pagi, tenaga kurang digunakan, apabila sampai di Kampung Crag Mong, KM 107, 30 kilometer dari Lamnoi berhenti makan kerana sudah lapar. Sampai di Calang, KM 147  berhenti rehat dan makan lagi. Di sebelah pantai barat Aceh dari Banda Aceh ke Calang ada tanda kilometer. Jalan baru. Selepas itu tidak ada balik.

Selepas rehat dan makan mula mengayuh dan tidak jauh meninggalkan Calang basikal mula bunyi bising, setiap kayuhan. Dulu sesekali. Tidak tahu kenapa tidak ada kepakaran. Berhenti dibanyak tempat. Tidak ada kedai basikal yang khusus. Kalau adapun mereka tidak sanggup membaikinya. Kayuhan hari ini tegang kerana keadaan basikal. Sampai di Meulaboh sebelum Maghrib. Seorang pemuda pekerja stesyen minyak mempelawa bermalam di rumahnya. Menolak. Tidur awal, sangat letih mental dan fizikal. Basikal pun lupa hendak kunci.

Hari 16: Ahad, 2 Oktober 2011

Meulaboh – Blang Pidie ( 137 KM )

DSCF0573Sebelum meninggalkan stesyen minyak, periksa basikal, punggah semua barang, cari punca bunyi semalam. Semasa kayuh tanpa muatan tiada bunyi. Ketatkan klip bahagian belakang basikal. Itu sahaja yang tahu. Mengikut kata pekerja stesyen di Pekan Meulaboh ada kedai basikal, tetapi bimbang tiada kemahiran sama seperti di tempat lain. Letak semula barang dan mula berkayuh. Alhamdulillah tiada bunyi lagi. Di Pekan Meulaboh berhenti makan. Boleh tahan juga masakan makcik ini.

Selepas 30 kilometer, mula mendaki dan menurun sejauh 30 kilometer. Perjalanan hari ini daripada tengah hari hingga ke berhenti mengayuh ditimpa hujan. Mohd Sabri selalu membuat panggilan telefon dan SMS, katanya ia hendak ke Tapak Tuan. Sering memberitahu lokasinya. Ia menggunakan motorsikal. Tunggunya di Blang Pidie. Selepas makan ia meneruskan perjalanannya ke Tapak Tuan. Ia hendak berjumpa dengan kawannya semasa di Malaysia, Zakri. Mereka berkerja di kedai cuci kereta semasa di Malaysia.

Blang Pidie tidak hujan. Kayuhan hari ini walaupun hujan, tidak tertekan              ( stress ) dan laju. Bermalam di stesyen minyak.

Hari 17: Isnin, 3 Oktober 2011

Blang Pidie – Tapak Tuan ( 80 KM )

DSCF0576Berkayuh lewat sedikit kerana tidak selesa dengan keadaan basikal yang berbunyi semula. Pekerja stesyen mencadangkan satu bengkel dan membawa ke tempat tersebut. Nampaknya mahir dan cekap tetapi tidak cukup peralatan untuk membaikinya. tidak boleh bukapun. Dia tuang banyak minyak. Katanya keadaan masih baik. Bayar RP7,000 sebagai upah. Katanya, terpulang. Balik semula ke stesyen minyak untuk mengambil barang-barang.

Cuaca hari ini terik sekali. Mohd Basri telefon suruh singgah di Sawang rumah Zakri di situ, betul-betul di tepi jalan ke Tapak Tuan. Makan tengah hari di rumahnya. Zakri mempunyai tiga orang anak, semuanya lelaki. Isterinya seorang guru. Dia sekarang menjalankan perniagaan barang-barang elekterik.

Sebelum Asar sampai di Tapak Tuan. Mengikut kata penduduk tempatan walaupun Tapaktuan berada dalam Wilayah Aceh tetapi penduduknya adalah DSCF0577berasal dari Padang. Tidak hairanlah semasa majlis ilmu selepas Maghrib, penceramah ada tersasul dengan loghat Minang. Akan bermalam di masjid Istiqamah. Selepas Isyak masak air untuk penyediaan makan malam. Malam ini makan mee segera sahaja di samping tambahan nasi yang diberikan oleh pihak masjid. Sebelum tidur berbual dengan para pekerja yang membaiki masjid. Ada yang datang dari Pulau Jawa. Dapat maklumat mengenai pulau itu. Mereka juga mengatakan bahawa dalam perjalanan nanti akan menjumpai bukit yang tinggi dan curam. Kata mereka masa mendaki akan menolak dan turun pun nanti akan menolak. Mereka juga mengatakan semasa tsunami dahulu tidak ada penduduk Tapaktuan yang mati, sedangkan tempat ini berhampiran dengan laut. Kuasa Allah.

Hari 18: Selasa, 4 Oktober 2011.

Tapaktuan – Kampung Baru Jambi ( 120 KM )

Pagi itu hujan renyai-renyai, kayuhan tetap dimulakan. Tidak mahu sampai ke destinasi berikutnya pada waktu malam. Sepatutnya Subulussalam. Tidak lama mengayuh mendaki Bukit Tapaktuan. Penat juga tetapi tidak perlu berhenti rehat, awal pagi, masih bertenaga. Jalan masih basah, lecak sedikit. Bila sampai di Bakongan DSCF0579berhenti rehat dan makan, RP10,000. Pemilik kedai makan menyatakan untuk sampai ke Subulussalam akan ada banyak bukit yang akan didaki, mengesahkan kata-kata pekerja masjid di Tapaktuan. Jalan rayanya cantik dan di kari kanan jalan di penuhi dengan pokok kelapa sawit. Sunyi.

Selepas meninggalkan Bakongan tidak lama kemudian mula mendaki, lepas satu, satu lagi bukit. Turun dan naik bukit. Pada mulanya cuaca nyaman kemudian hujan turun dengan lebat. Tiada tempat berlindung. Cukup lebat. Teruskan kayuhan. Bukit yang didaki makin tinggi dan curam. Perjalan masih jauh. Akhirnya sampai di satu peringkat yang tidak boleh didaki lagi. Terpaksa menolak. Ada juga kenderaan yang mati injen di pertengahan bukit, lambat tukar gear agaknya. Aktiviti mendaki gunung banyak membantu kerja-kerja menolak basikal ini. Masa menurun oleh sebab brek disc tidak ada masalah, kalau brek getah mungkin menolak agaknya.

DSCF0581Hujun makin lebat, tiada tanda-tanda hendak berhenti. Waktu Asar telah lama masuk. Subulussalam entah di mana. Jarak tidak tahu, tidak ada tanda perkilometeran. Sudah empat puncak menolak basikal. Mereka memanggilnya Bukit Kapor. Semasa menurun ternampak sebaris kedai. Dalam keadaan basah kuyup, tanya mereka letaknya masjid. Akan bermalam di masjid ini. Kawasan kampung, Kampung Baru Jambi. Hujan masih turun.

Menurun jemaah yang datang, Subulussam tidak jauh dari Kampung Baru Jambi, setengah jam dengan motosikal. Basikal belum tahu. Kalau ikut pengalaman setengah jam itu bermakna 50 kilometer. Dua jam setengah dengan basikal kalau jalannya datar, kelajuannya 20 kilometer sejam. Tambah mereka lagi, masih banyak bukit lagi, lebih tinggi dan curam daripada Bukit Kapor. Mereka memanggilnya Bukit Tiga Tingkat. Hujan turun hingga ke malam.

Hari 19: Rabu, 5 Oktober 2011.

Kampung Baru Jambi – Subulussalam ( 20 KM )

DSCF0580Pagi hujan turun renyai-renyai, kemudiannya lebat. Bila hujan reda meninggalkan Masjid al-Falah. Lewat sedikit. Imam masjid kata Subulussalam tidak jauh lagi. Cuma Bukit Tiga Tingkat yang menjadi masalah. Turun bukit, sekejap sahaja, kemudian mendaki. Tidak boleh daki. Tolak basikal. Masih belum sarapan. Kedai makan belum dibuka lagi. Hendak masak keadaan di masjid tidak sesuai untuk aktiviti ini. Sejam kemudian di Kampung Singersing berhenti makan. RP15,000.

Kayuhan diteruskan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan bukit yang tinggi-tinggi. Imam masjid ada mencadangkan sebelum ini supaya naik van dengan bayaran RP10,000. Mungkin ia menjangkakan tidak akan berdaya untuk mengayuh dan menolak. Dua kali ia cadangkan semasa selepas solat Maghrib dan solat Subuh. Kadang-kadang terfikir juga untuk menaiki van. DSCF0584Tetapi masih awal pagi, dan latihan lasak yang dilakukan semasa di Malaysia, cuba dahulu baharu tahu. Gunung Fuji didaki, Gunung Tahan juga didaki, alang-alang mandi biar basah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Selepas ini empat bukit lagi tidak dapat didaki dan terpaksa menolak basikal. 11 kilometer lagi hendak sampai ke Subulussalam keadaan berubah dan tidak ada bukit yang tinggi lagi. Sampai di situ sejam lagi sebelum Zohor. Berehat di stesyen minyak. Tidak mahu meneruskan lagi kayuhan, walaupun masih awal.  Kayuhan paling dekat setakat ini di Indonesia. Lebih kurang 20 kilometer. Tidak mahu terperangkap waktu malam dan di hutan rimba. Destinasi berikutnya ialah Sidikalang. Kawasan tanah tinggi. Cuacanya sejuk. Berdasarkan pengalaman faktor ini mesti diambil kiri. Bermalam di sini, di stesyen minyak.

Hari 20: Khamis, 6 Oktober 2011

Subulussalam – Sidikalang ( 64 KM )

DSCF0586Awal meninggalkan stesyen minyak kerana dikatakan ada banyak bukit. Sepatutnya begitu. Kawasan tanah tinggi dan sejuk. Cuma tidak diketahui ketinggian dan darjah kesejukannya. Tidak mahu mengalami seperti di Kundasang dahulu. Di kedai makan atau rumah makan kepada orang Indonesia berjumpa dengan Zulfikar bin Aminuddin. Ia bekerja sebagai pemandu lori dan hendak pulang ke Tapaktuan. Pernah tinggal di Malaysia selama tujuh tahun, lebih kurang dua kilometer dari Desa Mewah. Dia tinggal di Saujana Impian. Tidak mahu ke Malaysia lagi kerana sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.

Dapat maklumat keadaan perjalanan ke Sidikalang. Katanya jalan tidak begitu memuaskan, berbeza dengan di Aceh. Subulussalam kota yang terakhir di Aceh disinggahi. Selepas itu akan memasuki semula Sumatera Utara. di sebelah pantai baratnya. Sebelah Lautan Hindi. Kota pertamanya yang menjadi destinasi ialah Sidikalang. Sidikalang adalah kota di pedalaman Sumatera Utara. DSCF0585Majoriti penduduknya daripada ethnik Batak. 60% Kristian dan 40% Islam. Dalam perjalanan ke sana, hanya sebuah masjid dijumpai, dan beberapa buah surau. Kebanyakannya adalah gereja.

Selepas tiga jam mengayuh, berhenti rehat di KM 30, Jalan Lintas Medan – Aceh, di Pak Pak Barat. Jumpa gerai yang ada menulis ayat Quran, bercadang hendak berhenti minum dan makan, ternampak ada minuman keras, tak jadi. Cuaca amat menyenangkan kerana tidak hujan, walau bagaimanpun kayuhan  perlahan kerana mendaki. Menurun pun tidak boleh laju kerana keadaan jalan. Betul kata Zulfikar. Berbonggol dan berlubang. Di sesetengah tempat berair dan tidak bertar.

DSCF0591Makan tengah hari di Dusun Petal, Desa Sukaramie selepas Zohor. Letih kerana bukit yang hendak didaki, beberapa kali berhenti rehat. Sungguhpun begitu tidak menolak besikal. Sampai di Sidikalang semasa Asar. Cari masjid untuk berehat danbermalam. Akan berada di sini dua malam kerana esok adalah Jumaat. Dapatkan kebenaran dari nazir masjid. Selepas Maghrib berbual dengan mereka dari banyak aspek, politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Nampak seperti perbualan profesional.

Hari 21: Jumaat, 7 Oktober 2011

Rehat

DSCF0590Cuaca yang panas digunakan untuk menjemur pakaian yang dibasuh. Sudah dua minggu tidak mencuci. Mengharapkan supaya cuaca panas ini akan sampai ke petang. Kalau hendak hujan pun biarlah pakaian telah kering. Sarapan pagi masak sendiri, seperti biasa oat dan kopi 3 + 1. Rasa hendak bersiar-siar di kota tetapi tidak berminat. Rehat sahaja di masjid. Masjid Agong Sidikalang.

Selepas solat Jumaat berbual dengan Khairul Angkot. Seorang pemuda yang berminat dengan basikal. Dia datang ke masjid dengan Mountain Bike. Pernah berkayuh sejauh 70 kilometer. Santai. Beri sedikit dorongan kepadanya. Dia servis basikalnya di Medan. Dapat maklumat mengenai perjalan seterusnya dan ke Padang. Sebelah petang lepas Asar berbincang lagi mengenai perjalan yang akan dilalui ke Danau Toba. Ada yang membawa peta Sumatera. Mereka benar-benar ingin membantu untuk memudahkan kayuhan.

DSCF0597Nasib tidak baik semasa mandi, pauch yang disangkut terjatuh. Semua yang ada di dalamnya basah. Termasuklah telefon bimbit. Skrinnya rosak.  Susah hendak SMS dan membuat panggilan, tidak boleh baca. Baiki pada sebelah malamnya, disebabkan masa terhad, tidak boleh buat  apa-apa. Nasib baiknya nombor anak ada disenarai teratas. Buat panggilan,pakai agak sahaja. SMS pun tidak tahu ejaan betul atau tidak. Kawan-kawan lain di Malaysia dan yang ditemui di Indonesia langsung tidak dapat dihubungi. Tidak dapat hendak beritahu mereka kedudukan terakhir.

Hari 22: Sabtu, 8 Oktober 2011.

Sidikalang – Panguruan ( 92 KM )

DSCF0596Tidak berkeinginan untuk memasak pada pagi ini. Kayuhan dimulakan tanpa sarapan pagi. Semasa kayuhan terjumpa sebuah gerai jual lontong. Berhenti makan kerana penjualnya seorang wanita Jawa. Selepas itu teruskan dayungan. Jalan ke Toba tidak begitu memuaskan, baik sedikit dengan jalan antara  Subulussalam ke Sidikalang. Ada banyak rumah di kari kanan jalan. Ada banyak anjing juga. Kawasan Kristian, yang ditemui banyak gereja. Hanya sebuah masjid. Susah hendak membezakan orang Islam dengan orang Kristian di Indonesia. Sebenarnya tidak dapatpun. Dari rumpun yang sama. Ethnik dan agama sahaja yang berbeza. Anjing di sini cukup berdisiplin, tidak mengejar.

Walaupun tidak ada bukit yang tinggi tetapi perjalanan pelahan. Ia landai dan sentiasa mengayuh, sudah tentulah penat. Keadaan sebegini berlaku hingga ke Tele. Bila membelok hendak ke Danau Toba ia menurun sejauh 22 kilometer, DSCF0608curam juga. Tentulah laju. Keadaan jalan 90% berada dalam keadaan baik. Pemandangan di Danau Toba, sangat cantik sekali. Sukar hendak dibuat bandingan, seperti dilukis. Tidak dapat digambarkan. Lihat sahaja wujud satu kepuasaan, tidak sia-sia kayuhan ini dibuat rasanya. Ia membuktikan kebesaran Allah. Lebih kurang 10 kilometer dari Panguruan di satu jalan yang datar, tiba basikal boleh dikayuh tetapi tidak bergerak. Masalah timbul. Terpaksa menolak basikal sehingga ke bengkil motosikal yang berada di tepi jalan. Tidak jauh. Ia tidak boleh membaiki basikal itu. Ia kata di Panguruan ada kedai basikal. Makan di situ kerana pemiliknya daripada keturunan Jawa. Islamlah tu. Semasa makan anjing datang, babi berkeliaran, telan juga.

DSCF0611Setengah jam di situ, bercakap-cakap dengan pemilik bengkil. Dia tolong tahankan van. Tidak ada yang hendak berhenti. Kalau begini bila hendak selesai. Hari semakin petang. Tiba-tiba daripada jauh ternampak sebuah lori mengangkut batu, bergerak perlahan. Tahan lori itu minta tumpang hingga ke Panguruan. Percuma ia tidak mahu bayaran. Sepatutnya, sekiranya semua berjalan lancar destinasi hari ini ialah Parapat. Kita merancang Allah yang menentukan.

Di Panguruan sama seperti di tempat lain mereka tidak dapat membaiki basikal ini. Lebih teruk lagi, tengok sahaja sudah mengaku kalah. Tidak mahu hendak cuba. Buat keputusan cari masjid. Tolak basikal hingga ke masjid. Hubungi anak-anak, nyatakan masalah. Minta mereka jangan risau kerana masih sihat dan akal masih boleh berfikir dengan baik, wang pun masih mencukupi. Ada juga DSCF0615anak yang hendak datang tetapi tidak mengizinkannya. Orang di sini pun baik-baik belaka. Sentiasa hendak membantu. Kawan-kawan juga dihubungi melalui SMS, tidak tahulah ejaan betul atau tidak.

Di masjid jumpa seorang pengembara yang cacat dari Solok, ia bergerak dengan menaiki kenderaan. Berjumpa dengan beberapa orang yang mendiami rumah sewa di kawasan masjid. Erick, Hassan Basri, dan Imam masjid yang berasal dari Aceh. Mereka membantu baiki basikal. Biarkan. Mereka berusaha sehingga waktu Maghrib. Apapun ia sudah tidak boleh digunakan. Keputusan telah ada, akan pulang ke Malaysia. Telah beritahu keluarga.

DSCF0621Malam itu Erick dan ustaz bawa pergi makan di sebuah restoran Minang. Pemilik restoran tidak mengenakan bayaran. Ustaz masih muda ia menjadi imam masjid sudah beristeri dan mempunyai seorang anak. Erick belum berumah tangga. Bila ia tahu dari Selangor. Ia mengatakan, ia ada teman di  Selangor, di Taman Pelangi, Semenyih. Macam dekat rumah sahaja. Akhirnya ia mengatakan pacarnya. Mereka bertemu semasa belajar di Universitas Bandung. Ia sudah bekerja manakala pacarnya itu masih belajar di Fakulti Perubatan. Bakal doktorlah itu. Malam itu bermalam di masjid ini.

Hari 23: Ahad, 9 Oktober 2011

Panguruan – Parapat ( 50 KM )

DSCF0614Panguruan terletak di Pulau Samosir, Toba, 90% penduduknya beragama Kristian, 10% lagi beragama Islam. Seawal pagi telah bangun tidur, solat Subuh. Erick dan ustaz belum bangun lagi, mereka berjanji akan sambung baiki basikal. Semasa menunggu mereka bangun sediakan sarapan dan makan di tepi danau. Selepas itu berjalan-jalan menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini. Suasana pagi cantik sekali dan aman. Sehingga jam 8.00 pagi mereka masih belum bangun. Tidak tahu sama ada hari ini boleh bergerak atau tidak. Segala-galanya bergantung kepada basikal. Kalau tidak boleh dibaiki, keputusan mesti diambil. Pulang ke Malaysia. Tunggu lama pun tidak berguna. Tidak buat apa-apa. Di Malaysia nanti  fikir langkah seterusnya, sama ada hentikan kayuhan atau sambung di masa akan datang.

DSCF0619Bila bangun mereka bawa ke bengkel, orang tempatan mudah urusan.  Walau bagaimanpun bengkel tidak melakukan dengan sempurna. Hasil usaha, setelah bersusah payah, mereka berjaya baiki basikal. Tidak diketahui setakat mana kemampuannya kerana mereka bukan ada kemahiran.

Selepas solat Zohor meninggalkan Panguruan menuju ke Tomok. Sepanjang kayuhan Tobah mempersembahkan satu pemandangan yang mempersonakan dengan air dan bukit bukaunya. Jalan raya ke Tomok berada dalam keadaan yang baik, datar, cuaca juga elok menjadikan kayuhan berjalan lancar. Kayuhan dari Panguruan ke Tomok mengambil masa dua jam setengah. Selepas itu naik feri ke Parapat setengah jam. Menyeberangi Danau Toba semasa datang DSCF0624dahulu  ke Pulau Samosir mengunakan jambatan yang panjangnya antara 50 ke 70 meter. Dari jeti ke Pekan Parapat terpaksa berkayuh sejauh tiga kilometer. Cari masjid untuk bermalam.

Parapat sebuah pekan kecil, majoriti penduduknya daripada ethnik Batak. Majoriti penduduknya juga beragama Kristian. Terdapat hanya sebuah masjid di sini. Sedang dibaikpulih akibat kebakaran. Masjid ini juga menjadi pusat ilmu. Hari ini buat pertama kalinya makan masakan Mandailing, kari kambing. Cari kedai basikal tidak ada. Penduduk tempatan juga mengatakan tidak ada kedai basikal di sini. Kalau basikal hadapi masalah bawa ke Siantar atau beli alat ganti di sana dan baiki sendiri di sini, kata mereka.

Hari 24: Isnin, 10 Oktober 2011.

Parapat – Tarutung , Medan, Dumai

Sarapan pagi masak sendiri, seperti biasa oat dan nescafee 3 + 1. Mulakan kayuhan selepas sarapan. Keluar sahaja daripada kawasan masjid mula mendaki. Jalan tidak begitu memuaskan. Sampai di sempadan Toba – Samosir basikal buat hal lagi. Masalah yang sama. Terdapat beberapa orang Tentera National Indonesia di situ. Bercakap dengan mereka. Ada yang pernah ke Malaysia, di negeri Sarawak samasa bertugas di Kalimantan. Mereka memberitahu kenderaan yang hendak ditahan untuk ke Parapat semula. Mengikut sumber ada kedai basikal di Balige.

DSCF0628Setelah Tentera National Indonesia meninggalkan tempat itu, keadaan jadi sunyi. Kawasan ladang kopi. Dua kali menghadapi masalah yang sama. Di sinilah penghujung kayuhan ini. Selepas 15 kilometer meninggalkan Parapat, buat keputusan yang muktamad, kembali ke Malaysia. Telefon keluarga akan keputusan itu. Rancangan awal sebelum visa tamat akan mengayuh hingga ke Padang. Visa habis tempoh pada 19 Oktober 2011. Ada sembilan hari lagi. Tolak dua hari seperti kehendak pegawai imigersen Indonesia. Mesti tinggal Indonesia selepas 28 hari. Maknanya ada tujuh hari lagi. Terpaksa batal rancangan ini, untuk baiki basikal terpaksa ke Balige atau ke Medan. Di Balige tidak pasti, hanya berdasarkan sumber. Pilihan yang ada ialah Medan satu hari perjalan dengan kenderaan. Kalau basikal dapat dibaiki segera boleh balik semula keesokannya. Maknanya dua hari. Kalau tidak sekurang-kurangnya tiga hari.  Tinggal empat hari lagi. Adakah pasti boleh sampai ke Padang dalam tempoh itu? Bagaimana dengan perjalanan pulang nanti, dinasihatkan oleh pegawai Imigresen supaya mengikut Medan atau Dumai?

Tidak mahu timbul masalah, pulang adalah pilihan yang terbaik. Kalau ada rezeki dan dapat keizinan Allah boleh sambung kayuhan. Tidak mahu tersadai DSCF0627dalam penjara. Berpatah balik ke Parapat. Sukar dapat kenderaan, oleh sebab menurun bukit, tidak banyak menolak basikal. Cepat sampai dan terus dapatkan bas ke Medan. Bayar untuk enam tempat duduk, lima untuk basikal. RP132,000. Perjalanan dari Parapat ke Medan mengambil masa lima jam. Jam 5.00 petang sampai, dapatkan bas ke Dumai.  RP300,000 termasuk basikal. Perjalanan ke Dumai mengambil masa 13 jam, dengan tiga kali berhenti. Sampai pada hari Selasa, 11 Oktober 2011, jam 7.00 pagi.

Hari 25: Selasa, 11 Oktober 2011

Dumai – Desa Mewah, Semenyih ( 0 KM )

Dari Dumai menaiki feri ke Pelabuhan Klang dan menaiki kereta pulang ke rumah. Telefon dan SMS kawan-kawan akan kegagalan kayuhan ini. Objektif ke Bali tidak tercapai. Rasa hampa juga. Tetapi itu sudah takdir mungkin ada hikmahnya. Wallahualam.

Jarak kayuhan ialah 1,715 kilometer. Berhasrat akan menyambung di masa akan datang. Ucapan terima kasih kepada semua kawan di Malaysia dan di Indonesia yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang kayuhan ini. Juga yang telah memberi sokongan dan dorongan sama ada daripada segi  moral dan material.

ALBUM

DSCF0522DSCF0529DSCF0531

DSCF0534DSCF0541DSCF0540DSCF0545DSCF0548DSCF0551DSCF0561DSCF0565DSCF0569DSCF0587DSCF0589DSCF0601DSCF0602DSCF0604DSCF0605DSCF0606DSCF0610DSCF0625DSCF0626


10 Comments so far
Leave a comment

kami kagum dengan semangat anda. teruskan azam anda, uncle Meli!

Comment by AieSha

Terima kasih. Akan sambung kayuhan ke Indonesia dalam masa terdekat. Harap-harap kali ini boleh sampai ke Bali.

Comment by hajimeli

salam haji meli…sya kagum dgn apa yg haji lakukan…faktor umur bukan penghalang,apa yg penting semangat kena kuat.Insyallah pd bln 4 ni sya akan berkayuh dr k.kinabalu ke kuching secara solo…doakan perjalanan sya selamat pergi dan kembali…

Comment by nazar

Saya doakan saudara selamat pergi dan balik. Masyarakat sana tidak ada masalah. Masjid mudah diperolehi terutama di bandar. Cuma di Brunei tidak dibenarkan bermalam di masjid. Jangan lupa bawa paspot. Saudara boleh baca Kayuhan Jelajah Borneo untuk pengetahuan dan panduan.

Comment by hajimeli

Assalamualikum.. tahniah th haji. sy selalu mgikut pkembangan haji melalui blog sbng perangsang untuk memenuhi impian sy suatu masa nnt. kalau ada rezeki nak juga sy mgembara bersama haji…

Comment by roslan kedah

Kayuhan ke Indonesia telah mencapai matlamat. Telah sampai ke Bali. Jarak kayuhan ialah 3,500 KM. Dari Tanjung Balai ke Padang, Sumatera dan melalui Pulau Jawa. Balik dengan kapal terbang

Comment by hajimeli

[…] Sebelum ini, beliau pernah mengelilingi Tanah Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kayuhan basikal Indonesia ini adalah yg kedua untuk menyambung selepas kayuhan pertama yg tergendala kerana masalah basikal. [+ Kayuhan (Dayungan) Jelajah Indonesia ] […]

Pingback by HAJIMELI « Aku Tak Suka Blog Ini…

Terima kasih kerana memberitahu tahu rakan berkaitan dengan pengembaraan saya. Minta maaf kerana lambat memberi respon, kadang-kadang idea tidak datang. Saya ada melihat peta tuan haji, semuanya betul, cuma ia tidak menunjukkan Bandung.

Comment by hajimeli

Assallamualaikum Tuan Hj Meli’s,Subhanallah semuga Tuan Hj sihat waal’alfiat hendak nya selalu dlm hobi Tuan Hj ini,Apa khabar sekrg Tuan Hj,Sy perminat membaca bekenaan pengambaraan Tuan Hj dari ms ke semasa(Sy dari Bintulu S’wak yg Tuan Hj pernah lalui dahulu)

Comment by Abdul rani

Sekarang sihat. Kayuhan ke Mekah gagal. Sampai di Jordan. Tidak dapat visa Arab Saudi. Pengalaman kayuhan itu belum ditulis. Inshaallah tahun hadapan akan mulakan kayuhan baru. Mula dari Kuching dan akan berakhir di Auckland, New Zealand.

Comment by hajimeli




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: