Hajimeli's Blog


Mendaki Gunung Telapak Buruk
25/06/2013, 1:21 am
Filed under: Uncategorized | Tags:

002Pada 22 Jun 2013 saya dengan tiga orang rakan telah pergi mendaki Gunung Telapak Buruk yang terletak di Negeri Sembilan. Dikatakan gunung yang tertinggi di negeri ini.Berketinggian 1,193 meter. Cadangan untuk mendaki gunung ini dikemukakan oleh Sam. Mengenalinya semasa mendaki Bukit Broga. Ia membawa dua orang kawannya yang tinggal di Kajang. Sam juga yang menunjukkan menara telekom yang boleh kelihatan dari Bukit Broga yang terdapat di puncak gunung itu. Jam 5.00 pagi kami bertolak ke Kuala Klawang dengan sebuah kereta. Singgah di masjid Kampung Mendum untuk solat Subuh. Temujanji telah dibuat dengan penunjuk jalan pada jam 8.00 pagi di Pekan Kuala Klawang. Sampai awal dan berhenti makan di sebuah gerai. Hanya mereka bertiga sahaja yang bersarapan. Saya telah bersarapan di rumah. Menjadi tradisi akan mengisi perut dahulu sebelum keluar rumah. Di samping itu mereka telah membeli makanan untuk bekalan  makan tengah hari nanti. Saya telah sedia membawanya daripada rumah, biskut, Rumah pendudukcroissante, sebiji epal dan gula-gula. Juga membawa dua liter air. Jam 8.00 penunjuk jalan sampai dan membawa kami ke tempat permulaan pendakian iaitu di sebuah kampung bernama Kampung Ulu Jelebu. Di situ telah menunggu dua orang asli yang akan membawa kami ke puncak Telapak Buruk. Nama mereka ialah Razif dan Amin.

Jam 9.00 pagi mula bergerak, Razif dan Amin jalan dahulu, kami mengikutinya daripada belakang. Melalui dusun buah-buahan. Belum musim lagi. Menyusur sungai dan melalui dua buah jambatan yang telah usang. Terdapat juga teratak yang dibina oleh penduduk kampung dengan tujuan untuk menunggu bila tiba musim buah-buahan. Selepas melepasi kebun pisang dan menyeberangi anak sungai, pendakian pun bermula, mencanak juga. mengikut kata Razif ikut jalan pintas dan akan jumpa juga laluan utama nanti. Laluan ini nampaknya seperti sudah bertahun tidak digunakan. Banyak daun kering dan ranting-ranting kayu yang telah reput. Pokok-pokoknya telah bercantum. Tidak ada tanda-tanda ada orang melaluinya. Bekas babi hutan menyodok untuk mencari cacing banyak ditemui. Terdapat juga tempat binatang ini berkubang.

Menuju puncakBanyaknya daun dan ranting kering menyebabkan pendakian menjadi sukar, kerana licin dan ranting menjadi penghalang kerana jikalau tidak berhati-hati boleh menyebabkan kaki tercedera. Saya tidak membawa tongkat, kerana sudah biasa mendaki tanpanya. Tidak ada masalah. Tetapi di sini perlukan tongkat untuk membantu menolak. kerana di sesetengah tempat lerengnya curam dan keadaan daun-daun kering menambahkan kesukaran mendaki. Adanya tongkat sangat membantu. Sam sedar keadaan saya dan telah meminta Razif  menyediakan tongkat. Tongkat daripada batang bemban di sediakan.  Semasa asyik mendaki terdengar satu bunyi yang amat kuat. Tidak pernah mendengar bunyi ini. Ada harimau ke? Kata Razif bunyi itu ialah bunyi kijang. Kijang jantan. Bayangkan keadaan laluan itu, tentulah lama tidak dilalui oleh manusia. Hinggakan kijang berani menghampirinya. Bunyi yang kuat itu kerana ia terkejut. Tidak hairanlah dua pemandu jalan itu membawa parang untuk menebas laluan yang diikuti. Amin jalan di hadapan sekali mengesan laluan dan tebas. Razif yang kedua menebas juga supaya kami selesa berjalan dan mendaki.

Jambatan usangTidak lama kemudian terdengar lagi bunyi yang pelik. Kuat juga. Razif kata bunyi itu ialah bunyi tokek. Tetapi katanya sukar untuk menjumpai yang beratnya 400 gram.  100 gram boleh tetapi tidak ada nilai komersial. Mereka pun tahu. Kami pun berbual mengenai seorang rakyat Malaysia yang dicolek di Filipina kerana mencari tokek suatu masa dahulu. Khabarnya Kerajaan Malaysia terpaksa membayar tebusan untuk pembebasan mangsa colek itu. Pendakian diteruskan badan semakin letih. Letih kerana kesukaran laluan, daun kering, ranting kering dan licin. Semasa berhenti rehat Razif telah memotong akar kayu untuk mendapatkan air. Kesemua kami minum air daripada akar kayu itu. Sedap juga. Sam juga membasahkan kepalanya dengan air itu. Dalam pendakian ini kami juga malalui hutan sekam dan hutan buluh yang tebal. Razif dan Amin tanpa mengeluh dan penuh bertenaga menebas dan menerangkannya. Kami ikut daripada belakang. Selain daripada keletihan, faktor ini juga menyebabkan pendakian menjadi perlahan.

Merentas sekamDi samping kesukaran tadi terdapat juga halangan lain seperti tumbuhan yang berduri. Terdapat banyak pokok yang sebegini. Yang menjalar pun ada. Kena tambah kewaspadaan. Saya memakai baju lengan pendek, terdapat banyak calar pada lengan dan berdarah. Tidak pernah mengalami keadaan semasa mendaki di tempat lain. Pacat pun boleh tahan. Nampak berjentik-jentik. Bukan takut tetapi geli. Musim panas dan kering. Keadaan mula berjerubu. Kalau musim hujan atau keadaan lembab tidak dapat dibayangkan keadaan pacatnya. Oleh itu adalah baik memakai baju lengan panjang dan sarung tangan untuk mengelekan kecederaan. Selain itu pakailah sarung kaki penghalang pacat kalau sayangkan darah. Nasihat sahaja.

Bunga halia hutanWalaupun sudah jam 12.00 tengah hari kami tidak berhenti makan. Perut sudah lapar. Tidak ada tempat lapang yang terang dan sesuai untuk berbuat demikian. Semua bersetuju akan berhenti makan bila sampai di puncak nanti. Dalam keadaan yang lapar tentulah tenaga makin berkurangan dan sudah tentu lambat  sampai di puncak. Kami sampai pada jam 2.30. Lima setengah jam baru sampai. Cukup perlahan bagi gunung yang setinggi ini. Tetapi itulah sebenarnya. Sampai di puncak minta air daripada askar yang berkawal untuk memasak dan untuk solat. Sam dan rakannya memasak bubur untuk Razif dan Amin kerana mereka tidak membawa bekalan. Mereka juga menyediakan teh. Solat Zohar di sini.

Di ketinggian 1,193 meterPada 4.30 mulakan perjalan turun. Perjalanan turun sememangnya menarik. Cepat dan pantas. Tidak banyak tenaga yang digunakan. Cuma kena berhati-hati di tempat yang curam dan licin kerana boleh tergelincir. Pokok yang telah ditebas tadi melajukan lagi perjalanan turun. Kami turun melalui Jeram Tiga Lapis. Di sini lebih curam dan tinggi. Sekiranya Razif dan Amin memilih laluan ini untuk mendaki, rasanya lebuh teruk. 70 darjah dan jauh. Masa akan datang boleh cuba tetapi kenalah bertolak awal, misalnya jam 7.00 pagi.

Perjalanan turunKami sampai di Jeram Tiga Lapis pada jam 7.00 petang. Sempat untuk solat Asar dan selepas itu solat Maghrib. Kami balik ke Kampung Ulu Jelebu dengan menaiki lori. Upah untuk juru tunjuk jalan ialah RM150.00. Memandangkan usaha yang mereka laku dan kesukaran yang dihadapi kami tambah lagi RM50.00. Sam akan merancang untuk ke Gunung Berembun dan melihat bangkai kapal terbang selepas Hari Raya Puasa nanti. Insyaallah.

Semasa di puncak, buka setokin nampak juga kesan gigitan pacat tetapi tidak beri perhatian, tetapi apabila sampai di rumah kesan gigitan ini menjadi gatal. Terdapat sembilan kesan gigitan rupanya. Jangka masa dua minggu nanti akan selalu menggaruk nampaknya.

Galeri

Teratak musim buah-buahanTidak tahu sebab diterangkanSumber airPemandangan yang menarikBalakKacang parang hutanMenyejukan kepala daripada air akar kayuMenghilangkan dahagaHutan sekamHutan buluhBunga halia hutanSarang burung di tengah-tengah laluanRazif dan Amin sedang berehatHutan Simpan BerembunMenara telekomPemandangan daripada puncak024027


2 Comments so far
Leave a comment

Hi … nak tanya mengenai trek ke Telapak Buruk … saya minat nak trek naik gunung ini tetapi tak tahu dimana trek bermula … tuan ada contact orang asli yang membawa kamu naik gunung ini. Kalau ada bolih kah emel saya contact itu ke shiekstone@gmail,com … terima kasih🙂

Comment by Stome

Saya tidak tahu nombor kontek. Saya ikut kawan. Kami ikut laluan yang bermula di Kampung Ulu Jelebu, Kuala Klawang.

Comment by hajimeli




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: